Datuk Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menafikan menerima panggilan telefon daripada seorang “menteri kanan” supaya tidak membenarkan Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) mempengerusikan sidang Dewan Rakyat untuk sesi petang semalam.

Beliau menjelaskan pertukaran saat akhir semalam untuk membatalkan Nga daripada mempengerusikan Dewan Rakyat adalah keputusannya dan tidak didorong atau ditekan oleh mana-mana pihak.

“Saya memang beri Nga (Teluk Intan) pengerusikan Dewan Rakyat semalam tetapi saya tukar saat akhir.

“Saya tak didorong atau ditekan untuk tukar fikiran. Saya guna kuasa saya untuk tukar fikiran. Tiada terima panggilan,” katanya di Dewan Rakyat ketika menjawab pertanyaan Gobind Singh Deo (PH-Puchong), lapor FMT.

Gobind sebelum itu meminta Azhar menjawab sama ada benar Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali yang meminta beliau membatalkan keputusan untuk menjemput Nga mempengerusikan sidang Dewan Rakyat pada sesi petang semalam.

Azhar juga berkata, menurut Peraturan Mesyuarat 7(3), beliau mempunyai kuasa untuk memanggil mana-mana Ahli Parlimen untuk mempengerusikan sementara sidang Dewan Rakyat sehingga kembalinya speaker dewan.

Terdahulu, Gobind mencabar Azmin untuk menjawab sama ada benar atau tidak beliau menghalang Nga daripada mempengerusikan sesi persidangan Dewan Rakyat semalam.

Gobind berkata demikian selepas dilaporkan Nga diundang secara bertulis untuk mempengerusikan sidang itu oleh Azhar semalam tetapi didakwa “dihalang” oleh seorang “menteri kanan Kabinet”.

Sebelum itu, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) turut meminta Dewan Rakyat mendedahkan siapakah menteri kanan yang menghalang Nga untuk mempengerusikan sidang Dewan Rakyat semalam.

Katanya, perbuatan itu sangat memalukan dan menyalahgunakan kuasa.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here