Tengku Razaleigh

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau ‘Ku Li’ berkata, Dewan Rakyat ketika ini dipengaruhi dan dimanipulasi melalui korupsi politik bukan lagi seperti satu ketika dahulu ia dihormati dan disanjungi oleh orang ramai.

Katanya, negara kini berdepan dengan krisis di mana rakyat menganggap Dewan Rakyat gagal menjalankan tugas dan mereka juga merasakan ia adalah cara untuk menjadi beberapa orang tertentu kaya manakala rakyat biasa menjadi sebaliknya.

“Pada pandangan orang ramai, Dewan Rakyat tidak lagi dihormati dan disanjungi seperti satu ketika dahulu, mereka sering merasakan bahawa Dewan Rakyat kini dipengaruhi dan dimanipulasi melalui korupsi politik.

“Orang ramai percaya bahawa Dewan Rakyat kini dilanda kekotoran korupsi politik.

“Korupsi politik ini tidak mudah ditakrif, ia berlaku dalam pelbagai bentuk. Bukti berlakunya korupsi politik ini ada kalanya kelihatan dan ada kalanya tertutup,” katanya pada perbahasan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 hari ini.

Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu berkata, keadaan tersebut seolah-olah sudah seperti jatuh ditimpa tangga kerana orang ramai berada dalam keadaan terdesak, di mana mereka menghadapi penderitaan amat sangat yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.

Tambah beliau, dalam keadaan sebegini percaturan politik Malaysia seharusnya berjalan lancar namun ia sebaliknya sumbang, jadi bagaimanakah mungkin pemimpin boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.

“Lebih daripada itu orang ramai tidak akan ada tempat untuk bergantung dan tiada sebuah badan yang mana mereka boleh berteduh, merayu dan meminta pertolongan dalam usaha mereka mencari penyelesaian,” katanya.

Justeru Tengku Razaleigh menyeru semua pihak mencari jalan untuk menghapuskan ‘ulat-ulat’ yang mengerumuni Dewan Rakyat.

“Tugas ini bukan senang untuk dilaksanakan, namun kita perlu memulakannya dengan memastikan kita mengamalkan politik betul dan lurus,” katanya.

Pada masa sama beliau menzahirkan rasa sedih dengan amalan politik negara yang berbaur dengan rasuah, di mana kuasa politik ditukar ganti dengan sokongan untuk mendapat kedudukan dalam parti.

Katanya, ia dilaksanakan dengan kewujudan sistem berat sebelah dan ganjaran kewangan berperingkat.

“Korupsi atau rasuah politik sebagai perbuatan haram dan membahayakan demokrasi berperlembagaan. Kita masih tidak mendapat pengiktirafan seperti terdapat di negara-negara lain.

“Kita harus menghapuskan musuh dalam selimut ini sekiranya kita benar-benar mahu mempertahankan sumpah berperlembagaan untuk ‘menyimpan, menjaga keselamatan dan mempertahankan’ perlembagaan kita.

“Para pemimpin parti politik, kehakiman, Kabinet dan Ahli Parlimen harus ingat bahawa mereka berkewajipan terhadap negara dan rakyat. Sekiranya mereka tidak menegakkan kedaulatan undang-undang mereka melakukan pengkhianatan,” katanya.

Ahli politik veteran itu pada bulan Julai lalu memohon kepada Speaker, Datuk Azhar Azizan Harun untuk menukar tempat duduk di Parlimen ke blok bebas yang tidak menyokong kerajaan.

Ini kerana beliau memaklumkan sejak dari awal lagi tidak pernah menyokong atau bersama-sama dengan kerajaan yang ditubuhkan atas nama kerajaan Perikatan Nasional.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here