KESEBELASAN utama Harimau Malaya yang menewaskan Thailand 1-0 dalam Kelayakan Piala Dunia/Asia di Dubai, Jun lalu. - Foto FAM

TIADA Safawi Rasid dan Farizal Marlias mahupun dua pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi!

Mereka diketepikan daripada skuad 24 pemain yang dipanggil bagi menghadapi dua perlawanan bola sepak persahabatan tahap 1 antarabangsa di Amman, Jordan mulai 1 Oktober ini, lapor laman sesawang Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.

Safawi, Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia 2018 dan 2019 dan rakan sepasukan penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) itu membarisi kesebelasan utama Harimau Malaya dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Jun lalu.

Ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe sebaliknya mengekalkan hanya 12 pemain daripada baki tiga perlawanan pusingan kedua kelayakan itu termasuk seorang lagi pemain naturalisasi, Guilherme de Paula.

Harimau Malaya akan menghadapi lawan di ranking ke-93 dunia, Jordan dan Uzbekistan (84) pada 6 dan 9 Oktober ini di Amman yang juga sebahagian persediaan awal menjelang Piala AFF 2020 (2021) dari 5 Disember ini hingga 1 Januari 2022.

Tonggak lain JDT, juara Liga Super 2021 yang dikekalkan ialah kapten, Aidil Zafuan Radzak, Nazmi Faiz Mansor, Akhyar Rashid dan Syafiq Ahmad selain trio yang berpangkalan di luar negara, Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk, Belgium), Dion-Johan Cools (FC Midtjylland, Denmark) dan Dominic Tan (Police Tero FC, Thailand).

Penjaring terbanyak tempatan Liga Super dari Kedah Darul Aman (KDA) FC, Baddrol Bakhtiar yang menyepi agak lama daripada skuad negara, kembali memikat Cheng Hoe di samping penjaga gol Melaka United FC, Khairul Fahmi Che Mat mahupun tonggak Kuala Lumpur City FC, Akram Mahinan dan D. Kenny Pallraj.

Muka baharu dalam panggilan kali ini termasuk penjaga gol PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Quentin Cheng dan Al Hafiz Harun (Penang FC), Sharul Nazeem Zulpakar dan Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor FC) serta pemain Terengganu FC, Hakimi Abdullah.

Skuad negara akan melapor diri di Kuala Lumpur pada 1 Oktober sebelum berlepas ke Amman, keesokannya bagi kedua-dua perlawanan dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) (4 hingga 12 Oktober ini) dan dijadual pulang ke tanah air pada 10 Oktober ini.

Selain Piala AFF, Harimau Malaya yang menduduki tempat ketiga Kumpulan G di Dubai di belakang UAE, Vietnam namun mengatasi Thailand dan Indonesia, turut akan memburu tiket pusingan akhir Piala Asia 2023 di China dalam pusingan ketiga kelayakan pada Januari atau Februari 2022.

SAFAWI Rasid (kiri) tidak tersenarai kali ini tetapi Syafiq Ahmad dikekalkan Tan Cheng Hoe. – Foto FAM

Senarai 24 pemain negara menentang Jordan dan Uzbekistan

Penjaga gol: Khairulazhan Khalid (Selangor FC), Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United FC), Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (PJ City FC).

Benteng: Aidil Zafuan Radzak (JDT FC), Sharul Nazeem Zulpakar, Syahmi Safari (Selangor FC), Irfan Zakaria (KL City FC), Mohamad Hakimi Abdullah, Arif Fadzilah Abu Bakar (Terengganu FC), Rizal Ghazali (KDA FC), Dion-Johan Cools (FC Midtjylland, Denmark), Dominic Tan (Police Tero FC, Thailand), Quentin Cheng (Penang FC).

Perantara: Nazmi Faiz Mansor, Akhyar Rashid (JDT FC), D. Kenny Pallraj, Akram Mahinan (KL City FC), Baddrol Bakhtiar (KDA FC), Mohamad Al Hafiz Harun (Penang FC), Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor FC).

Penyerang: Syafiq Ahmad, Guilherme de Paula (JDT FC), Faisal Abdul Halim (Terengganu FC), Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk, Belgium).

-BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply