Oleh Yusoff Ahmad Shariff

KAWASAN Pantai Remis, Bagan Panchor dan Kuala Kurau, Perak di mana penggunaan bubu naga masih berleluasa semakin membimbangkan kerana ia mampu memberi kesan buruk kepada hasil tangkapan oleh nelayan selain merosakkan habitat kehidupan laut.

Sehubungan itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak pada petang Isnin (20 Sept) telah merampas sebanyak 241 bubu naga bernilai RM21,600 dalam operasi di sekitar perairan Kuala Kurau.

Menurut pengarah APMM Perak Kapten Maritim Shahrizan Raman sejak Januari hingga September sebanyak 500 bubu naga bernilai RM45,000 telah dirampas oleh APMM Perak.

“Mereka yang menggunakan bubu naga mengaut keuntungan dengan meletakkan sahaja bubu di laut dan datang semula pada keesokannya untuk mengangkat bubu.

“Apabila mendapat keuntungan, mereka akan memasang bubu naga hingga lima batu nautika yang jelas melanggar zon nelayan lain,” katanya kepada media di Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau pada Selasa (20 Sept).

Mereka yang menggunakan bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3) (c) Akta Perikanan 1985 dan dikenakan denda RM20,000 dan penjara tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pihak APMM sedang berusaha bersama Jabatan Perikanan ke arah menguatkuasakan undang-undang mengharamkan penjualan bubu naga.

Shahrizan berkata tindakan tegas perlu supaya mereka yang menjual bubu naga dapat ditahan memandangkan pada masa ini tiada undang-undang yang diperuntukkan untuk menahan penjual barang larangan itu di pasaran.

“Ini kerana Maritim hanya mempunyai kuasa untuk merampas bubu naga dan menahan nelayan di laut sahaja dan tidak boleh merampas bubu naga yang terdapat di jeti dan yang dijual di kedai.

“Kita juga sedia bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menahan penjual di kedai-kedai yang didapati menjual bubu naga,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Perak Datuk Abdul Yunus Jamahari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Kurau berkata masyarakat nelayan diminta melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat penggunaan bubu naga.

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here