hands, phone, smartphone
Photo by Pexels on Pixabay

PERBINCANGAN tentang hadith palsu atau hadith mawdu` secara klasikalnya merujuk kepada perbahasan berkaitan penyelewengan terhadap hadith Nabi SAW. Hadith palsu direka secara secara dusta oleh seseorang dan kemudiannya dinisbah atau menyandarkan hadith tersebut daripada Rasulullah SAW.

Menurut Dr Muhammad Ajaj al-Khatib, hadith palsu (mawdu`) itu adalah hadith yang didustai, direka dan diciptakan lalu dihubungkan kepada Rasulullah SAW secara dusta lagi tidak benar. Demikian juga pandangan Nur al-Din ‘Itr dalam kitab Manhaj al-Naqd fi ‘Ulum al-Hadith, hadith palsu adalah sesuatu yang dinisbahkan kepada Rasulullah SAW secara mengada-adakan dan dusta, yang tidak disabdakan, dilakukan dan ditaqrirkan oleh baginda SAW.

Kemunculan dan kelahiran hadith palsu pada peringkat awal Islam didorong oleh pelbagai faktor seperti faktor agama bagi mengaburi ajaran Islam sebenar, faktor politik bagi mengukuhkan kuasa politik masing-masing kumpulan, faktor mazhab bagi menonjolkan kehebatan mazhab yang didukung dan menjatuhkan mazhab yang ditentang, faktor ekonomi bagi melariskan barang jualan, faktor mengampu perintah bagi mendapatkan habuan dan sebagainya lagi.

Apa yang pasti, para ulama telah berusaha keras bagi merangka metodologi agar dapat dilakukan penilaian terhadap hadith sehingga jelas dapat diketahui kedudukan hadith-hadith tersebut sama ada benar ataupun palsu.

Perkara ini sangat penting kerana ada disebutkan dalam hadith bahawa terdapat ancaman yang jelas daripada Nabi SAW terhadap individu atau golongan yang menisbahkan secara dusta sesuatu perkara yang tiada kaitan dengan Nabi SAW. Daripada riwayat Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berdusta atas (nama)ku dengan sengaja, maka dia telah menempah satu tempat di dalam neraka.” (HR al-Bukhari, no.hadith 107 dan Muslim, no.hadith 4).

Realiti pada hari ini, tidak dinafikan bahawa masih terdapat hadith-hadith palsu yang disebarkan secara meluas dalam masyarakat dalam media semasa melalui pelbagai medium media sosial. Khususnya yang mempunyai hubungkait dengan ibadah seperti kelebihan solat tarawikh setiap malam di bulan Ramadan, kelebihan puasa bulan Rejab, kelebihan mandi Safar dan sebagainya.

Namun, perkara ini boleh ditangani kerana pada masa kini, ramai masyarakat Islam yang sedar dan dapat merujuk segera kepada orang yang pakar dari kalangan agamawan untuk mengetahui kepalsuannya.

Apa yang lebih perit pada masa kini adalah “hadith palsu moden”. Apakah yang dimaksudkan di sini tentang “hadith palsu moden”? Penulis melihat bahawa banyak perkara yang timbul pada masa kini yang telah dikaitkan dengan Nabi SAW atau ajaran yang dibawa oleh baginda SAW.

Dalam erti kata bahawa, ia bukan daripada teks-teks hadith palsu sedia ada, tetapi dalam bentuk berita, khabar, atau keterangan yang dinisbahkan kepada Nabi SAW, sedangkan realitinya hanya sekadar menggunakan Nabi SAW untuk menghalalkan pandangan dan tindakan mereka. Maka, boleh dilabelkan perkara tersebut sebagai “hadith palsu moden”.

Antara yang dinisbahkan kepada Nabi SAW yang ada kaitan dengan beberapa ajaran sesat di Malaysia. Contohnya, baru-baru ini tahun 2021, Ajaran PMYT (Perjalanan Mimpi Yang Terakhir) di mana pengasasnya seorang wanita yang menggunakan nama Sittah Annur, mendakwa bahawa beliau telah beryaqazah (yakni bertemu dalam keadaan jaga dan sedar) dengan malaikat dan berbicara dengan Nabi Muhammad SAW.

Pada masa yang sama isu yang dibangkitkan dan diberikan penekanan adalah aspek peperangan besar pada akhir zaman yang akan berlaku. Lalu beliau sedang merangka pelan untuk keluar bersama dengan pengikutnya jika peperangan tersebut berlaku, dan kemudian memimpin pasukannya untuk mencari dan bertemu dengan Imam Mahdi bagi melawan musuh. Benarkah demikian? Benarkan kita boleh bertemu Nabi SAW dalam keadaan jaga dan sedar? Sedangkan Nabi SAW telah wafat lebih daripada seribu tahun?

