Stacy gembira dengan keputusannya memilih agama Islam kerana kehidupannya kini lebih tenang.

Oleh Khadijah Ibrahim

CEPAT sungguh masa berlalu, diam tak diam sudah enam tahun penyanyi Stacy Anam menjadi saudara baharu, selepas mengucap dua kalimah syahadah di Jabatan Agama Islam Johor Bahru, Johor pada 24 Ogos 2015.

Mengimbas kembali detik bermakna itu, Stacy atau nama Islamnya, Ummu Shaikhah Stacy Anam, 31, mengakui suami tercinta, Akim Ahmad antara insan yang banyak membuka hatinya untuk mendekati agama Islam.

Malah, kata ibu kepada dua cahaya mata bernama Bella De Luna Valentina, 8, dan Eshaal Afiq Hakim, 4, itu, pendekatan suaminya bercerita mengenai keindahan Islam cukup santai dan tidak terlalu berat.

Stacy Anam sudah enam tahun memeluk agama Islam.

“Dulu sebelum memeluk agama Islam, saya seperti tiada agama sebenarnya. Hidup lebih berpaksikan cara membesar, apa yang dilihat dan didengari. Namun selepas enam tahun berkawan dengan Akim, naluri saya ingin mengetahui lebih lanjut perihal Islam.

“Saya jadi minat sebab senang dengan cara Akim bercerita hal agama Islam. Dia bercerita pada saya dengan begitu santai dan tidak terlalu direct. Senang cakap, apa yang keluar dari mulutnya akan membawa ke satu siri penceritaan yang menarik.

“Siapa sangka keakraban kami, termasuk cara saya jadi dekat dengan Islam menerusinya terus menguatkan jodoh kami. Pandai adik (merujuk kepada Akim) ambil hati kakak (Stacy).

“Pada 26 September 2015, kami bertunang. Seterusnya 5 Februari 2016 kami bernikah di sebuah hotel di Sabah,” kata Stacy ketika mengimbas kembali detik penghijrahan dan pernikahannya ketika menjadi tetamu program bual bicara dalam talian, Bersama Tya.

Cara Akim Ahmad bercerita tentang agama Islam, buat Stacy tertarik untuk memilih Islam sebagai pegangan hidupnya.

Kata penyanyi lagu Pakai Buang itu lagi kepada pengacara program berkenaan Tya Arifin, antara detik paling bermakna dikenang hingga saat ini ialah ibu bapanya juga hadir ketika beliau memeluk Islam.

Bagaimanapun, jika diimbas kembali, detik berkenaan juga dicalari dengan penyebaran gambar serta video proses pengislaman Stacy tular dipercayai dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya rasa momen pengislaman jadi sangat sempurna apabila ibu bapa ada di sisi merestui keputusan paling besar dilakukan anak mereka.

“Awalnya, hanya ibu bapa saya saja tahu keputusan memeluk Islam ini. Tapi adik-beradik lain dan saudara mara belum diberitahu lagi. Apabila viral gambar dan video itu, jadi kecoh, Akim suruh saya bersabar dan relaks dengan apa yang terjadi,” kata juara program Akademi Fantasia musim keenam.

Stacy tanpa berselindung berkata, hatinya berbolak-balik sebelum melafazkan dua kalimah syahadah, walaupun sebelum itu beliau sudah bersedia untuk memeluk agama Islam.

“Jujur ketika itu, hati saya jadi takut sangat dengan keputusan berkenaan. Hingga saya mempersoalkan dalam diri, apakah betul keputusan yang dibuat itu.

“Saya macam berperang dengan diri sendiri. Hingga terpacul rasa apakah sampai tahap perlu meninggalkan keluarga sendiri untuk agama Islam.

Stacy berkongsi saat beliau mengambil keputusan memeluk Islam dalam bual bicara Bersama Tya.

“Tapi akhirnya, takdir hidup saya memilih Islam sebagai agama yang satu. Saat selesai melafazkan kalimah itu, kelihatan ibu bapa saya tersenyum dan gembira. Ketika itu saya sedar, perasaan tidak keruan itu hanya mainan emosi,” katanya.

Di akhir bicara, Stacy mengakui beliau masih belajar untuk menjadi manusia yang terbaik kerana merasakan dirinya belum cukup sempurna sebagai umat Islam. Untuk itu, beliau sentiasa berusaha memperbaiki diri.

Bual bicara Bersama Tya bersiaran secara langsung setiap Isnin, Selasa dan Rabu, pukul 10 malam di Instagram Live sejak 14 Jun lalu. Temu bual Tya bersama Stacy dengan tajuk Mama Rock Ratu Tari dapat diikuti di YouTube Tya Arifin sejak 13 September lalu.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here