downtown, dubai, uae
Photo by Olgaozik on Pixabay
Oleh Dr Mohd Khairul Naim Bin Che Nordin

PADA hari Jumaat, suatu ketika dahulu saya terserempak dengan seorang rakan yang tiba-tiba keluar dari masjid ketika Imam sedang berkhutbah. Saya baru sampai di tangga masjid ditegur olehnya dan diajak untuk sama-sama meninggalkan solat Jumaat pada hari itu. Kata rakan itu, imam membaca khutbah yang mengampu dan membodek kerajaan dan beliau mahu keluar mencari masjid lain atau jika tidak sempat hanya akan bersolat Zohor sahaja.

Dalam pengalaman lain, saya diajak seorang rakan untuk bertemu dengan seorang rakannya yang lain. Saya duduk untuk makan malam yang disulami wacana tentang sunnah Nabi yang dikatakan tidak relevan pada masa kini, bertudung yang dianggap kewajipan untuk wanita di padang pasir 1400 tahun lampau dan pelbagai hukum yang dinyatakan tidak lagi mengikut arus keperluan zaman.

Dua pengalaman saya ini menunjukkan dua sisi ekstrim manusia dalam beragama. Ekstrim ialah pemikiran, sikap dan tingkah laku yang melampau dan jauh dari kesederhanaan. Seumpama contoh di atas, ekstrim yang pertama ialah terlalu ketat dan keras dalam pegangan sehingga pandangan lain yang tidak sehaluan dengannya langsung dianggap salah dan perlu ditolak.

Ia pemikiran dan sikap yang radikal, keras dan tiada toleransi. Manakala ekstim yang kedua pula terlalu longgar dalam beragama, sehingga agama tidak lebih sekadar ajaran moral sahaja manakala aspek hukum hakam dianggap tidak wajar diamalkan kini kerana ketinggalan zaman. Ia pemikiran dan sikap yang liberal, longgar dan bermudah dalam beragama.

Namun mengapakah keras dalam beragama disebut melampau? Tidakkah bagus untuk kita tegas dengan agama yang dianuti? Mengapakah pula bermudah dalam agama dianggap ekstrem? Tidakkah agama ini diturunkan untuk kemudahan manusia?

Persoalan ini jika diteliti bukanlah tentang agama itu sendiri tetapi lebih kepada sikap dan pemikiran manusia dalam memahami dan mengamalkan agama. Hakikatnya ada beza antara keras dengan tegas.

Mereka yang tegas dalam beragama ialah mereka yang komited dengan agamanya, teguh berprinsip dengan perkara usul dan asas agama namun terbuka dan berlapang dada dengan hal yang boleh diperselisihkan.

Sikap keras sebaliknya melahirkan pemikiran sempit, melihat sesuatu hanya dalam konteks halal dan haram serta tidak toleran dengan pandangan berbeza walaupun ia terbuka untuk diperselisihkan.

Begitu juga terdapat perbezaan antara Islam sebagai agama yang mudah dengan bermudah-mudah dalam beragama. Islam sebagai agama yang mudah bermaksud kebenaran yang dibawa Islam senang difahami dan mudah diyakini. Keesaaan Allah yang menciptakan alam yang tersusun ini adalah sesuai dengan rasional manusia.

Pada aspek ibadah, muslim boleh melaksanakannya mengikut kemampuan. Islam tidak membebankan penganutnya dalam hal yang tidak mampu mereka laksanakan. Ibadah haji hanya diwajibkan kepada mereka yang berkemampuan. Jika dalam solat pula, bagi mereka yang tidak mampu berdiri maka dibolehkan untuk dia duduk atau menunaikannya dalam keadaan semampunya tanpa paksaan.

Sebaliknya bermudah-mudah dalam agama bermaksud mengambil ringan persoalan hukum hakam, menganggap kewajipan boleh diubah-ubah dan melihat sesuatu yang haram boleh diharuskan. Mereka yang bermudah-mudah dalam urusan agama juga mentafsirkan al-Quran dan hadis mengikut kemahuan dan selera mereka.

Islam sebaliknya mengajar umat bersikap sederhana dalam pelbagai perkara. Dalam aspek akidah, Islam tidak memaksa manusia menganutinya. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 256: “Tiada paksaan dalam (menganut) agama (Islam).”

Ayat di atas bermaksud Muslim tidak boleh memaksa bukan Islam untuk menganut Islam. Ini kerana Islam perlu diterima dengan kefahaman, keyakinan dan kesungguhan. Dengan itu syahadah yang diucapkan tidak sekadar diucap di lisan tetapi bermula dengan keyakinan di hati. Pemaksaan dan ugutan sebaliknya mendatangkan ketakutan dan kegelisahan, bukannya ketenangan dan keikhlasan.

