men kneeling and bowing inside mosque
Photo by Rumman Amin on Unsplash
Oleh Muhamad Arif Asnawi Mat Zaki dan Dr. Mohd. Syukri Zainal Abidin

RASULULLAH SAW diutuskan oleh Allah SWT sebagai rahmat buat seisi alam yang mana kehadiran Baginda bukan sahaja untuk membimbing manusia, tetapi membawa kebahagiaan kepada keseluruhan kehidupan. Perkara ini telah dirakamkan dalam al-Quran sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah An-Anbiya’ ayat 107 yang bermaksud:

“Dan sungguh Kami tidak mengutusmu wahai Muhammad, melainkan untuk membawa rahmat kepada seluruh alam”.

Rasulullah SAW mendidik kita supaya menjadi sebaik-baik hamba Allah SWT, memperlihatkan pengurusan keluarga yang bahagia, menzahirkan cara hidup bermasyarakat, malah mengetuai negara secara adil dan sejahtera.

Ribuan tahun Rasulullah SAW telah meninggalkan kita, sambutan kelahiran Baginda turut dilakukan saban tahun di seluruh dunia. Sambutan yang mungkin kelihatan bermusim, tetapi cinta, kasih dan sayang Rasulullah SAW buat kita umatnya tiada noktahnya.

Rasulullah SAW bersama sahabatnya telah pergi ke kawasan perkuburan Baqi’ dan Baginda bersabda yang bermaksud, “Sejahtera ke atas kamu (penghuni) negeri orang-orang yang beriman. Sesungguhnya kami dengan kehendak Allah akan menyusul kepada kamu. Amat ingin di hatiku seandainya dapat kita melihat saudara-saudara kita.”

Lalu di kalangan Sahabat bertanya: “Apakah kami ini bukan saudara-saudaramu ya Rasulullah?” Baginda SAW menjawab, “Kamu semua adalah sahabat-sahabatku. Sedangkan saudara-saudara kita adalah (orang-orang Mukmin) yang belum muncul (orang-orang beriman yang tanpa pernah melihat Rasulullah SAW).” (Hadis Riwayat Muslim)

Marilah kita bermuhasabah dan merenung kembali sebagai umat Rasulullah SAW yang paling dikasihi, meski pun dalam keadaan kita yang sama sekali tidak pernah mengenali rupa dan fizikal Baginda.

Buktikan cinta yang tidak pernah padam

Cinta itu dikatakan lahirnya dari lubuk hati yang paling dalam, membutakan sehingga mampu menenggelamkan segala yang dimiliki. Apabila kita membicarakan tentang cinta, apakah benar sesuatu itu dinamakan cinta sekiranya ia tidak disulam manifestasi dan bukti?

Jika benar kita mengaku mencintai sosok tubuh yang mulia ini, sudah pasti setiap jejak peninggalan dan pedoman yang Rasulullah SAW tinggalkan kita pegang seutuhnya. Setiap aspek kehidupan, baik dari sudut sosial, ekonomi atau politik, hendaklah berpandukan praktik atau amalan Rasulullah SAW semata-mata kerana ia merupakan sebaik-baik pendekatan.

Selain mengamali kelakuan Baginda, satu lagi tanda apabila kita mencintai seseorang adalah sentiasa menyebut nama yang dicintai, maka berselawatlah. Selawat ke atas Rasulullah SAW bukan hanya sebagai pujian umat Islam kepada Baginda, malah tanda merealisasi rasa pengagungan kita kerana kedudukan Baginda yang tinggi di sisi Allah SWT.

Tuntutan ini dirakamkan melalui firman Allah SWT di dalam surah al-Ahzab ayat 56 yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat ke atas Nabi, wahai orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atasnya dan ucapkan salam kepadanya”.

Maka agak janggal apabila pengucapan cinta kita kepada Baginda pada hari ini disertai dengan sebilangan daripada kita beranggapan sunnah dan gaya hidup yang ditinggalkan Rasulullah SAW sudah lagi tidak relevan, atas alasan ianya tidak lagi sesuai pada zaman moden atau situasi semasa.

Semarakkan kecintaan kepada Baginda bermula dari rumah

Cinta itu bukan sekadar retorik, tetapi harus dibuktikan sama ada melalui ingatan mahu pun menuruti apa yang dikehendaki. Daripada cinta, akan lahirnya rindu di hati yang sentiasa ingin untuk bertemu dan sudah pasti akan bersedih apabila berpisah. Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran ayat 31 yang bermaksud, “Jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah akan mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu”.

Pendidikan secara tidak formal sebenarnya bermula dari rumah, di mana institusi kekeluargaan yang terdiri daripada ibu dan bapa merupakan tempat atau medium pertama bagi anak-anak menerima pendedahan ilmu dan adab. Oleh itu, didiklah anak-anak seawal usia mereka dengan menyuburkan rasa cinta kepada Allah SWT dan RasulNya.

Ajarkanlah anak-anak dengan sirah dan kisah para sahabat Rasulullah SAW, kenalkan mereka dengan tokoh-tokoh ulung yang tercatat di dalam sejarah Islam. Metodologi pendidikan keibubapaan yang terbaik sudah pastinya dapat dilihat daripada pendekatan Rasulullah SAW. Baginda pernah bersabda yang bermaksud, “Didiklah anak-anakmu atas tiga perkara: mencintai nabimu, mencintai ahli baitnya dan membaca al-Quran”.

Berdasarkan petikan hadis di atas, ibu bapa perlu memainkan peranan utama dalam mendidik anak-anak supaya dapat melahirkan generasi yang seimbang dari aspek fizikal, mental, dan rohani. Dan inilah sepatutnya antara hikmah yang boleh kita ambil daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kita jalani sejak Mac 2020.

Seharusnya kita telah meluangkan masa yang penuh berkualiti dengan mencipta momen-momen indah bersama keluarga tercinta dalam membudayakan sunnah Rasulullah SAW, demi menzahirkan cinta kita kepada Baginda.

Selamat menyambut Maulidur Rasul 1443H.

 

Muhamad Arif Asnawi Mat Zaki

Dr. Mohd. Syukri bin Zainal Abidin

Muhamad Arif Asnawi Mat Zaki merupakan mahasiswa Jabatan Fiqh dan Usul, manakala Dr. Mohd. Syukri bin Zainal Abidin adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Penulis boleh dihubungi di [email protected]

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here