Guna watak `Spiderman’ demi sesuap nasi?

Oleh Nafsiah Jani

JANGAN terkejut jika anda melihat watak `Spiderman’ ataupun `Superman’ berlegar-legar digerai-gerai air tepi jalan di sekitar Kelantan kerana inilah daya tarikan yang digunakan setiap pemilik gerai untuk menarik pelanggan membeli air digerai milik mereka.

Setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk melariskan jualan mereka. Begitu juga dengan Azhar Yaakub,32, yang menjadikan watak `Spiderman’ sebagai tarikan gerai air tepi jalannya yang terletak di Jalan Bypass Pasir Puteh, Pasir Puteh Kelantan.

Setiap hari gerai miliknya, Air Teh Beng Spiderman mampu menjual antara 200 ke 300 biji kelapa serta air teh beng (Teh Ais). Secara tidak langsung selain menjana pendapatan untuknya, dapat juga Azhar memberi pekerjaan serta berkongsi rezeki dengan remaja di kawasan sekitarnya.

Gerai Air Teh Beng Spiderman ini beroperasi setiap hari dari jam 10 pagi hingga jam 6.30 petang. Selain air kelapa dan teh beng, Azhar juga turut menjual colek (rojak buah).

Azhar anak kelahiran Pasir Puteh ini sudah empat tahun meniaga di sini dan gerai ini juga merupakan gerai keduanya selain kedainya yang terletak di kawasan bandar Pasir Puteh yang turut menjual air kelapa dan masakan panas.

“Anak saya minat dengan watak Spiderman. Demi sayangkan anak, saya sanggup membeli kostum Spiderman untuk saya pakai bagi menghiburkan hati anak. Kostum ini saya beli secara atas talian dengan harga lebih rm250 sepasang.

“Bila dah selalu mengayakannya terfikir juga saya untuk digunakan sebagai tarikan di gerai air milik saya yang terletak di tepi jalan tersebut. Sejak itulah saya cari pekerja untuk menjadi `Spiderman’. `Spiderman’ saya ini silih berganti orangnya kerana ada yang berhenti sebab dah kahwin dan ada yang berhenti sebab dapat kerja lain.

“Selain menjadi `Spiderman’, pekerja saya ini akan bertukar menjadi pemotong buah kelapa dan membantu saya melayan pelanggan yang datang. Buat masa ini saya ada dua orang `Spiderman” Irfan Zimi dan Syafiq,” kata bapa kepada dua orang cahaya mata ini.

Menurut Azhar, walaupun tanpa `Spiderman’ gerainya masih mampu menjana pendapatan macam biasa.

Syafiq beraksi di hadapan gerai.

“Kadang kesian juga kanak-kanak yang datang bertanyakan `Spiderman’ kerana ingin bergambar dengannya. Disebabkan untuk memenuhi keinginan kanak-kanak terpaksalah saya teruskan idea ini sampai bila-bila. Seminggu Irfan akan jadi `Spiderman” dan Syafiq pula akan membantu dalam gerai dan begitulah rutin mereka setiap minggu bertukar-tukar menjadi `Spiderman’.”

Sudah empat tahun Azhar membuka gerai air tepi jalan ini. Pengalaman bekerja sejak tingkatan satu dengan pelbagai majikan membuatkan Azhar cukup mahir meniaga serta membuat air yang sedap untuk dinikmati pelanggannya.

Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Azhar mampu mengupah pekerja seramai 14 orang untuk menolongnya menjaga gerai tepi jalan serta kedai makannya. Namun kekangan kewangan dan disebabkan PKP, kini pekerjanya tinggal enam orang sahaja.

Bagi Irfan Zimi,19, dan Syafiq Ahmad, 20, kedua-dua bersyukur kerana masih mempunyai pekerjaan dalam keadaan pandemik covid sekarang ini. Memandangkan keadaan ekonomi sekarang hanya inilah saya pekerjaan yang mampu dilakukan mereka berdua.

Walaupun hanya komisen, namun keduanya mampu menjana RM45 hingga RM50 sehari. Sekurang-kurangnya duit ini mampu untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup serta membantu keluarga. Mereka juga bertuah kerana majikannya, Azhar menanggung makan minum mereka dua kali sehari.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here