PERTEMBUNGAN Malaysia (kuning) dan Vietnam ketika Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia di Dubai, Jun lalu. - Foto FAM

JUMPA Vietnam lagi!

Buat kali kedua selepas Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, inilah ‘jodoh’ Harimau Malaya dalam Kumpulan B Piala AFF 2020 (2021) dari 5 Disember ini hingga 1 Januari 2022.

Skuad Tan Cheng Hoe ditundukkan 2-1 dalam pusingan kedua Kumpulan G kelayakan di Dubai, Jun lalu dengan Si Naga Emas kini memburu tiket ke Piala Dunia sekalipun kalah kepada Australia dan Arab Saudi.

Vietnam juga menghampakan kita 3-2 secara agregat dalam perlawanan akhir timbal balik untuk menjuarai Piala AFF 2018 (2-2 di Bukit Jalil dan 1-0 di Hanoi).

Hanya sekali Harimau Malaya bergelar juara iaitu pada 2010 ketika Cheng Hoe sebagai penolong jurulatih kepada Datuk K. Rajagobal, selepas menewaskan Indonesia agregat 4-2. Malaysia juga muncul naib juara 1996 dan 2014.

Turut merintangi Malaysia dalam Kumpulan B Piala AFF kali ini ialah musuh tradisi, Indonesia yang ditewaskan 3-2 dan 2-0 ketika kelayakan itu, dua tahun lalu di samping Kemboja dan Laos.

Juara lima kali, Thailand mengetuai Kumpulan A sambil ditentang Myanmar, Filipina, Singapura dan pemenang perlawanan kelayakan antara Brunei dan Timor Leste.

Kejuaraan Asia Tenggara edisi ke-13 ini sepatutnya berlangsung pada penghujung 2020 namun terpaksa ditunda ke April 2021 sebelum dianjakkan ke Disember ini berikutan pandemik Covid-19.

Majlis undian peringkat kumpulan Piala AFF juga hanya diadakan menurut norma baharu iaitu secara dalam talian.

HARIMAU Malaya juara Piala AFF 2010.

Kata Cheng Hoe melalui rakaman audio untuk media, “sudah tentu kita tahu Vietnam pasukan pilihan Kumpulan B dan yang penting, kita perlu fokus satu persatu perlawanan termasuk Laos (diletakkan pilihan kelima dalam undian).

“Kita juga tahu Indonesia sememangnya musuh tradisi kita. Kemboja pula kita tidak boleh ambil mudah kerana mereka mempunyai pemain-pemain berbakat,” katanya.

Sebagai persiapan, Cheng Hoe juga mempunyai dua perlawanan persahabatan tahap 1 antarabangsa menurut kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada awal Oktober ini.

“Kami barisan jurulatih akan sentiasa memantau prestasi pemain-pemain kita (termasuk ketika kempen Piala Malaysia mulai Ahad ini). Yang dipanggil nanti diharap dapat berikan sumbangan terbaik kepada pasukan negara,” katanya.

Juga dalam norma baharu dan ekoran Covid, tiada lagi format dua perlawanan tempat sendiri dan dua perlawanan tempat lawan yang digunakan seperti 2018 sebaliknya ditukar ke venue berpusat atau karnival sahaja.

“Siapa pun tidak sangka pandemik ini masih berlarutan. Ada motivasi terbaik buat pemain apabila bermain secara perlawanan timbal balik tetapi kali ini, pasukan kena sentiasa fokus setiap satunya.

“Sasaran kami ialah yang terbaik setiap kali masuk bertanding walaupun tidak boleh ambil mudah,” katanya.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here