Datuk Yusran Shah Mohd Yusof

PETALING JAYA – Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Yusran Shah bin Mohd Yusof telah melancarkan Telegram Outreach Program Pendidikan Teknikal (TVET) pada 24 September 2021 secara maya.

Telegram ini merupakan satu platform untuk meningkatkan kesedaran dan keprihatinan masyarakat terhadap kepentingan pendidikan TVET dalam memenuhi keperluan tenaga mahir untuk pasaran kerja masa hadapan. Telegram yang dibangunkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) ini juga merupakan saluran untuk mempromosikan program-program TVET Malaysia.

Dalam ucapan pelancaran Datuk Yusran Shah Mohd Yusof, KSU KPM, beliau menekankan bahawa pada peringkat Kementerian, KPM telah melaksanakan Transformasi Pendidikan Vokasional (TPV) bagi tujuan memartabatkan pendidikan teknikal dan vokasional sebagai aliran perdana.

Kata beliau, “TPV telah mengubah lanskap pendidikan TVET dalam menghasilkan graduan yang berkualiti dan berkemahiran serta mempunyai kebolehpasaran, kebolehkerjaan, dan kebolehgajian yang tinggi untuk memenuhi keperluan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0)”.

KSU KPM menyeru semua pihak untuk memaksimakan penggunaan platform Telegram ini untuk meningkatkan lagi kesedaran akan betapa pentingnya pendidikan tinggi teknikal dan vokasional untuk pertumbuhan ekonomi negara.

“Saya amat berharap saluran telegram ini dapat memberikan informasi yang pantas dan terkini kepada para pelajar supaya mereka mendapat pendedahan mengenai peluang pendidikan TVET di Malaysia dan seterusnya dapat meningkatkan minat mereka untuk menyambung pelajaran selepas tamat Tingkatan Lima. Ini juga akan membantu Malaysia dalam meningkatkan kedudukan pencapaian indikator School Life Expectancy pada masa akan datang”, tambah beliau lagi.

Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata: “Salah satu cabaran yang dikenalpasti mengekang pertumbuhan produktiviti yang pesat ialah kekurangan tenaga mahir untuk memenuhi keperluan dan permintaan pasaran kerja, baik dalam situasi semasa atau di masa hadapan.

“Krisis pandemik COVID-19 telah memburukkan lagi keadaan dan menyedarkan kita semua bahawa isu ini merupakan satu perkara yang serius yang boleh memberi impak buruk kepada pertumbuhan produktiviti negara. Pekerja merupakan aset produktiviti, dan pekerja yang berkemahiran akan melonjakkan peningkatan produktiviti”.

“Dapatan daripada analisis dan penelitian yang mendalam, a deep dive, ke atas data World Bank menyatakan bahawa hanya 43.06 peratus daripada belia di Malaysia melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi pada tahun 2019.

“Ini memberi impak terhadap kesediaan tenaga mahir dalam pasaran kerja. Justeru, cadangan penyelesaian untuk menambahbaik keadaan ini adalah dengan menggalakkan penyertaan para belia dan pelajar ke peringkat tinggi terutamanya dalam bidang yang melibatkan kemahiran teknikal atau TVET. Platform Telegram ini adalah salah satu saluran yang kita gunakan untuk mendorong penyertaan lebih ramai belia dalam pendidikan TVET”, tambah beliau lagi.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here