Oleh Ahmad Abd Hamid

GELEMBUNG pelancongan atau tourism bubble melibatkan Pulau Langkawi mulai 16 September lalu dianggap kritikal kerana merupakan projek pelancongan rentas negeri yang akan menjadi penentu atau penanda aras kepada pembukaan lebih luas sektor pelancongan atau sebaliknya.

Justeru amat penting memastikan gelembung ini berjaya dan bertahan, tidak sampai bocor apatah lagi pecah. Banyak harapan digantung kepada Langkawi. Kejayaannya bukan demi kepentingan pelancongan Langkawi sahaja, tetapi nasib destinasi lain yang mengharapkan Langkawi menjadi pemangkin atau catalyst kepada kerancakan semula sektor pelancongan.

Semua yang terlibat dengan industri ini daripada pemilik agensi pelancongan, hotel dan inap desa, pemandu pelancong, para penyedia kemudahan pelancongan, para peniaga semuanya mengharap pembukaan Langkawi menjadi contoh ikutan untuk pembukaan destinasi lain.

Sektor pelancongan antara yang terjejak teruk akibat pandemik Covid-19 dan sepanjang tempuh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Akibatnya banyak pemain industri ‘angkat tangan’ dan tutup kedai.

Banyak hotel, termasuk hotel ternama, menutup operasi kerana tidak mampu menyerap kerugian. Akibatnya ramai pula kehilangan kerja dan sumber pendapatan.

Kerana itulah gelembung pelancongan Langkawi ini dianggap kritikal dan ujian penting bagi kesinambungan sektor pelancongan keseluruhannya.

Menteri Pelancongan Seni dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri telah pun membayangkan selepas ini tiga lagi destinasi bakal dibuka iaitu Melaka, Pulau Tioman dan Genting Highlands. Sasarannya ialah 1 Oktober.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri juga mengumumkan, rentas negeri dan pelancongan rentas negeri akan dibenarkan selepas sekurang-kurangnya 90 peratus penduduk mendapat suntikan lengkap dua dos vaksin Covid-19.

Matlamat ini bakal dicapai tidak lama lagi kerana kini sudah 80 peratus penduduk menerima suntikan dua dos lengkap. Dengan kadar pemberian vaksin yang lancar di negara ini, suntikan baki untuk 10 peratus lagi akan segera dicapai.

Gelembung pelancongan Langkawi perlu dipastikan berjaya. Tidak harus menoleh ke belakang lagi kerana jika gelembung ini gagal, harapan Langkawi kembali menggamit pelancong akan kabur. Sektor pelancongan di pulau Mahsuri itu juga akan terus suram.

Menurut statistik Kementerian Pelancongan Seni dan Kebudayaan, seramai 6,622 pelancong mengunjungi Langkawi menaiki kapal terbang antara 16 hingga 19 September. Dalam tempuh sama, seramai 3,483 pelancong sampai menaiki feri.

Angka ini memberangsangkan dengan mengambil kira mungkin masih ramai yang masih belum bersedia melancong pada waktu ini atau belum bersedia membiasakan diri dengan peraturan yang dikenakan untuk datang ke Langkawi.

Sebenarnya orang ramai sendiri memainkan peranan penting dalam kejayaan gelembung pelancongan Langkawi. Di pihak kerajaan sendiri telah menetapkan beberapa syarat bagi memastikan keselamatan dan keselesaan orang ramai. Orang ramai mesti mematuhi peraturan ini demi kelancaran dan kebaikan bersama.

Selain syarat asas iaitu lengkap suntikan dua dos, ujian saringan atau swab test penting demi memastikan hanya pelancong negatif Covid-19 sahaja dibenarkan masuk, dan dengan itu dapat menghalang jangkitan kepada penduduk tempatan.

Ada kes mereka yang gagal ujian diarah berpatah balik. Jika ini berlaku, mereka yang terlibat mestilah menerima dengan hati terbuka.

Peraturan prosedur operasi standard (SOP) masih berkuat kuasa dan mesti dipatuhi. Jangan terlalu seronok melancong sehingga tidak memakai pelitup muka atau menjaga penjarakan fizikal.

Kaedah kawalan dan saringan lebih mudah di Pulau Langkawi kerana pelancong akan masuk hanya melalui laut atau udara. Begitu juga nanti keadaannya di pulau lain seperti Pulau Tioman atau Wilayah Persekutuan Labuan.

Cabaran besar ialah apabila pelancongan di tanah besar dibuka dan jika proses saringan seperti di Langkawi hendak dikuatkuasakan. Ini kerana pelancongan darat boleh diakses melalui pelbagai laluan atau saluran kemasukan (entry points).

Apabila keadaan sudah bertambah baik dan sasaran 90 peratus suntikan lengkap dicapai, saringan di lokasi pelancongan mungkin tidak perlu lagi. Namun ini menuntut disiplin dan kerjasama orang ramai. Patuhi SOP ditetapkan kerana Covid-19 masih ada di sekeliling.

Sasaran bukan sahaja untuk pelancongan domestik kembali rancak tetapi juga pelancongan antarabangsa. Kehadiran pelancong luar sangat perlu kerana mereka penyumbang kepada pendapatan negara. Namun negara perlu benar-benar bersedia sebelum mengucapkan ‘Selamat Datang’ kepada mereka.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here