SPRM atau MACC atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia adalah sebuah pertubuhan yang menjadi tumpuan ramai sejak dahulu lagi.

Pelbagai isu kontroversi sering melanda institusi itu. Ia sering kali menjadi bahan cacian, tohmahan, celaan dan sebagainya.

Semuanya membabitkan orang yang paling atas di institusi itu, iaitu KP atau Ketua Pesuruhjaya suruhanjaya itu.

Banyak pihak sebenarnya amat terliur dengan suruhanjaya itu. Jika mana-mana pihak dapat mempergunakan institusi itu untuk kepentingan mereka, maka itu adalah satu kejayaan dan kelebihan dalam kerjaya politik mereka.

Boleh dikatakan rata-rata orang politik itu adalah korup. Semasa sebelum menjadi kerajaan, merekalah juara anti-korupsi; malangnya apabila mereka sudah ada kuasa — mereka juga adalah pemakan rasuah, melalui pelbagai cara.

Oleh itu, mereka beranggapan Ketua Pesuruhjaya SPRM harus dikuasai.

Semasa zaman PH memerintah mereka melantik orang politik dalam PKR menjadi Ketua Pesuruhjaya. Peliknya, ia “dihalalkan” oleh parti yang kononnya telus dan berintegriti.

Di zaman Najib, beliau melantik orang yang paling beliau “senangi” menjadi Ketua Pesuruhjaya. Pada masa itu pelbagai isu timbul bagi menangkis “konflik kepentingan” yang banyak berlegar dalam kerajaan itu.

Semasa PH memerintah, semua musuh-musuh politiknya didakwa dalam pelbagai pertuduhan rasuah — dari sebesar-besar kes sehingga sekecil-kecilnya.

Ketika kerajaan PN diterajui oleh Muhyiddin Yassin kes-kes itu diberi jolokan “kluster mahkamah” — mengambil nama kluster-kluster Covid-19.

Muhyiddin mengambil pendekatan yang berani, enggan campur tangan walaupun nyawa politiknya di hujung tanduk — dengan berpendirian “biar mahkamah yang memutuskannya”.

Beliau boleh sahaja mengambil keputusan sebagaimana berlaku di zaman PH dengan menggugurkan kes rasuah Lim Guan Eng dan juga beberapa kes lain yang membabitkan sekutu politik mereka. Tetapi Muhyiddin tidak melakukannya.

Ironisnya, Ketua Pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO) — ala CIA Malaysia juga ditahan dan dihadapkan ke mahkamah.

Sepanjang ingatan kita, inilah pertama kali seorang ketua perisikan atau intel negara didakwa.

Semua fenomena “Kluster Mahkamah” ini berlaku semasa Azam Baki menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM. Kluster itu berlaku secara sekali gus di bawah kepemimpinan beliau.

Oleh itu, musuh-musuh Azam Baki terlalu ramai — dari mantan PM, mantan TPM, mantan ketua intel negara, mantan Menteri Kewangan dan mantan Ketua Menteri — itu semua musuh beliau.

Dalam otaknya, Azam masih lagi berfikiran bahawa ada lagi kes-kes berprofil tinggi ini akan dibuka.

Kes Lim Guan Eng, misalnya juga difahamkan akan dibuka semula. Azam berfikiran, “kita jangan bagi muka”.

Musuh-musuh Azam sebenarnya terlalu hebat. Mereka juga mahu mencari kelemahan Azam.

Malah mantan-mantan pegawai SPRM yang tidak sebulu dengan Azam juga akan cuba sedaya upaya untuk “menjahanamkan” beliau.

Semasa Azam menjadi Ketua Pesuruhjaya — beliau berlainan daripada ketua-ketua yang terdahulu. Azam berbeza daripada Tan Sri Dzulkifli Ahmad; mahupun Latheefa Koya.

Kita tahu bagaimana kedua-duanya itu berfungsi dan dilantik.

Azam semasa dilantik menjadi Ketua Pesuruhjaya menggantikan Latheefa adalah pegawai paling kanan dalam suruhanjaya itu.

Beliau naik secara rank and file. Bukan diangkat atas dasar tertentu bagi kepentingan tertentu.

Kita boleh lihat di bawah terajunya, Azam cukup proaktif dalam membanteras rasuah di semua peringkat. Ada yang menang dan ada juga kes yang kalah. Tanggungjawab SPRM ialah membuka kertas siasatan dan membuat siasatan.

Kes itu akan diserahkan kepada pihak Peguam Negara untuk pendakwaan.

Azam nampaknya tersepit di tengah-tengah — di kalangan musuhnya yang terlalu banyak itu.

Apa yang berlaku dalam kes kehilangan wang dalam institusi itu adalah salah satu kes pecah amanah membabitkan pegawai dalam badan tersebut.

Ada kakitangan yang baik, ada kakitangan yang jahat. Tidak adil kita meminta Azam meletakkan jawatan atas alasan tersebut. Siasatan dalaman sedang dijalankan dan pihak polis juga sedang menyiasat.

Jika kita anggap kes itu besar, apa pula alasan kita apabila kad-kad pengenalan dijual oleh pegawai-pegawai Jabatan Pendaftaran Negara kepada warga-warga China. Pegawai Imigresen yang terbabit dalam skandal menjual pasport dan sebagainya.

Bagi saya kes-kes ini membabitkan kedaulatan negara — walaupun kes seorang pegawai penagih dadah yang mengkhianati SPRM dengan mencuri wang eksibit, juga sama parah. Azam kena pastikan pegawai-pegawai yang mengkhianati organisasinya dihukum dengan sekeras-kerasnya dan tiada kompromi.

Bagaimana pula kes kakitangan sebuah jabatan kerajaan yang bersubahat dengan sindiket membawa masuk daging import haram yang diletak cop halal untuk makanan umat Islam? Untuk ingatan kita semua, kesemua kes-kes itu telah dibongkar oleh SPRM sendiri.

Kita berharap Azam Baki terus berazam untuk membanteras rasuah ke akar umbi — without fear or favour!

Jangan patah semangat. Perkukuhkan apa-apa kelemahan dari segi SOP organisasi selepas ini.

Yang penting, anda jangan bagi muka kepada pemakan-pemakan rasuah itu. Rakyat berdiri teguh di belakang Datuk Seri!

Sebenarnya Azam, anda sudah berjaya dalam tugas anda. Musuh anda yang sedang menggelabah…

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here