Foto NSTP

KUALA LUMPUR – Seorang veteran PAS kecewa apabila pemimpin parti itu gagal bersuara lebih lantang selepas Dewan Rakyat dimaklumkan mengenai pertambahan kekerapan cabutan khas nombor ramalan dari lapan kali setahun pada tahun 2020 kepada 22 kali setahun bermula tahun ini.

Ketua Sidang Assabiqun (Veteran) PAS Pusat Mahfodz Mohamed menegaskan, menteri PAS perlu sedar biarpun berada dalam kerajaan, prinsip perjuangan parti dalam menegakkan syiar Islam tidak harus diketepikan.

“Saya berasa tidak senang dengan keputusan kerajaan (naikkan kekerapan cabutan nombor ramalan), sedangkan kerajaan yang ada ketika ini adalah berpaksikan Melayu-Islam. Sepatutnya cabutan ini dikurangkan sedikit demi sedikit, bukan ditambah.

“Walaupun bersama dalam kerajaan kita ada prinsip, tahu tentang halal dan haram. Maka menteri PAS pun kena lantang bersuara.

“Pegang portfolio (Menteri Agama) pun pemimpin tertinggi PAS, jadi kita perlu bersuara. Jangan anggap kita sebagai minoriti dalam kerajaan kita tak boleh bersuara,” katanya.

Isnin lalu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar dalam perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat mempersoalkan pendirian pimpinan PAS selepas kerajaan melalui Kementerian Kewangan meluluskan cabutan khas daripada lapan sebelum ini, kepada 22 kali setahun untuk semua agensi nombor ramalan.

Dalam pada itu, Mahfodz turut mempersoalkan sama ada tindakan kerajaan meluluskan permohonan agensi nombor ramalan itu dibawa terlebih dahulu ke Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan, memandangkan ia berkait dengan kepentingan awam.

“Sepatutnya keputusan perkara besar itu dibentangkan di Jemaah Menteri. Walaupun PAS ada tiga menteri, tetapi tidak sewajarnya (permohonan menambah kekerapan cabutan) dipersetujui, melainkan perkara itu tidak dibawa ke Jemaah Menteri,” katanya.

Beliau juga berasa bimbang keputusan kerajaan itu boleh mendorong orang awam termasuk umat Islam untuk melakukan maksiat termasuk berjudi.

“Dengan penambahan cabutan judi akan menggalakkan orang untuk melakukan maksiat. Orang Melayu Islam pun dikhuatiri terlibat terutama di kawasan pedalaman. Ini membimbangkan kedudukan majoriti rakyat Islam.

“Kerajaan perlu ingat, kita kerajaan Islam bukan nak keuntungan dunia semata-mata tetapi keuntungan akhirat sekali,” tegasnya.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dalam jawapan bertulis kepada Mahfuz di Dewan Rakyat mengesahkan perkara itu.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here