KUALA LUMPUR – Seorang pegawai perubatan mengibaratkan golongan anti vaksin Covid-19 seperti orang yang memilih untuk mandi dengan terjun di lombong berbanding mandi di rumah, sedangkan mereka tidak pandai berenang dan tiada pelampung.

Pakar Anestesiologi di Hospital Kuala Lumpur, Dr. Hana Hadzrami juga menyifatkan mereka sebagai golongan yang banyak karenah kerana menuntut orang lain perlu bersedia menyelamatkan setelah mereka sendiri memilih untuk tidak dibantu dengan mengambil vaksin.

“Kami tiada masalah dengan orang yang mempunyai pilihan sendiri jika melibatkan warna pakaian kegemaran atau pilihan jenis kenderaan atau pilihan makanan. Suka hati nak pilih apa pun, asal tidak menganggu sesiapa.

“Ini ibarat orang yang pilih nak terjun lombong berbanding mandi di rumah. Masalahnya dia tak reti berenang dan tak mahu guna pelampung.

“Begitulah ibaratnya,” katanya menerusi catatan di Facebook awal pagi ini.

 


Beliau membuat coretan itu berkongsi mengenai situasi wad Unit Rawatan Rapi (ICU) yang kini dipenuhi oleh golongan anti vaksin atau ahli keluarga mereka berbanding seorang pesakit yang hanya sempat menerima satu dos vaksin.

Dr. Hana berkata, pesakit yang menerima satu dos vaksin tidak memerlukan bantuan mesin pernafasan berbanding pihak anti vaksin.

Beliau berkata, sikap penting diri golongan anti vaksin juga menyebabkan hospital kini terpaksa digunakan untuk merawat mereka sedangkan terdapat pesakit-pesakit bukan Covid-19 yang perlu dirawat.

“Bila agaknya hospital boleh beri perkhidmatan kepada kes bukan Covid, jika masih ramai yang enggan divaksin kini memenuhi katil di hospital sedangkan mereka sebelum ini memperjuangkan kehendak sendiri dengan menolak vaksin.

“ Tuhan pun hanya tolong mereka yang ingin bantu diri sendiri,” ujarnya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here