Dalam aspek inilah Rasulullah dalam dakwahnya tidak pernah memaksa manusia menganuti Islam walaupun baginda mempunyai kuasa untuk melakukan sedemikian. Sahifah atau Perlembagaan Madinah jelas memberi kebebasan dan jaminan perlindungan kepada penduduk Madinah yang bukan beragama Islam.

Dasar jaminan kebebasan dan perlindungan ini kemudiannya diikuti oleh pemerintah Islam yang lain selepas itu.
Dalam hal bersederhana dalam akidah ini juga, Usamah bin Zayd r.a pernah menceritakan pengalaman beliau bersama sahabat lain yang dihantar oleh Rasulullah SAW ke al-Huraqah untuk berdepan dengan orang kafir yang menentang Islam.

Salah seorang kafir yang ketika itu dikejar oleh Usamah kemudiannya mengucapkan syahadah. Namun dia tetap dibunuh olehnya. Kejadian tersebut sampai kepada Rasulullah dan baginda bersabda kepadanya: “Apakah engkau membunuhnya sesudah dia mengucapkan, “Tidak ada Tuhan selain Allah?” Usamah mempertahankan tindakannya dengan mengatakan lelaki tersebut bersyahadah hanya untuk melepaskan dirinya dari dibunuh.

Namun Rasulullah bersabda: “Apakah engkau belah dadanya untuk mengetahui isi hatinya?” Rasulullah mengulang-ulang sabdanya itu kepada Usamah seraya bersabda, “Siapakah yang akan membelamu terhadap kalimah “Tidak ada Tuhan selain Allah” kelak di hari kiamat?” Teguran baginda kepada Usamah ini menunjukkan kesederhanaan yang perlu ditunjukkan oleh Muslim kepada manusia yang lain.

Sederhana dalam konteks ini ialah dengan tidak melampau menghukum manusia lain. Apabila seseorang itu bersyahadah maka menjadi tanggungjawab muslim yang lain untuk membimbingnya, bukan sebaliknya menghukum dalam hal yang hanya diketahui Allah SWT.

Dalam hal hubungan sesama insan pula, Rasulullah SAW pernah menegur Muaz bin Jabal r.a kerana membaca surah yang sangat panjang ketika menjadi imam sehingga mengganggu urusan jemaah yang lain.

Baginda bersabda: “Apakah engkau ingin menimbulkan fitnah wahai Muaz?” Lafaz ini disebut sebanyak tiga kali seolah mahu memberikan kesan mendalam kepada Muaz dan sahabat yang lain supaya bersederhana ketika melakukan ibadah bersama manusia yang lain.

Selain itu, Islam juga menolak pemikiran liberal yang menjunjung kebebasan sehingga menggadaikan hukum dan pandangan ulama. Ia bermuara dari sikap anti-autoriti dan dengan itu menolak pandangan ulama dalam memahami nas agama. Persoalannya jika ulama dikesampingkan maka apakah neraca yang mereka gunakan dalam memahami agama? Dalam hal ini mereka menggunakan akal rasional yang terpengaruh dengan pemikiran Barat sebagai alat memahami nas.

Terdapat banyak ayat al-Quran yang memberi peringatan kepada umat Islam untuk tidak mentakwil agama mengikut selera sendiri. Dalam al-Baqarah, 87, Allah berfirman: “Apakah setiap kali datang kepadamu seorang Rasul membawa sesuatu pelajaran yang tidak sesuai dengan keinginanmu lalu kamu menyombong?..”

Firman Allah lagi dalam al-Nisa’ 135: “Maka jangan kamu mengikuti hawa nafsu untuk menyimpang daripada kebenaran..” Begitu juga dalam al-Furqan 43: “Terangkan kepada-Ku wahai Muhammad tentang orang yang menjadikan hawa nafsu sebagai tuhannya. Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara ke atasnya.”

Oleh itu jika kita ditanya apakah Islam mengajar umat untuk ekstrem? Jawapannya ialah tidak kerana Islam itu sendiri mengajar penganutnya untuk bersederhana dalam kehidupan, menyeimbangkan urusan rohani dan jasmani serta mengutamakan aspek ukhrawi tanpa melupakan tanggungjawab duniawi.

*Dr Mohd Khairul Naim Che Nordin bertugas di Jabatan Akidah & Pemikiran Islam Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here