SARIMAH Ahmad bersama satu daripada 300 naskah buku "Petua Kecantikan Daripada Dato' Sarimah Ahmad Luar & Dalam" hadiah daripada pemilik WAFA TV, Syed Yusof Wafa Syed Nordin Wafa. Hadiah buku tersebut berlangsung di perkarangan bekas ibu pejabat Utusan Melayu di Jalan Utusan semalam.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

SETELAH lebih lima tahun tidak bertemu, dengan kali terakhir pada majlis pelancaran buku “Dari Geylang Serai ke Utusan Melayu” karya wartawan tersohor Allahyarham Haji Ahmad Idris (ABI) pada 14 Februari 2016 di Dewan Utusan, hari ini tepat pukul 10.30 pagi saya menyambut kedatangannya bersama menantu, Syed Mahadi Syed Fauzi, di lobi bekas pejabat syarikat akhbar tertua negara, Utusan Melayu (M) Berhad, di Jalan Utusan.

Dari jauh jelas ternampak wajah jernih dan cantik miliknya yang hanya dibaluti bedak tipis dengan secalit gincu menghiasi bibir milik Primadona Studio Jalan Ampas ‘kelahiran’ Allahyarham Tan Sri P. Ramlee iaitu Seniwati Datuk Dr. Hajjah Sarimah Ahmad.

Ketika menghampiri keretanya, saya hampir menitiskan air mata tatkala melihat tubuh kurus milik Primadona yang pernah menjadi pujaan ramai di zaman kegemilangan filem-filem Melayu terbitan Shaw Brothers pada tahun 1960-an.

Meskipun kami tidak dapat berpelukan dan memberikan ciuman penuh kasih sayang seorang adik (saya) kepada kakaknya demi menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) namun ia sudah cukup meleraikan rindu yang kian lama kami simpan kemas di hati kerana selama ini kami sekadar berhubung dan bertanya khabar melalui telefon dan pesanan melalui aplikasi WhatsApp setiap hari sebelum Subuh.

Betapa bahagianya saya dapat menatap wajah beliau namun tatkala melihat tubuh kurusnya di sebalik baju kurung moden berwarna kelabu saya hanya mampu menangis di dalam hati kerana saya tahu beliau tidak suka melihat saya menangis. Namun jauh di sudut hati saya hanya mampu berkata betapa kuat dan tabahnya beliau menghadapi dugaan hidupnya.

HADIAH ‘belated birthday’… satu daripada 300 naskah buku “Petua Kecantikan Daripada Dato’ Sarimah Ahmad Luar & Dalam daripada Syed Yusof Wafa Syed Nordin Wafa buat Sarimah Ahmad.

Empat puluh satu tahun mengenali beliau, saya yang dianggap bagaikan adik dan sering berkongsi rahsia dan rasa, amat faham hati dan budinya serta pendiriannya.

Beliau bukanlah seorang yang suka ‘meminta-minta’ atau dahagakan pujian dan anugerah sebagai menghargai sumbangannya dalam bidang seni. Cuma apa yang diharapkan ‘sesuatu yang menjadi haknya’ sebagai anak seni yang dinanti sejak berpuluh tahun akan menjadi kenyataan.

Biar apa pun yang berlaku dan meskipun kadangkala menyentuh hatinya tetapi ‘orang luar’ jangan mimpi akan dapat berkongsi tentang apa yang dirasai dan bagaimana kehidupannya hari ini kerana beliau akan simpan kemas di sudut hatinya. Namun saya bersyukur kerana diterima sebagai adik, sahabat dan wartawan yang dipercayai.

Itulah Sarimah, ibu muda kepada dua orang anak ketika menceburi dunia seni pada 1961 ketika berusia 19 tahun melalui filem pertama “Ali Baba Bujang Lapok” sebagai Marjina ‘orang gaji’ yang tidak banyak bercakap tetapi setia kepada majikannya. Begitulah sifat sebenar primadona yang seorang ini yang tidak pernah berubah dan lebih suka mendiamkan diri walaupun hatinya terusik.