Demikian juga, dakwaan palsu sebagai “Rasul Melayu” yang pernah di buat oleh Haji Kahar Ahmad atau dikenal sebagai Ayah Kahar. Beliau mendakwa telah dilantik sebagai rasul yang diutuskan kepada umat Melayu. Peristiwa ini berlaku sejak tahun 1991 lagi, namun didapati kembali aktif pada tahun 2020 yang lepas.

Ajaran Haji Kahar Bin Ahmad telah pun difatwakan sesat pada 28 Mac 1991 dan diwartakan pada 29 Ogos 1991 oleh Majlis Fatwa Negeri Selangor. Jadi, mendakwa sebagai Rasul itu adalah sangat jelas “kepalsuan” kerana apa yang umat Islam sedia maklum bahawa, Nabi Muhammad SAW adalah Nabi dan Rasul terakhir, penutup sekalian Nabi dan Rasul hingga akhir zaman.

Hal yang sama juga tentang “kepalsuan” ajaran yang di bawa Ibu Yati tentang “Agama Melayu” pada awal tahun 2021. Nama sebenar beliau iaitu Wan Noor Hayati Wan Alias atas ajaran yang bawa tersebut mempertikaikan agama Islam dengan merujuk sebagai Islam Arab, Quran Arab dan ucapan syahadah yang mengungkapkan “aku Melayu” sebagai ungkapan kesaksian. Semua perkara tersebut sangat bertentangan dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi SAW.

Selain itu, perbincangan tentang hadith palsu moden ini boleh juga dirujuk kepada penyebaran berita-berita palsu yang meluas dalam media sosial. Kemudahan teknologi pada hari ini, di samping kepantasan Internet menghubungi dunia maya masyarakat, menyebabkan semua perkara mudah diperoleh, mudah diketahui, mudah untuk disebarkan dan mudah untuk mengetahui perkembangan semasa.

Segala kemudahan tersebut bukan bermakna bahawa kita boleh mengambil mudah dalam soal antara benar dan palsu. Dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun 2020 dan 2021 ini, pelbagai berita palsu yang disebarkan, seperti isu jangkitan virus covid-19 dan jumlahnya, isu vaksinisasi, berita palsu tentang kematian akibat mengambil vaksin, penyebaran cerita yang tidak benar dari golongan anti-vaksin, dan banyak lagi berita dan cerita yang tidak benar tersebar meluas dalam media sosial. Ada sebahagian daripada penyebar berita palsu tersebut yang ditangkap dan dikenakan tindakan.

Demikian juga, berita palsu tentang kematian seseorang tokoh yang disebarkan meluas dalam media sosial, sedangkan tuan punya badan masih hidup. Antara mereka yang terpalit dengan isu berita palsu kematian seperti Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang dikatakan meninggal pada 17 Jun 2021 yang lepas, kematian isteri Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria pada bulan Mei 2021, pelakon Jalaluddin Hassan juga dikatakan meninggal dunia dalam bulan Jun 2016, tokoh Allahyarham Dato’ Ismail Kamus yang beberapa kali menerima khabar kematian beliau di media sosial sebelum benar-benar meninggal dunia pada 8 Mei 2020, Allahyarham Dato’ Haron Din pun sama sehingga beliau meninggal dunia pada 15 September 2016.

Wajarkah sebagai seorang Muslim bersikap demikian? Mengambil mudah untuk menyebarkan sesuatu berita dan cerita yang tidak pasti, bahkan palsu kepada orang lain. Bukankah perbuatan dan tindakan tersebut adalah satu fitnah dan pendustaan?

Oleh sebab itu, pengajaran penting boleh diambil daripada surah al-Hujarat, ayat 6, bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” Jadi, sangat penting untuk menyelidik kebenaran sebelum disampaikan kepada pihak lain.

Jangan kita menjadi seperti apa yang dijelaskan oleh Nabi SAW dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Hafs bin Asim RA, di mana Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Cukuplah bagi seseorang itu digelar sebagai pendusta apabila menceritakan semua yang didengarinya (tanpa tabayyun iaitu tanpa menyemak kebenarannya). (HR Muslim, no.hadith 5)

Akhir sekali, janganlah kita sama-sama terlibat dalam “menjayakan” penyebaran “hadith palsu moden” dalam masyarakat kita pada hari ini. Senantiasalah ada sikap dan sifat untuk menyemak, meneliti dan mengkaji dahulu sama ada benar ataupun tidak sesuatu berita, suatu cerita atau apa yang diterima sehingga dipastikan dengan yakin kebenarannya.

Bahkan, jika sesuatu itu dinisbahkan pula kepada Nabi SAW, pasti kita tidak mahu untuk meletakkan pendustaan kepada baginda SAW. Jadi, kebenaran tentang apa yang dibawa oleh Nabi SAW hendaklah dipertahankan melalui peranan kita masing-masing sebagai umat Islam yang bertanggungjawab dan dipertanggungjawabkan.

 

Prof. Madya Dr. Khadher Ahmad berkhidmat dengan Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Emel: [email protected]

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here