Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa mendedahkan bahan bukti baharu berupa wang tunai RM50,000 dan beberapa buah kereta mewah hasil siasatan ke atas tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditahan berkaitan kehilangan duit RM25 juta (AS$6 juta) baru-baru ini.

Kereta-kereta mewah itu ditemui di tempat letak kereta sebuah hotel mewah di ibu negara baru-baru ini, lapor Utusan Melayu.

SPRM ketika ini giat melakukan dokumentasi untuk mengesan ‘asal-usul semua kenderaan terbabit.

Berkaitan wang tunai RM50,000, suruhanjaya itu masih menyiasat sumber duit tersebut sama ada ia adalah wang rampasan bukti milik bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Negara (MEIO), Datuk Hasahah Abdul Hamid.

Wang tunai dan kereta-kereta mewah yang tidak didedahkan jenis itu dipercayai milik seorang penguasa kanan SPRM, salah seorang daripada tiga pegawai yang ditahan terbabit. Kesemua harta dipercayai bernilai RM1.6 juta.

Dua lagi yang ditahan ialah pegawai SPRM berpangkat penguasa dan ketua penolong penguasa kanan, masing-masing dalam jawatan gred 34 hingga 44.

Sumber memberitahu, pegawai SPRM berpangkat penguasa kanan terbabit tinggal di kediaman mewah selain turut memiliki beberapa buah motosikal berkuasa tinggi.

“Semua pemilikan harta pegawai berpangkat penguasa kanan sedang disemak. SPRM juga sedang menyemak rekod pemilikan wang dan aset dua lagi pegawai yang ditahan terbabit,” ujar sumber berkenaan.

Sumber itu menjelaskan, kes-kes pemilikan harta ‘luar biasa’ pegawai dan warga berpangkat rendah SPRM sering diterima, namun kes kehilangan barang bukti bukan perkara yang selalu berlaku dalam Suruhanjaya tersebut.

SPRM juga giat menyiasat mengenai kehilangan duit RM25 juta mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan Akta Pengubahan Wang Haram selepas menerima aduan daripada pemiliknya.

“Siasatan dan proses dilakukan terhadap tiga pegawai terbabit adalah mengikut prosedur operasi standard,” ujar sumber itu.

Difahamkan, ketiga-tiga pegawai terbabit akan dihadapkan di mahkamah dalam masa terdekat.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here