Buku hasil karya Sarimah Ahmad.
“Petua Kecantikan Daripada Dato’ Sarimah Ahmad: Luar & Dalam”

Bukan itu sahaja, sampai saat ini beliau tidak pernah lupa ketika pertama kali bergelar pelakon, matlamatnya hanya satu untuk membesarkan anak-anak kerana kesempitan hidup. Rezeki dari bakat anugerah-Nya beliau bersyukur kerana dapat memberi keselesaan hidup kepada anak-anak yang masih kecil ketika itu. Apa yang nyata pengorbanannya itu tidak sia-sia kerana enam orang anaknya, Norhayati, Farah Waheeda, Mohd. Jamil, Shahray (dari perkahwinan pertama dengan Allahyarham Zulkifli Ahmad), Yusarima Puteri dan Muhammad Yusari Amir (dari perkahwinan kedua dengan Allahyarham Yusof Majid) mampu hidup selesa hari ini.

Meskipun kini, primadona ini lebih suka ‘menjauhkan’ diri dari dunia seni yang penuh glamor namun tidak dinafikan masih ada penerbit yang cuba membawanya kembali ke dunia seni dan tidak kurang juga wartawan yang cuba mendapatkan cerita menarik tentang dirinya.

Namun bagi primadona ini, sekali beliau meletakkan noktah pada dunia seni beliau tidak akan memadamkannya. Sebabnya beliau kini lebih selesa hidup jauh dari sinar cahaya glamor dunia seni apalagi dalam usianya mencecah 79 tahun, Tok (nenek) kepada 35 orang cucu dan TokNyang kepada 26 orang cicit ini hanya mahu menjalani hidup seperti insan biasa jauh dari hiruk-pikuk kehidupan hari ini apalagi tatkala berdepan pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

SARIMAH Ahmad bersama keluarga anaknya, Yusarima Puteri dan suaminya, Syed Mahadi Syed Fauzi.
Berdiri dari kiri: Syed Hud, Syed Omar, Syed Mahadi dan Syed Nuh.
Duduk dari kanak: Sharifah Zahrah, Sarimah Ahmad dan Yusarima Puteri.

“Saya sudah lalui pelbagai dugaan dan pada usia begini saya hanya mahu mencari keredaan Illahi. Bukan saya sombong tetapi inilah yang terbaik buat saya dalam meniti usia begini.

“Apalagi ketika negara dilanda pandemik, dunia saya kini hanya di bilik rumah teres dua tingkat yang sudah berusia hampir 30 tahun. Sebelum ini, setiap hujung minggu saya sering dikunjungi anak-anak, cucu dan cicit tetapi kini Yusarima Puteri (isteri Syed Mahadi) menjaga saya dengan rapi demi kesihatan semua.

SARIMAH Ahmad sebagai Marjina dalam filem “Ali Baba Bujang Lapok” bersama seniman S. Shamsuddin (Allahyarham) dan Seniman M. Zain ( Allahyarham)

“Sudah lebih setahun anak, cucu dan cicit tidak boleh menjenguk saya. Saya tahu mereka rindukan saya tetapi demi menjaga kesihatan, mereka tidak dibenarkan datang,” luah Sarimah setelah menerima 300 naskah buku “Petua Kecantikan Daripada Dato’ Sarimah Ahmad Luar & Dalam’ hasil karyanya, sebagai hadiah ‘belated birthdaynya’ yang ke-79 (28 April lalu) daripada pemilik WAFA TV, Syed Mohd. Yusof Wafa Syed Nordin Wafa.

Bagi yang tidak mengenalinya mungkin menerima apa yang dikatakan tetapi jika mendasari hatinya, bagai ada yang disimpan kemas oleh primadona ini yang pernah mewarnai dunia seni selama empat dekad dengan membintangi lebih 40 buah filem yang mana sehingga hari inj lakonannya masih melekat di hati para peminatnya.

Ketika ditanya apakah beliau pernah mendapat apa-apa ‘hadiah’ melalui tayangan di stesen TV filem-filem lakonannya ketika di Studio Jalan Ampas arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Sarimah sekadar berkata;

“Saya tidak pernah fikirkan tentang itu walaupun ada peminat bertanya. Semua itu bukan urusan saya kerana sudah ada badan berkanun yang dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan masalah ini, walaupun sampai hari ini masih tidak nampak apakah kesudahannya,” kata Sarimah dalam nada suara yang amat perlahan.

