MENDIANG Ken Worden ibarat ‘bapa kedua’ Maniam Pachaiappan sehingga ramai rakan sepasukannya di Selangor mahupun skuad negara, mengakui dan gemar menggelarnya begitu.

Maniam, kini ketua jurulatih pasukan Liga Super, PJ City FC, turut tidak sesekali melupakan bagaimana bekas jurulatih Malaysia itu menghadiri majlis perkahwinannya di Klang, Selangor pada 1994.

“Rakan-rakan selalu akan tanya saya begini, Maniam, mana ‘bapa’ kamu?, (merujuk kepada Worden) apabila mereka mahu mencari atau menemuinya.

“Mendiang juga cukup kenal dengan ahli keluarga saya. Dia juga akan datang ke rumah saya setiap tahun pada Hari Deepavali.

“Saya berjaya jadi jurulatih sekarang pun banyak atas tunjuk ajar dan nasihat Worden sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS),” kata bekas bek kanan skuad negara ini kepada BebasNews, hari ini.

P. Maniam (kanan) ketika menjadi jurulatih Bawah 15 Tahun Malaysia, juara Kejohanan B15 AFF 2019. – Foto FAM

Worden atau nama sebenarnya, Kenneth Joseph Worden, kelahiran Preston Lancashire, England, meninggal dunia pada usia 78 tahun di Hospital Besar Townsville, Queensland, Australia, semalam.

“Bola sepak Tasmania berdukacita dengan berita pemergian Ken Worden, bekas pemain yang mewakili Tasmania pada 1970-an dan memulakan karier kejurulatihannya di sini.

“Ken (lahir pada 2 Februari 1943) kemudian melatih beberapa pasukan di Malaysia dan Singapura,” lapor laman Facebook Football Tasmania.

Worden pernah membantu Malaysia menjuarai Pestabola Merdeka 1993 selepas menewaskan Bawah 23 Tahun Korea Selatan 3-1 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur hasil jaringan Dollah Salleh dan Azman Adnan.

Dia yang karier pemain dan jurulatihnya banyak berlegar di Australia, turut membimbing skuad negara memenangi Piala Kemerdekaan Indonesia 1992 selain membawa Selangor merangkul Piala FA dan Piala Malaysia 1991, 1995 dan 1996 serta 2002.

Antara pemain lain bimbingannya termasuk Zainal Abidin Hassan, Mubin Mokhtar, Khairul Azman Mohamad, K. Gunalan, Azizol Abu Haniffah, Malek Rahman, Lee Kin Hong, See Kim Seng, P. Ravindran dan Ahmad Yusoff.

Turut pernah dilatihnya ialah Singapura, Sabah, Terengganu dan SPA KL.

“Saya bermula sebagai bek kanan Selangor pada 1991 tetapi Worden berikan peluang saya bermain hampir semua posisi termasuk perantara menyerang sehingga berjaya menjaringkan sembilan gol semusim,” kata Maniam, 53.

Satu kenangan lucu berkaitan Worden ketika melatih Malaysia turut kembali terimbas mindanya.

“Dia pernah cabar pasukan kami tidak mampu tewaskan Australia. Dia sanggup minum air wain dalam kasutnya jika kami berjaya.

“Kami jadi semakin bersemangat dengan cabaran dan pasukan negara kemudiannya mengalahkan Australia 1-0 dalam Piala Kemerdekaan Indonesia 1992,” katanya.

Worden katanya, tidak pula mengotakan janji itu setelah pasukan membuktikan kemampuan mereka menerusi jaringan P. Ravindran yang pernah digelar ‘Ekspres Kinta’.

“Bersamanya dalam pasukan negara, saya paling mengingati Kelayakan Piala Dunia 1993. Kami berjaya seri dengan Arab Saudi 1-1.

“Saya amat menghargai segala jasanya dan sedih dengan berita kematiannya. Mendiang sudah jadi legenda bola sepak di Malaysia dengan memenangi hampir semua kejuaraan.

“Mendiang telah memberikan banyak peluang dan mencungkil bakat-bakat muda Selangor.

“Saya bermula sebagai jurulatih Bawah 19 Tahun Selangor ketika beliau sebagai Pengarah Teknikal FAS pada 2005.

“Teringat saya ketika di Yayasan FAS, Kelana Jaya, Selangor, beliau memang gemar makan roti canai dua keping dan segelas teh tarik,” katanya.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here