man, lonely, park
Photo by Skitterphoto on Pixabay

KUALA LUMPUR – Berita yang tidak mahu didengar oleh bekas pesakit Covid-19 dalam kalangan lelaki khususnya yang sudah mendirikan rumah tangga.

Kajian dilakukan pakar mendapati virus Covid-19 berisiko menyebabkan kemandulan kepada lelaki.

Jurnal Open Biology mendedahkan, kemandulan itu disebabkan virus Covid-19 berupaya mengurangkan kuantiti dan kualiti sperma.

Penemuan baharu saintis dalam laporan tersebut menggariskan kesan membimbangkan kepada pasangan yang pernah dijangkiti Covid-19 untuk mendapatkan anak.

“Sistem pembiakan lelaki disimpulkan sebagai sasaran utama paling berpotensi mendapat jangkitan Covid-19 yang disokong oleh beberapa bukti awal dan mengurangkan tahap kesuburan seseorang itu.

“Ini boleh menimbulkan ancaman global terhadap potensi kesuburan lelaki kerana golongan ini lebih mudah mendapat jangkitan Covid-19 berbanding wanita terutama pada usia yang sesuai untuk mendapatkan cahaya mata,” lapor kajian itu baru-baru ini.

Laporan penyelidikan awal itu turut menunjukkan kemungkinan penularan Covid-19 secara seksual boleh menyebabkan komplikasi teruk pada pasangan yang dijangkiti.

Pasukan penyelidik juga percaya kehadiran reseptor ACE2 di testis menjadikan sel genital atau alat sulit lelaki sebagai sasaran jangkitan berpotensi.

Cara kedua adalah menerusi keradangan yang disebabkan virus Covid-19 yang menyebabkan kerosakan kekal pada tisu pembiakan lelaki.

Keradangan di sekitar jantung juga dapat menyekat atau menurunkan bekalan darah ke zakar yang boleh mengakibatkan kegagalan ereksi.

Cara ketiga kesan virus korona terhadap kesuburan lelaki adalah menyebabkan keradangan di seluruh sistem badan yang menjadikan tahap hormon kesuburan mereka tidak stabil.

Faktor keempat pula adalah tekanan perasaan yang diketahui mempengaruhi kesihatan seksual dan ia telah menjadi isu bagi ramai orang sepanjang penularan wabak itu.

Laporan tersebut menyebut Covid-19 juga dapat meningkatkan tekanan oksidatif badan ke tahap yang tinggi sehingga dapat mempengaruhi jumlah, bentuk, daya maju dan kemampuan sperma.

Seorang penyelidik, Prof. Shubhadeep Roychoudhury berkata, lelaki yang dijangkiti Covid-19 perlu diberi konsultasi psikologi bagi mengelakkan ketakutan tidak rasional dan tekanan yang berlebihan kerana ia turut mempengaruhi kesihatan serta sistem pembiakan.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kajian perlu dijalankan terlebih dahulu sebelum dapat mengesahkan jika jangkitan Covid-19 berisiko menyebabkan kemandulan pada lelaki kerana virus itu berupaya mengurangkan kuantiti dan kualiti sperma.

“Kita perlukan banyak lagi kajian untuk mengesahkan perkara tersebut,” katanya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here