KUALA LUMPUR – Persoalan sama ada Ketua Pesuruhjaya (KP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu direhatkan daripada tugasnya berikutan siasatan ke atas tiga pegawai kanannya akan dibawa kepada pertimbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tindak itu bertujuan memastikan perkara itu diputuskan secara adil demi kepentingan semua pihak termasuk Datuk Seri Azam Baki.

“Saya tidak ada kuasa untuk rehatkan sesiapa, tetapi saya akan bawa perkara ini kepada perdana menteri.

“Bagaimana kita boleh fikirkan secara adil kepada semua pihak, bukan sahaja kepada SPRM, YB (Yang Berhormat) dan kepada KP SPRM,” katanya ketika membuat penggulungan titah diraja pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab persoalan Gobind Singh Deo (PH-Puchong) yang bimbang kemungkinan wujud unsur campur tangan terhadap siasatan kes tiga pegawai I berkenaan kerana KP SPRM mempunyai kuasa yang luas termasuk kemungkinan memberi tekanan kepada mereka yang terlibat.

Sebelum ini juga Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) turut mencadangkan supaya KP SPRM direhatkan sementara waktu dari tugas-tugasnya supaya siasatan penuh dapat dilakukan.

Dalam pada itu, Wan Junaidi turut memaklumkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah membuka kertas siasatan berhubung kes tersebut.

“Saya duduk di sini (Parlimen) semalam. Menteri Dalam Negeri sudah menjawab. Laporan polis telah dibuat dan kertas siasatan telah dibuka,” katanya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin di Dewan Rakyat semalam memaklumkan bahawa satu kertas inkuiri PDRM dibuka berhubung tiga pegawai kanan SPRM atas dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes seorang bekas ketua jabatan suruhanjaya itu.

Wan Junaidi turut menjelaskan mengenai persoalan siasatan kes tersebut dijalankan oleh SPRM bukan PDRM kerana ia berlandaskan kepada laporan maklumat awal yang diterima oleh Suruhanjaya itu.

“Standard Prosedur Operasi SPRM menetapkan kesegeraan yang munasabah diberikan dalam melaksanakan penyiasatan dan SPRM segera memulakan siasatan ini dengan menangkap pegawai berkenaan dan menahan reman bagi tujuan melangkapkan kertas siasatan.

“Siasatan dipastikan berjalan secara terus dan dilakukan secara profesional serta tidak berkompromi untuk melindung mana-mana pegawai,” kata beliau.

Beliau menambah, SPRM menjalankan siasatan segera kerana Suruhanjaya itu sudah mempunyai fail yang lengkap berhubung dakwaan kehilangan barang kes tersebut.

Justeru, SPRM bertindak segera menangkap tiga pegawai kanan terbabit untuk ditahan reman di mahkamah dan Suruhanjaya giat meneliti bukti, motif dan fakta-fakta berkaitan kes tersebut.

“Jadi kalau dibuat laporan polis, adakah polis mampu untuk menyelidik semula semua maklumat yang ada pada SPRM.

“Jadi agensi yang lebih baik dan mempunyai maklumat yang terperinci ialah SPRM sendiri,” katanya.

Isnin lalu, SPRM mengesahkan tiga pegawainya ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes membabitkan seorang bekas ketua jabatan.

Agensi itu turut memaklumkan, ketiga-tiga pegawai sudah dihadapkan ke Mahkamah Majistret untuk permohonan reman selama enam hari bermula 14 September lalu.

Bagaimanapun, PDRM mengesahkan tidak menerima laporan berhubung pegawai kanan SPRM direman kerana didakwa terlibat dalam mencuri barang kes membabitkan wang tunai berjumlah lebih RM25 juta (AS$6juta).

Kenyataan polis itu susulan hantaran viral baru-baru ini mengenai bekas ketua pengarah Badan Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid yang didakwa pada 2018 dalam kes pecah amanah (CBT) membabitkan RM50.4 juta milik kerajaan.

– BebasNews 

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here