Sukan badminton berjaya menyatukan rakyat di Malaysia.

Oleh Khadijah Ibrahim

SELALU kita baca berita kekecohan politik sering berlaku di luar negara, sekarang ini suasana itulah yang kerap berlaku di negara Malaysia yang aman damai ini. Ahli politik asyik bertelagah sesama sendiri, sedangkan masalah rakyat yang dipertanggungjawabkan kepada mereka terbengkalai begitu saja.

Jika ahli politik tidak mampu menyatu padukan orang ramai tapi rakyat sering bersatu padu menerusi sukan tanpa perlu dipinta. Antara sukan yang sering membuatkan orang ramai bersependapat dan satu hati adalah badminton atau bola sepak. Kedua-dua sukan ini amat digemari rakyat tempatan.

Bagi membuktikan bahawa rakyat Malaysia memang cintakan sukan, produksi Full Billion Entertainment telah menzahirkan perpaduan tersebut menerusi filem Olympic Dream, arahan Don Hoe yang menampilkan genre drama dan sukan. Filem tersebut bakal menemui penonton Di Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 bermula 23 September ini.

Lebih mengujakan, filem ini turut menyaksikan penampilan legenda badminton negara seperti Datuk Rashid Sidek, Ong Ewe Hock, Cheah Soon Kit serta bekas pemain kebangsaan, Janice Woon Khe Wei dan Vivian Hoo Kah Mun. Mereka bukan sahaja menyerlahkan bakat lakonan, tetapi juga mempamerkan kehebatan aksi yang masih berbisa dalam sukan badminton.

Filem berdurasi 99 minit yang menggunakan bahasa Melayu dan Mandarin itu juga mempertaruhkan gandingan generasi baharu dan lama sebagai teraju utama, iaitu Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem & TV Ramsgate di England, Maya Karin, Pelakon Terbaik di Anugerah Golden Awards 2017, Jordan Voon, pelakon filem Hong Kong – Malaysia, adik Annabelle Tan dan bekas pemain kebangsaan dan kini jurulatih badminton Adelle Ng.

Sambil berlakon Rashid Sidek tetap bergaya mempamerkan aksi seorang pemain badminton tersohor.

Selain mengarah, Don Hoe yang bertindak sebagai penerbit Olympic Dream berkata, beliau terfikir untuk menghasilkan filem berkenaan badminton kerana sukan itu digemari oleh orang ramai tanpa mengira umur dan bangsa.

“Badminton adalah salah satu sukan popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Secara peribadi, saya membesar dengan menyaksikan kejayaan-kejayaan atlet-atlet Malaysia antaranya di Kejohanan Piala Thomas dan itu mendorong semangat dan nilai perpaduan dalam diri.

“Sukan ini telah merapatkan hubungan saya bersama rakan dan jiran tetangga yang berbeza latar usia, bangsa, kaya atau miskin untuk sama-sama menyokong pasukan Malaysia. Jadi, saya mengambil elemen sukan tersebut dan ketengahkan menerusi filem.

“Saya dengan rasa rendah hati berharap filem ini mampu menyuntik rasa bangga dalam diri kita sebagai rakyat Malaysia dengan pencapaian dan kegemilangan yang telah dicipta oleh barisan atlet negara. Saya juga mengharapkan ia dapat memberi inspirasi kepada semua, tidak kira rakyat Malaysia atau masyarakat dari negara luar untuk sentiasa berusaha dalam mencapai impian sehingga memperoleh kemenangan,” katanya penuh harapan.

Annabelle Tan dan Jordan Voon sebagai pak cik Quan yang membantu melatih Wong Anna.

Filem yang menjalani penggambaran selama 25 hari di Pulau Pinang itu telah menerima pengiktirafan di festival filem antarabangsa, antaranya, Filem Asia Terbaik di Festival Filem New York City IO 2021, Anugerah Khas Juri di Festival Filem Chambal International 2019, Anugerah Kepujian dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem & TV Ramsgate.

Sementara itu, Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, Olympic Dream tersenarai untuk tayangan kerana filem tersebut penuh dengan nilai dan semangat cintakan tanah air. Tayangan filem tersebut dilihat bersesuaian dengan sambutan Hari Malaysia yang diraikan pada 16 September lalu.

“Filem ini bukan sahaja memaparkan elemen sukan semata-mata, tetapi memupuk semangat patriotik dan menghargai ‘perjuangan’ individu dalam menjulang nama negara di mata dunia. Selain itu, kehadiran filem ini juga adalah bagi meraikan atlet-atlet negara yang telah mengharumkan nama Malaysia selama ini.

“Kami berharap usaha mempersembahkan filem ini kepada masyarakat mampu memacu pembangunan sukan di Malaysia, khususnya badminton yang merupakan salah satu sukan yang menyatukan rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang,” ujarnya.

Olympic Dream mengisahkan kecekalan Wong Anna yang menanam impian sejak kecil dan bercita-cita untuk menjadi pemain badminton kebangsaan. Walaupun Anna mengalami masalah kesihatan, itu tidak mematahkan impiannya. Ketika di sekolah, Anna ternampak kehebatan Pak Cik Quan yang juga merupakan bekas pemain badminton dalam mengendalikan bola tangkis.

Annabelle Tan dan Jordan Voon sebagai pak cik Quan yang membantu melatih Wong Anna.

Sejak itu, Anna sentiasa berlatih dengan Pak Cik Quan sehingga berjaya memenangi pertandingan badminton. Bakat Anna telah dilihat oleh jurulatih Cheah dan itu membuka laluan Anna untuk menjadi pemain kebangsaan. Apabila meningkat dewasa, Anna berjaya menjadi salah seorang pemain terbaik kebangsaan.

Namun, pasangan beregunya, Xiu Man telah cedera parah dan Anna terpaksa bertukar pasangan beregu baharu, Hao Yu. Anna dan Hao Yu berusaha keras untuk mengatasi semua kesukaran. Mereka membawa impian dan harapan 32.38 juta orang Malaysia untuk melangkah ke temasya Olimpik. Tetapi berjayakah Anna dan pasangannya mengharumkan nama Malaysia dan membawa pulang pingat emas Olimpik.

Jangan lupa untuk saksikan filem tentang sukan badminton, Olympic Dream yang akan berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 23 September 2021. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam secara berulang-ulang. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here