AKSHAY KUMAR...Kredit imdb.com

Oleh Ahmad Abd Hamid

NAMANYA hebat di persada perfileman Bollywood dan merupakan bintang yang menerima bayaran paling tinggi. Dia juga seorang ahli perniagaan berjaya. Kombinasi ini menjadikan Akshay Kumar, 53, pelakon Bollywood paling gemilang dalam karier dan hidup bergelumang kemewahan.

Pendapatan tahunannya dianggar AS48.5 juta (RM203.14 juta). Dia merupakan pelakon tunggal India dalam senarai Forbes bagi Selebriti Menerima Bayaran Paling Tinggi Di Dunia untuk tahun 2020. Akshay berada pada kedudukan ke-52.

Harta yang dimiliki termasuk jet peribadi bernilai AS35 juta (RM146.6 juta), selain hartanah di Mumbai dan Goa, Kanada dan Mauritius. Kereta-kereta mewah miliknya ialah Porsche Cayenne, Rolls-Royce Phantom dan Mercedez GL Class (SUV) dan Honda CR-V.

Kerana kehebatan namanya, dan filem-filem lakonannya sentiasa box-office, Akshay Kumar meletakkan harga tinggi bagi setip filem lakonannya iaitu AS16 juta (RM67 juta). Bagi tahun 2022, dia akan menaikkan bayaran kepada AS18 juta (RM75.4 juta).

AKSHAY Kumar bersama isteri Twinkle Khanna…Kredit Pinkvila.

Namun ini bukan halangan untuk produser terus memilihnya. Ini kerana mereka tahu sekalipun terpaksa membayar harga tinggi, pulangan yang mereka dapat juga tinggi. Dalam keadaan industri Bollywood suram akibat tempias Covid-19, Akshay Kumar dianggap penyelamat.

Sejak beberapa tahun lalu, banyak filem lakonan Akshay pecah panggung. Ini termasuk Rowdy Rathore, Gabbar, Housefull 4, Rustom dan Good Newz. Ini menjelaskan kenapa dia dalam kedudukan boleh meletak harga kepada produser.

Filem spy thriller terbaharu lakonannya, Bell Bottom juga dijangka pecah panggung. Dengan trend   kejayaan inilah Akshay mahu menaikkan bayaran tahun hadapan (2020) daripada RM67 juta kepada RM75.4 juta setiap filem.

Ini ditambah dengan nilai dirinya sebagai pelakon yang telah memenangi beberapa anugerah perfileman berprestij seperti Anugerah Fanfare, National Award dan Anugerah Padma Shri.

Padma Shri ialah anugerah keempat tertinggi diberi kepada orang awam oleh kerajaan India sebagai penghargaan sumbangan individu dalam bidang tertentu seperti seni, sukan, perubatan, sains dan sebagainya.

Akshay Kumar berkahwin dengan aktres Twinkle Khanna pada Januari 2001 dan merupakan menantu kepada mendiang superstar Rajesh Khana dan Dimple Kapadia. Mereka mempunyai dua orang anak, Aarav Kumar dan Nitara Kumar.

Kejayaan gemilang Akshay dalam kerjaya dan kemewahan hidupnya bukan diraih sekelip mata. Dia mendaki tangga kejayaan sehingga berada pada kedudukan sekarang melalui komitmen dan usaha gigih serta berdisiplin dalam kerja.

Dia bukan sahaja pelakon berbakat, tetapi memiliki etika kerja tinggi serta sangat berdisplin. Dia sangat mementingkan masa dan sentiasa sampai di set penggambaran tepat pada waktu.

AKSHAY Kumar dalam Gabbar…Kredit NewonNeflix.info.

Akshay menceburi filem memegang peranan kecil dalam Aaj pada 1987. Pertama kali memegang watak utama dalam Saugandh (1991) dan seterusnya menempa kejayaan melalui Khiladi. Filem-filem yang menyusul selepas itu antaranya Deedar, Yeh Dillagi, Mohra, Dil To Pagal Hai, Lahu Ke Do Rang, Insaf dan lain-lain.

Akshay juga menjadi pilihan pembuat filem iklan kerana impaknya yang tinggi kepada pengguna, terutama melalui sasaran media digital. Kebanyakan yang dipromosi ialah produk penjagaan diri berjenama mewah. Bagi setiap filem iklan, Akshay mengenakan bayaran sehingga AS200 ribu (RM838 ribu) sehari untuk penggambaran.

Satu lagi sumber pendapatan Akshay Kumar ialah syarikat produksinya, Hari Om Entertainment yang telah menghasilkan beberapa filem box-office, termasuk Singh Is King, Airlift, Rustom dan Padman.

Akshay juga pelabur hartanah berjaya di dalam dan luar negara. Di Mumbai dia memiliki rumah mewah duplex menghadap laut dan empat buah apartmen.

Dia juga memiliki rumah tepi pantai berbentuk Portugis di Goa bernilai hampir AS670,000 (RM2.8 juta). Juga memiliki hartanah di Toronto, Kanada dan rumah mewah tepi pantai di Mauritius.

Pelakon bertubuh sasa dan meminati seni mempertahan diri ini juga membeli Bengal Warriors yang bersaing dalam Liga Kabaddi Dunia. Dia juga membuka sekolah seni mempertahan diri khusus untuk wanita.

Kekayaan yang dimiliki Akshay turut dikongsi dengan orang lain. Dia sedia memberi bantuan kepada yang memerlukan. Pada 2015, dia menderma AS130,00 (RM545 ribu) untuk tabung pemulihan banjir di Chennai.

Dia juga menderma jumlah sebanyak itu kepada Yayasan Gautham Gambhir untuk membantu mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19. Derma jumlah sama juga diberi untuk membaik pulih sekolah di Kashmir. Barangkali kerana itu rezekinya terus melimpah ruah.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here