Oleh Wartawan BebasNews

SEPERTI yang sering disebut, ‘Hanya nila yang setitik, habis susu sebelangga’.
Begitu halnya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila tiga pegawainya disiasat kerana didakwa menyalah guna kuasa dalam kes rampasan bahan bukti berjumlah AS$6 juta milik Hasanah Abdul Hamid, bekas ketua pengarah badan perisikan luar negara.

Belum pun siasatan SPRM selesai, sudah berbagai andaian dan telahan dibuat sehingga mencemar imej Suruhanjaya tersebut. Lebih malang, dakwaan dan tuduhan kurang lebih hanya ‘dengar cakap’ tanpa disahkan lagi sejauh mana kebenarannya.

Kenapa jadi demikian? Tunggulah siasatan selesai.

SPRM seperti mana agensi penguatkuasaan yang lain, mempunyai kaedah siasatannya sendiri, bahkan pujian pernah diberikan tentang kejayaan Suruhanjaya bertindak pantas terhadap sesiapa sahaja yang didapati bersalah termasuk pegawainya sendiri.

Jika ditelusuri kes-kes yang kendalikan sebelum ini, pendakwaannya dilakukan bukan hanya ‘ikan bilis’ tetapi juga ‘jerung’. Bukan hanya melibatkan pihak luar tetapi juga ‘buah yang busuk’ dalam SPRM sendiri.

Sehubungan itu, tidak sepatut timbul keraguan siapa yang paling layak menyiasat kes kerana sebelum ini pihak SPRM telah membuktikan dirinya telus dalam menyiasat sebarang kes yang dikendalinya dan tindakan juga diambil sekiranya betul-betul bersalah.

Sesungguhnya nasib tidak menyebelahi SPRM kali ini, apabila terdapat tohmahan bahawa individu yang dipertanggungjawabkan tidak menunaikan amanah yang diharapkan.

Namun sekiranya benarlah perkara ini berlaku seperti didakwa, ini bukan kerana salah peraturan atau undang-undang yang longgar tapi lebih menjurus kepada sikap individu itu sendiri.

Tentunya kita pernah mendengar bahawa ‘setandan pisang bukan elok semua buahnya’. Tidak sewajarnya kerana sikap individu tersebut menyebabkan SPRM dihukum dan dilontarkan dengan tuduhan dan dakwaan yang tidak sepatutnya.

Sebenarnya salah laku boleh berlaku di mana-mana bukan kerana disebabkan oleh peraturan atau undang tidak ketat atau berat. Malah, jika didatangkan peraturan atau SOP yang terbaik dunia, belum tentu ia tidak dilanggar. Segala-galanya bermula dalam diri individu yang dilantik untuk menjalankan tugas.

Misalnya, kita pernah mendengar pelbagai kes yang berlaku seperti anggota Imigresen Malaysia yang terbabit dengan rasuah bersekongkol untuk melepaskan pekerja asing di pintu sempadan dan juga tentang salah guna kuasa dalam kalangan anggota polis yang membawa kepada kematian suspek di lokap tahanan polis.

Tentunya ironi, apabila terdapat individu yang menyeleweng di entiti yang dianggap sebagai mustahil boleh berlaku seperti di Majlis Agama Islam, Pusat Zakat atau Tabung Haji. Bagi kita, tentunya mereka seharusnya mempunyai sikap yang terpuji.

Sehubungan itu, kita tidak boleh dengan mudah menuding jari kepada mana-mana pihak termasuk oerganisasi yang menjadi tempat kerja sekiranya berlaku kes salah guna kuasa kerana kesalahan yang dilakukan adalah atas kapasiti sendiri.

Bukan semua pihak yang terikat kepada undang-undang, kerana pelanggaran boleh berlaku atas faktor kelemahan individu sendiri disebabkan tidak memiliki integriti dan disiplin diri yang kuat seperti mana diharapkan.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here