woman, stairs, career
Photo by geralt on Pixabay
Oleh Wan Afiqah Anis Wan Ahmad

LUMRAHNYA, setiap insan pastinya dilahirkan dengan kekurangan dan kelebihan yang ada dalam diri masing-masing yang telah dianugerahkan oleh Maha Pencipta. Namun begitu, sudah menjadi fitrah kita semua untuk menggapai kejayaan dan meningkatkan kemajuan diri ke peringkat yang lebih tinggi walau siapa jua diri kita ini. Apa yang pasti, keyakinan terhadap diri sendiri adalah sangat penting dalam mengubah persepsi diri demi mencapai kejayaan.

Keupayaan untuk mempercayai bahawa diri mampu untuk berubah dan mencapai kejayaan ini sangat subjektif namun sangat penting. Sehubungan itu, efikasi kendiri atau self-efficacy adalah salah satu dari pelbagai faktor yang penting bagi seseorang untuk bertindak dalam mencapai kejayaan dan kemajuan diri.

Self-efficacy atau efikasi kendiri membawa maksud persepsi diri sendiri terhadap kebolehupayaan untuk melakukan sesuatu di dalam situasi tertentu. Self-efficacy juga berkait rapat dengan keyakinan seseorang untuk mencapai sesuatu yang diinginkan atau untuk berjaya dalam kehidupan.

Amatlah penting untuk seseorang itu mempunya self-efficacy yang tinggi dan kukuh kerana tahap self-efficacy ini akan mempengaruhi tindakan seseorang dalam mencapai sesuatu yang diingini.

Justeru, terdapat dua tahap self-efficacy yang berbeza iaitu tahap tinggi dan rendah. Bagi individu yang mempunyai self-efficacy tahap tinggi, mereka ini sangat bermotivasi dalam melaksanakan sebarang tindakan yang menjurus kepada pembangunan diri dan membawa kebaikan kepada diri.

Mereka juga yakin dan optimistik dan mempunyai cita-cita yang jelas untuk mencapai kehendak mereka. Segala energi dan tindak tanduk pasti akan dilakukan menjurus kepada kejayaan yang mereka inginkan.

Menurut Bandura (1991) di dalam kajian beliau, mereka yang mempunyai self-efficacy yang tinggi mampu untuk mencapai hasrat dan cita-cita mereka. Kontradiksinya, self-efficacy tahap rendah adalah golongan yang tidak yakin akan diri sendiri dan tidak berdaya saing. Dengan kurangnya tahap daya saing ini mereka tidak akan mencuba untuk melakukan apa-apa tindakan luar biasa daripada rutin untuk memajukan diri.

Seolah-olah mereka sudah selesa berada di tempat mereka sekarang dan tiada cita-cita yang jelas untuk masa hadapan. Keselesaan inilah yang menyebabkan mereka tidak bermotivasi untuk mengubah dan membangunkan diri, maka inilah yang dikategorikan sebagai self-efficacy yang bertahap rendah.

Sementelahan, pergaulan adalah juga sangatlah penting dalam proses mengaplikasikan efikasi kendiri ini. Seseorang itu haruslah bergaul dengan persekitaran yang mendorong beliau untuk melakukan sesuatu itu sehingga berjaya. Jikalau tersalah memilih persekitaran dan pergaulan, maka keyakinan seseorang akan mula runtuh dan gugur satu persatu dan hilanglah kehendak untuk mencapai kejayaan tersebut.

Oleh itu, energi yang luar biasa ini haruslah dipupuk dikalangan kita semua terutamanya para pelajar. Dunia kini sudah semakin maju dan berubah kearah dunia digital dan semua maklumat ada dihujung jari. Mana mungkin kita mahu ketinggalan dan mundur.

Para pelajar seharusnya mengadaptasikan self-efficacy ini didalam perjalanan menimba ilmu dan menjadi manusia yang bermanfaat di masa hadapan. Dek kerana dunia yang semakin mencabar, maka para pelajar juga sudah pastinya menerima pelbagai dugaan dan cabaran di alam pembelajaran dan yang paling penting kenalilah potensi diri.

Self-efficacy adalah salah satu cara untuk meningkatkan motivasi diri dan juga mencapai kejayaan di dalam kehidupan kelak. Pergaulan dengan rakan-rakan yang ingin membangunkan diri dan mempunyai potensi untuk mencapai kejayaan adalah sangat penting.

Namun, efikasi diri atau self-efficacy di dalam Islam tidak hanya termaktub kepada keyakinan diri terhadap kemampuan diri sendiri melakukan sesuatu tetapi juga membawa maksud iman yakni kepercayaan kepada Sang Pencipta. Jadi, sebagai hambaNya kita semua mesti percaya bahawa Allah pasti tidak akan mensia-siakan hambaNya yang berusaha demi kebaikan diri serta ummah.

Kita mesti percaya bahawa kita mampu menempuh segala ujian dan melakukan segala tindakan dan usaha untuk kebaikan diri dengan izin dan bantuan dari Allah. Kepercayaan dan keyakinan dan beriman dengan Allah ini bertitik tolak dari firman Allah s.w.t iaitu bermaksud “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya” (Al Quran 2:286).

Kesimpulannya, Islam sangat menggalakkan umatnya untuk memajukan diri, berfikiran positif serta percaya kepada kemampuan diri. Dengan izin Allah dan usaha yang jitu dan berterusan, semestinya Allah akan memberi ganjaran ke atas segala tindakan kita asalkan berlandaskan syariat dan demi kebaikan diri sendiri malahan berkemungkinan mampu untuk menjadi asbab kebaikan seluruh alam.

Wan Afiqah Anis Wan Ahmad

Pengajar Bahasa Inggeris (MUET) di Akademi Pengajian Islam, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok , Kelantan.

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here