CERIA… Walaupun cuma baru lebih sebulan bertugas, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Charles Brewer menjadi perhatian warganet kerana bersikap ‘sporting’.

Menerusi hantaran dalam akaun sosial rasmi syarikat berkenaan, beliau yang berasal dari Britain itu tampil ‘turun padang’ dan bertukar sebagai posmen Pos Laju di sekitar Kuala Lumpur.

“Terima kasih kerana sudi memilih Pos Malaysia sebagai rakan kurier anda. Kami bersyukur menerima tiga kali ganda lebih daripada kebiasaan ketika Kempen Jualan 9/9 lalu,” katanya.

Beliau yang berpengalaman 34 tahun memegang pelbagai jawatan penting dalam syarikat kurier terbesar global, DHL berpusat di Jerman itu, malah tidak kekok menghantar bungkusan.

Tambahan pula, beliau memang sudah biasa dengan suasana negara ini apatah lagi isterinya, June merupakan warga Malaysia serta dua anaknya, Ella dan Henry menetap di ibu negara.

Dalam video berdurasi selama tiga minit yang menerima hampir 9,000 tanda suka itu, Brewer kelihatan ceria memunggah barangan di Pusat Pos Laju Brickfields bersebelahan KL Sentral.

Bahkan beliau memasukkan kesemua bungkusan dengan berhati-hati ke dalam van sebelum kenderaan dipandu petugas Pos Malaysia itu membawanya ke beberapa rumah pelanggan.

Ada penerima bungkusan itu yang terperanjat melihat beliau sendiri menyerahkan barangan, namun Brewer, 56, dalam nada bersahaja hanya berkata: “Maaf, saya cuma pekerja baharu.”

Bekas Ketua Pegawai Operasi Pos Kanada dan Ketua Pegawai E-Dagang Pos Jerman itu sebaliknya menganggap reaksi spontan mereka kerana penampilannya ala pelancong Mat Saleh.

Pelanggan terakhirnya pula menetap di tingkat 32 sebuah apartmen, namun beliau tidak keluh walaupun menaiki lif serta tetap optimis rakyat negara ini masih setia memilih Pos Malaysia.

Beliau yang memulakan karier sebagai pekerja kurier syarikat DHL pada 1984 ketika berusia 19 tahun itu, menggantikan Syed Md. Najib Syed Md. Noor yang berundur pada 1 Jun lepas.

Pos Malaysia yang ditubuhkan penjajah British pada tahun 1800, asalnya merupakan agensi awam sebelum dikorporatkan sepenuhnya sejak 1992 dan kini mempunyai lebih 20,000 staf.

Ketika ini, syarikat tersebut memiliki sejumlah 692 buah pejabat pos, 159 cawangan pos mini, 71 agen pos bertauliah, 50 premis khas Pos Laju dan dua pusat perkhidmatan pos bersepadu.

Ia juga mempunyai lebih 3,000 peti surat sama ada di dalam dan luar pejabat pos serta ada berusia lebih 200 tahun dengan kebanyakannya di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Melaka.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here