Oleh Khadijah Ibrahim

BESAR atau kecil sumbangan yang diberi tetap menceriakan orang yang menerima kerana apa yang penting adalah keikhlasan memberi tanpa mengira latar belakang.

Walaupun petrol yang memenuhi tangki motosikalnya sekadar RM7, namun ia tetap memberi kebahagiaan kepada Shaik Abdul Malik, seorang penghantar makanan (Food Rider).

Remaja berusia 19 tahun yang memulakan pekerjaan sebagai penghantar makanan sejak tahun lalu berkata, pemberian petrol percuma oleh Persatuan Komuniti Prihatin Setiawangsa atau MySetiawangsa itu dapat menjimatkan kos pengeluarannya pada hari itu (23 September).

“Tentulah saya gembira bila dapat petrol percuma begini, tak payahlah saya keluarkan kos untuk minyak bagi hari ini. Selalunya, kalau tangki penuh untuk motor saya adalah RM7 dan bolehlah saya membuat penghantaran untuk 30 tempahan makanan.

Pemberian petrol percuma adalah sebagai inisiatif menghargai jasa penghantar makanan dan frontliners sepanjang tempoh PKP hingga kini.

“Dalam sehari saya sasarkan 30 order untuk membolehkan saya dapat pendapatan sekurang-kurangnya RM150. Selalunya saya hantar makanan di kawasan Setapak dan Setiawangsa. Kalau ada pelanggan yang baik hati bagi tip, bolehlah saya guna untuk isi minyak. Hari ini memang rezeki saya dan rakan-rakan rider dapat petrol percuma, terima kasih pada yang memberi,” katanya yang merupakan penghantar makanan dari syarikat Food Panda.

Bertempat di stesen minyak Petron Sri Rampai, kira-kira 500 Food Riders dan barisan hadapan (Frontliners) berpeluang mengisi petrol secara percuma yang bermula pada pukul 2 petang, semalam.

Presiden MySetiawangsa, Datuk Mohd. Irwan Rizal Mohd. Ali Napiah berkata, sumbangan petrol percuma itu merupakan siri keempat MySetiawangsa sebagai tanda penghargaan kepada pengorbanan yang dilakukan oleh Food Riders dan Frontliners.

Amaris mengisi petrol ke tangki motosikal milik Shaik Abdul Malik.

“Di masa kita duduk di rumah sepanjang mulanya Covid-19, sehingga hari ini, kalau kita nak makan, mereka (Food Riders) yang hantar kepada kita. Tatkala kita tidur kat rumah, Frontliners (PDRM) inilah yang jaga sekatan jalan raya dan SOP (prosedur operasi standard). Ini salah satu inisiatif sebagai tanda penghargaan kita kepada jasa mereka.

“Alhamdulillah, MySetiawangsa tak keseorangan dalam menyantuni wira-wira ini kerana kami dibantu oleh rakan-rakan strategi terutamanya PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial) yang memberi inisiatif untuk melindungi Food Riders itu sendiri. Kita nak beri kesedaran kepada mereka yang kerajaan memberi perlindungan kepada mereka. Amat mudah, rider ini hanya perlu berdaftar dengan PERKESO.

“Kita tak nak ketika Food Riders melaksanakan tanggungjawab untuk mencari rezeki, mereka tidak dilindungi. Ini penting kerana kerajaan pada hari ini menyediakan pelbagai faedah kepada rakyat. Maka rakyat harus mengambil peluang untuk memastikan mereka juga mendapat manfaat yang diberikan oleh kerajaan,” katanya sewakru sidang media.

Hadir sama Ketua Bahagian UMNO Setiawangsa, Datuk Sri Izuan Ishak dan pelakon Putra Amaris.

Turut hadir sebagai penerima petrol percuma ialah penghantar makanan wanita.

Mohd. Irwan turut menyeru syarikat korporat atau sesiapa saja untuk bekerjasama dengan MySetiawangsa bagi menganjurkan program pemberian petrol percuma kepada Food Riders dan Frontliners di masa akan datang.

“Program sebegini bukan saja memberi manfaat kepada kumpulan sasar tapi ia juga penting untuk komuniti di sekitar Setiawangsa agar tidak lupakan jasa mereka yang melindungi kita terutama sekali Frontliners. Kalau ada apa-apa lagi inisiatif begini, saya menyeru juga rakan-rakan atau syarikat korporat di luar sana tampil bersama. Contoh pada hari ini, Petron memberi ruang kepada kita untuk menyantuni kumpulan sasar.

“Memudahkan lagi urusan untuk kita mengadakan inisiatif ini. Tanggungjawab daripada pihak korporat sebegini kita amat menghargai dan kita alu-alukan kerana ini penting. Tanpa ada kerjasama daripada mereka belum tentu usaha kita dapat dilancarkan,” katanya.

Tambahnya, fokus MySetiawangsa yang merupakan sebuah NGO (badan bukan kerajaan) adalah bagi memastikan nasib atau kebajikan komuniti khususnya di Parlimen Setiawangsa disantuni, walaupun tidak secara menyeluruh.

“Nak cakap kita boleh cover seluruh Setiawangsa tu, retorik saja. Kita akan cuba sebaik mungkin, untuk pastikan mana-mana komuniti, individu atau keluarga yang mengalami bencana, musibah atau apa-apa masalah akan mendapat bantuan.

Syarikat korporat dipelawa untuk bersama dengan MySetiawangsa dalam menjayakan program kebajikan.

“Untuk menyantuni mereka yang terkesan, kita sering bekerjsama dengan beberapa pihak untuk pastikan bantuan-bantuan yang disalurkan itu sampai kepada kumpulan sasar. Di saat Covid-19, kita bergerak aktif untuk menyantuni keluarga-keluarga di Parlimen Setiawangsa dengan menyampaikan bantuan-bantuan tertentu, sama ada bakul makanan, bakul keluarga, barangan asas atau keperluan khusus yang diperlukan oleh kumpulan sasar.

“Kita cuba bantu sebaik mungkin, khususnya di Setiawangsa. Jika kita dapat perkhabaran di kawasan lain, kita akan turun juga dengan kerjasama sahabat lokaliti tersebut. Mereka lebih faham situasai lokaliti tersebut dengan cara itu bantuan dapat diberi dengan lebih lancar,” jelasnya.

Tambahnya, MySetiawangsa sentiasa telus dan bersikap terbuka dalam memberi bantuan bagi kepada golongan sasar kerana mereka turut menerima sumbangan daripada pihak ketiga.

Mohd. Irwan Rizal turut bertanya khabar kepada penghantar makanan sewaktu mengisi petrol ke dalam tangki motor mereka.

“Untuk menghubungi MySetiawangsa, kita galakkan melalui media sosial, Instagram dan Facebook, Mysetiawangsa. Kita mengamalkan ketelusan, apabila berhubung menerusi sosial media ia lebih terbuka, kita ambil maklum. Bantuan ini bukan MySetiawangsa saja yang memberi, kita terima daripada pihak ketiga untuk kita salurkan.

“Jadi kita nak pastikan setiap sumbangan yang MySetiawangsa terima untuk disalurkan kepada kumpulan sasar sampai. Tidak ada lag pertikaian di situ, sebab itu kita lebih kepada media sosial sebab ia platform terbuka,” ujarnya.

-BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply