Andi Bernadee dan Shiha Zikir teraju utama drama Perisik Cinta Tak Diundang.

Oleh Khadijah Ibrahim

BERMULA malam ini (21 September), peminat drama tempatan berpeluang menonton Perisik Cinta Tak Diundang yang mengisi slot Akasia pada pukul 7 malam, setiap Isnin hingga Jumaat di saluran TV3.

Drama 12 episod terbitan OrangeTree Production Sdn. Bhd., yang diinspirasikan dari novel karya Puteri Aqish dan diarah oleh Mohd. Azmi Hatta itu juga boleh ditonton secara eksklusif melalui perkhidmatan penstriman Viu pada pukul 8 malam.

Perisik Cinta Tak Diundang menampilkan pelakon- pelakon popular Malaysia seperti Andi Bernadee, Shiha Zikir, Hafidz Roshdi, Bella Astillah, Wani Kayrie, Norish Karman, Esma Daniel, Fazlina Ahmad Daud dan ramai lagi.

Bagi Andi Bernadee yang melakonkan watak utama sebagai Niyaz Aqasha berkata, beliau mempunyai sebab tersendiri bersetuju untuk berlakon dalam drama tersebut.

“Apa yang membuat saya terima tawaran ini adalah kerana pengarahnya, abang Azmi Hatta. Saya pernah bekerja dengan abang Azmi untuk drama Melastik Ke Hatimu, jadi saya dah tahu cara kerja dia. Begitu juga dengan produksi OrangeTree yang menerbitkan Melastik Ke Hatimu. Saya selesa bekerja dengan team tersebut.

Selain berlakon Andi juga sibuk mengumpul bahan untuk album baharu.

“Selain pernah bekerjasama dengan pengarah dan produksi, saya setuju berlakon drama ini kerana watak Niyaz Aqasha ini menarik untuk saya lakonkan. Saya lihat karakter Niyaz ini boleh dikembangkan dengan gaya tersendiri. Sebab itulah, saya masukkan sedikit elemen diri saya dalam watak Niyaz.

“Biarpun saya diberi kebebasan untuk melakonkan watak tersebut tapi saya masih lagi berpandu kepada perwatakan Niyaz yang dicipta untuk drama tersebut berdasarkan novel asal,” jelasnya ketika dihubungi.

Kata Andi, beliau tidak kekok bergandingan dengan penyanyi Shiha Zikir yang melakonkan watak Medina Mikayla kerana sebelum bekerjasama di set penggambaran, mereka sudah lama mengenali antara satu sama lain sebagai rakan artis.

“Alhamdulillah, saya gembira bila dapat digandingkan dengan Shiha. Dia adalah antara artis yang sudah lama dalam industri ini. Sebelum saya masuk dalam industri ini pun saya sudah mengenali Shiha dan dia banyak bantu saya pada waktu itu.

Andi sebagai Niyaz Aqasha.

“Perangainya yang ceria itu memudahkan kerja sewaktu di lokasi dan saya harap drama ini dapat menghiburkan penonton. Harap-harap dapatlah penonton mengisi masa lapang mereka sebab kita tahu sekarang ini banyak yang stres. Daripada drama ini kita harapkan sekurang-kurangnya dapatlah meringankan emosi masing-masing,” katanya.

Andi yang semakin menyerlah dalam bidang lakonan berkata, buat masa sekarang beliau ada menerima beberapa tawaran berlakaon namun masih dalam perbincangan. Begitu juga dengan kerjaya sebagai penyanyi, beliau sedang mengumpul material untuk tampil dengan album baharu.

“Saya tak boleh nak beritahu secara terperinci lagi kerana semuanya baik lakonan atau rakaman, masih dalam perbincangan dan proses. Bila sudah ada kata putus, barulah boleh diumumkan,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima, Nini Yusof berkata, bagi menambah jumlah penonton, pihaknya perlu mengikut cita rasa dan pilihan penonton.

“Kita perlu memahami cita rasa dan pilihan penonton mengikut trend masa kini untuk terus menambahkan jumlah penonton lagi. Kerjasama dengan Viu ini memberi peluang kepada MPTN (Media Prima Televisyen Network) untuk mencapai matlamat dalam memperluaskan kandungan program ke peringkat yang lebih jauh.

“Secara tidak langsung juga MPTN dan Viu dapat menambah bilangan penonton baharu menerusi perkhidmatan penstriman yang disediakan oleh Viu,” katanya.

Drama ini  mengisahkan tentang Medina Mikayla yang tinggal bersama ibu, Mak Tah dan adiknya, Anida di sebuah kampung. Medina seorang graduan kulinari yang bercita-cita mahu menjadi seorang cef yang berjaya. Dia menjual nasi lemak dan kuih-muih di kampung sementara mencari pekerjaan.

Antara adegan antara Andi dengan Shiha.

Niyaz Aqasha pergi bercuti ke resort milik ayahnya Tuan Muhsin di kampung Medina. Mereka sekeluarga menyambut ulang tahun perkahwinan Tuan Muhsin dan Puan Rogayah di situ. Niyaz dan Medina telah berkenalan secara tidak sengaja di kampung. Selepas itu, mereka sering terjumpa. Namun, pelbagai peristiwa lucu telah berlaku antara mereka.

Tuan Muhsin yang berkenan dengan masakan Medina telah mengambil Medina untuk bekerja di restorannya di Kuala Lumpur. Tuan Muhsin suruh Niyaz menguruskan restoran itu dan boleh mengenali Medina. Niyaz memberi syarat dia nak ‘merisik’ perangai dan hati budi Medina dulu. Niyaz juga meminta Tuan Muhsin merahsiakan identitinya dan hanya mahu menjadi pekerja biasa di situ.

Medina kemudian bekerja di restoran Tuan Muhsin. Begitu juga dengan Niyaz. Di sana mereka mula mengenali antara satu sama lain dan semakin rapat.

Medina juga memutuskan hubungan dengan teman lelakinya, Firas (Hafidz Roshdi) kerana sikap barannya yang susah dikawal. Pada masa yang sama, Tuan Muhsin telah masuk meminang Medina untuk Niyaz. Tanpa sengaja, Medina telah tersarung cincin lamaran Tuan Muhsin.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here