Oleh Yusoff Ahmad Shariff

BEKAS Ketua Polis Negara Tun Mohammed Hanif Omar dan Sinar Karangkraf Sdn Bhd memohon maaf kepada pemimpin DAP, Lim Kit Siang di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin (20 Sept).

Kedua-dua defendan telah membacakan kenyataan permohonan maaf pada prosiding kes itu yang diadakan secara maya di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon, dan mahkamah kemudian merekodkan penghakiman persetujuan kes tersebut.

Sepatutnya perbicaraan berlangsung hari ini hingga 23 September secara maya, namun kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya melalui penghakiman persetujuan.

Berdasarkan draf persetujuan itu, defendan pertama Mohammed Hanif akan memohon maaf dan menarik balik kenyataan yang dibuat terhadap Lim di Konvensyen Karamah Bangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 6 Sept 2018.

“Saya dengan ini merakamkan permohonan maaf tanpa syarat berkenaan kenyataan yang telah saya buat membabitkan plaintif di konvensyen itu. Saya menarik balik kenyataan saya secara keseluruhannya dan tanpa syarat.

“Saya mengesahkan bahawa penahanan plaintif pada tahun 1969 bukan atas sebab bahawa beliau telah meminta Malaysia dibahagikan atas dasar perkauman dan seterusnya saya juga mengesahkan bahawa beliau tidak pernah mencadangkan sedemikian,” kata Mohammed Hanif dalam draf persetujuan itu.

Plaintif menerima permohonan maaf dan penarikan balik kenyataan oleh defendan pertama dan plaintif akan menarik balik kenyataan yang dibuat terhadap defendan pertama seperti terkandung dalam pernyataan bertarikh 7 Sept 2018, yang disiarkan di blog beliau, di laman web Rocketkini dan tweet plaintif bertarikh 7 Sept 2018 serta menarik balik tuntutan saman terhadap defendan pertama tanpa perintah berkenaan kos.

Menerusi draf persetujuan defendan kedua (Sinar), syarikat itu juga akan menyiarkan permohonan maaf bertulis secara terbuka kepada plaintif berhubung penerbitan artikel bertarikh 6 Sept 2018 dan 11 Sept 2018 dan secara serentak menarik balik dua artikel berkenaan.

Permohonan maaf bertulis secara terbuka akan disiarkan dalam Sinar Harian Online dan akhbar Sinar Harian secara bercetak, selewat-lewatnya pada 25 September ini serta dibacakan di mahkamah.

Plaintif akan menarik balik tuntutan terhadap defendan kedua dengan kos berjumlah RM20,000 yang akan dibayar syarikat itu selewat-lewatnya pada 27 September ini.

Dalam saman Lim yang difailkan pada 17 Okt 2018, beliau mendakwa Mohammed Hanif mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah ketika berucap di konvensyen itu yang telah diterbitkan dan disiarkan oleh akhbar Sinar Harian.

Menerusi pernyataan tuntutan, pemimpin kanan DAP itu mendakwa kata-kata fitnah berkenaan antara lain membawa maksud bahawa beliau bertanggungjawab dan berniat mengarahkan DAP untuk memisahkan atau membahagikan Semenanjung Malaysia kepada dua bahagian berdasarkan kaum dan berniat untuk memecahkan kaum Melayu dan Cina.

Sinar, sebagai defendan kedua didakwa telah bertindak dengan niat jahat apabila mencetak, menyiarkan, menerbit dan mengedarkan kata-kata fitnah itu.

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here