Student Care Icon on gray background

Oleh Fetty Rara

BEBAN seramai 23,487 pelajar untuk ke pengajian ijazah sarjana muda di universiti awam akan diringankan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui wang pendahuluan pinjaman (WPP).

Inisiatif tersebut yang merupakan pendahuluan sebanyak RM1,500 seorang adalah bagi kemasukan sesi Oktober 2021.

Menurut Pengerusi PTPTN Datuk Wan Saiful Wan Jan tawaran bernilai RM35 juta itu adalah bertujuan bagi membantu pelajar menampung sebahagian perbelanjaan persiapan memasuki institusi pengajian tinggi (IPT).

“Ia juga bagi memastikan tiada pelajar yang gagal memasuki IPT disebabkan masalah kewangan. Wang pendahuluan ini diberikan kepada pelajar warganegara Malaysia yang bersetuju menerima WPP semasa mengisi permohonan di UPU Online atau melalui portal kemasukan IPTA.

“Syarat lain ialah ibu bapa atau penjaga pelajar merupakan penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan memenuhi kriteria ditetapkan PTPTN,” katanya selepas menyampaikan surat tawaran WPP kepada beberapa pelajar di Jitra, Kedah pada Sabtu (25 Sept).

Katanya, pelajar yang mendapat tawaran tersebut boleh menunaikannya di mana-mana cawangan Bank Islam Malaysia Bhd di seluruh negara bermula semalam (24 Sept), dan menghubungi PTPTN bagi sebarang pertanyaan.

Wan Saiful berkata sejak WPP diperkenalkan pada 1999 sehingga Julai tahun ini, seramai 942,025 pelajar telah memanfaatkannya dengan peruntukan berjumlah RM1.39 bilion.

“Tahniah dan syabas kepada pelajar yang berjaya melangkah ke menara gading, WPP PTPTN yang diterima ini harus digunakan sebaik mungkin. Tunjukkan rasa syukur dan terima kasih dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga menjadi modal insan unggul kepada negara,” katanya.

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here