KUALA LUMPUR – SEDANIA Innovator Berhad (SEDANIA), melalui anak syarikatnya Offspring Inc Sdn. Bhd (“Offspring Inc.) kini meluaskan pasarannya ke pasaran Timur Tengah bermula dengan Bahrain.

Negara-negara Timur Tengah seperti Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan UAE mencatatkan kadar kelahiran lebih sejuta bayi baru lahir dan memiliki kuasa membeli yang tinggi, kata Pengasas dan Pengarah Urusan SEDANIA, Datuk Azrin Mohd Noor dalam kenyataannya di sini hari ini.

Offspring merancang untuk mengembangkan pertumbuhan mereka ke negara-negara jiran seperti Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan UAE dengan unjuran bahagian pasaran bernilai RM35 juta sebulan.

Beliau berkata, dengan pembukaan pasaran baharu ini, Offspring kini menakluki lima wilayah di seluruh dunia iaitu Asia, Amerika, Eropah, Afrika, dan Timur Tengah.

“Berikutan kejayaan pembukaan pasaran di 17 buah negara, Offspring Inc. sekali lagi menanda satu titik penting dengan usaha pertama mereka ke pasaran wilayah Teluk,” kata Azrin.

“Kami bekerjasama rapat dengan rakan kongsi di Bahrain dan perancangan strategik kami adalah untuk memberi fokus kepada pengukuhan pengenalan jenama sambil memenuhi permintaan yang tinggi dari pasaran baharu.

“Kami telah menerima pesanan yang besar dari Bahrain sejurus selepas perjanjian perkongsian kami dimeterai”, tambah beliau.

Bank Dunia mengklasifikasi Bahrain sebagai negara mempunyai pendapatan isi rumah yang tinggi dengan anggaran pendapatan setiap isi rumah sebanyak AS$55,000 setahun dan penduduk Bahrain boleh dianggap sebagai salah satu sasaran pengguna yang ideal untuk peniaga semua sektor termasuk produk keperluan asas.

SEDANIA memiliki 51 peratus kepentingan dalam Offspring Inc., sebuah syarikat teknologi kesihatan yang memberi tumpuan khusus pada penjagaan awal kanak-kanak, antaranya menghasilkan produk bayi organik yang berkualiti tinggi.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here