Menyentuh mengenai buku petua kecantikan beliau, bagi saya semua itu ketentuan-Nya hingga membawa kami berjumpa hari ini.

Penulis bersama Sarimah Ahmad.

Semuanya bermula apabila pada pagi Isnin beliau menghubungi saya bagaimana boleh mendapatkan buku hasil karyanya yang dicetak oleh Utusan Publications & Distributor pada tahun 2005 dan dijual pada harga RM45.

Setelah saya menghubungi bekas Pengurus Besar Sumber Manusia Kumpulan Utusan Melayu, Nazlan Mohd. Osman memberitahu setakat ini hanya tinggal 300 naskah sahaja yang masih dalam simpanan.

Sesuatu yang memeranjatkan apabila saya beritahu mengenai perancangan Sarimah untuk membeli semua buku berkenaan kepada Syed Yusof Wafa yang selalu membantu saya merakamkan foto dan video untuk artikel saya di BebasNews melahirkan hasratnya;

“Saya akan booking semua buku itu untuk dihadiahkan kepada Datuk Sarimah sebagai hadiah ‘belated birthdaynya.’ Bagi saya hadiah ini sebagai ucapan jutaan terima kasih saya kepada Datuk yang selama ini menghiburkan saya dengan filem-filem lakonannya.

“Kalau nak dibandingkan sumbangan Datuk dalam bidang seni, walau segunung berlian saya hadiahkan kepada Datuk, ia tidak mampu membalas jasanya. Tetapi buku ini mempunyai nilai sentimental kerana ia adalah hasil karya Datuk dan amat sesuai saya hadiahkan.”

Sementara itu, Sarimah yang terkejut apabila Syed Wafa menyerahkan buku berkenaan sebagai hadiah ‘belated birthdaynya’ berkata;

“Allahu akhbar…saya tidak sangka orang yang mahu menghadiahkan buku ini adalah Syed Wafa dan saya amat terharu dengan hadiah ini kerana masih ada orang yang menghargai saya.

SARIMAH Ahmad bersama Sharifah Zahrah, cucunya yang juga Pembantu Peribadinya.

“Sebenarnya saya dah lama kenal Wafa kerana suatu ketika dahulu beliau selalu mewakili Tan Sri Syed Mohd. Yusof Tun Syed Nasir yang lebih mesra dipanggil Tan Sri Jojo pemilik Hotel Concorde dan Saloma Bistro di Jalan Ampang, mengundang para seniman dan seniwati veteran untuk majlis berbuka dan majlis makan malam.”

Bercakap mengenai buku berkenaan Sarimah memberitahu ia akan dijadikan cenderamata untuk dihadiahkan kepada tetamu dan peminat istimewanya.

Bukan itu sahaja memandangkan Syed Mahadi menulis buku mengenai perubatan cara Melayu, Sarimah bercadang untuk menulis dan menerbitkan bahagian kedua buku berkenaan dengan dibantu oleh Syed Mahadi dan anaknya, Sharifah Zahrah yang juga Pembantu Peribadi beliau.

“Insyaa-Allah, jika keadaan mengizinkan saya akan menerbitkan bahagian kedua panduan kecantikan para wanita,” kata Sarimah.

Sebelum beliau meninggalkan kami saya mengimbas kembali watak antagonis lakonannya dalam filem “Norlela” dan “Si Tanggang” ketika di zaman kegemilangannya, sambil tersenyum Sarimah berkata;

“Disebabkan watak bonda tiri (permaisuri) kepada Putera Mahkota (lakonan Allahyarham Seniman Aziz Jaafar) dan Tuan Puteri isteri kepada si Tanggang, saya menerima tiga guni surat daripada para peminat yang marahkan saya kerana tidak suka saya ‘jadi jahat!’

“Bukan itu sahaja, malah pernah terserempak peminat dan mereka marahkan saya. Walaupun saya jelaskan itu hanya sebuah lakonan, mereka tetap tidak mahu Sarimah jadi jahat biarpun dalam filem.”

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here