PETALING JAYA – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatat pendapatan pelaburan sebanyak RM34.05 bilion untuk separuh tahun pertama berakhir 30 Jun 2021 (1H2021), pertumbuhan sebanyak RM6.79 bilion atau 25 peratus daripada RM27.26 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Jumlah pendapatan pelaburan kasar bagi suku tahun kedua (S2 2021) adalah RM14.77 bilion, RM0.35 bilion lebih rendah berbanding 2020 dengan ekuiti sebagai penyumbang utama sebanyak RM7.89 bilion, merangkumi 53 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Instrumen Pendapatan Tetap terus menyumbang pendapatan yang stabil sebanyak RM5.28 bilion, atau 36 peratus kepada jumlah pendapatan pelaburan kasar pada S2 2021.

Hartanah dan Infrastruktur serta instrumen Pasaran Wang pula masing-masing mencatatkan pendapatan RM1.4 bilion dan RM0.2 bilion.

Setakat akhir Jun 2021, aset pelaburan KWSP adalah berjumlah RM989.14 bilion, yang mana 37 peratus daripadanya adalah pelaburan di luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, prestasi kukuh pada 1H 2021 dipacu oleh pemulihan progresif di pasaran ekuiti dan kebanyakan kelas-kelas aset yang lain, ketika pasaran global mengalami kebangkitan semula.

“Pelaksanaan program vaksin Covid-19 yang sedang giat dijalankan, di samping pembukaan semula sektor ekonomi telah meningkatkan prestasi ekuiti di pasaran maju.

“Bagaimanapun, prestasi ekuiti di pasaran baharu muncul adalah lebih lembab berikutan peningkatan kes jangkitan di beberapa negara di Asia Tenggara disusuli kejatuhan harga saham ketara akibat tindakan China mengetatkan peraturan ke atas sesetengah sektor,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Amir Hamzah, terdapat kebimbangan tentang keselamatan persaraan rakyat, terutamanya apabila 46 peratus ahli KWSP yang berumur bawah 55 tahun hanya mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam simpanan mereka.

“Pandemik telah mengakibatkan kejatuhan ketara dalam peratusan ahli yang mencapai Simpanan Asas (RM240,000 pada 55 tahun) daripada 36 peratus kepada 27 peratus susulan pengeluaran yang telah dibuat bagi menampung pendapatan semasa krisis Covid-19 ini.

“Ketika kita sedang pulih daripada krisis, fokus KWSP adalah untuk membantu ahli membina semula simpanan persaraan mereka. Kami akan fokus kepada Alokasi Aset Strategik dan peka terhadap perkembangan profil risiko pasaran agar penambahbaikan dapat dilakukan,” katanya.

Sumber: https://www.kosmo.com.my/2021/09/24/pendapatan-pelaburan-kwsp-rm34-05-bilion/

 

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here