Radamel Falcao

JOHOR BAHRU – Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim  menyebabkan peminat skuad Harimau Selatan tertanya-tanya apabila terus menimbulkan teka teki mengenai pembelian pemain antarabangsa Colombia, Radamel Falcao.

Tunku Ismail dalam laman Instagramnya hari ini berkongsi sekeping gambar menunjukkan beliau sedang mengadakan panggilan video dengan pemain tersebut.

Pada Ogos lalu, timbul khabar angin yang mengatakan JDT berminat untuk mendapatkan pemain Colombia itu untuk menyarung jersi JDT.

Namun, khabar angin itu dinafikan Pengarah Sukan JDT, Martin Prest yang mengakui agak sukar untuk membawa masuk Falcao ketika sumber kewangan pasukan masih tidak mengizinkan akibat pandemik Covid-19.

Terdahulu, perkara itu hangat diperkatakan selepas portal sukan Turki, Fotomac dalam Twitter mereka pada 5 Ogos lalu mendedahkan sebuah kelab popular Malaysia telah membuat permohonan untuk mendapatkan Falcao.

“Kelab paling popular di Malaysia, Johor meminta Radamel Falcao daripada Galatasaray.

“Difahamkan, Presiden kelab, Putera Tunku Ismail (Sultan Ibrahim) secara peribadi mahu membuat pertukaran dan ingin melakukan perpindahan terbesar dalam liga bola sepak Malaysia,” demikian menurut Twitter Fotomac.

Falcao, 35, yang kini beraksi bersama kelab Turki, Galatasaray pernah menyarung jersi gergasi Eropah seperti Manchester United, Chelsea, Porto dan Atletico Madrid.

Khabar angin itu turut menyebabkan ada pihak mengedit maklumat peribadi Falcao dalam Wikipedia dengan menulis dia pernah menyarung jersi JDT dari 2013 hingga 2014 dan menjaringkan 107 gol daripada 65 penampilan. – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here