Oleh Ruhanie Ahmad

KITA sedang menyaksikan sikap dan perilaku segolongan pembesar politik Peribumi pada hari ini yang keadaannya “bagaikan angin berputar, ombak bersabung”, iaitu sikap dan perilaku yang amat rumit untuk diharmonikan bagi mencipta satu naratif perjuangan bersama yang tulus, luhur lagi berwibawa.

Tidak kurang pula yang berjuang semata-mata hanya untuk “memagar diri bagaikan aur” demi kepentingan peribadi dan berlagak bagaikan “air yang beriak” walau pun ini memaparkan ketohoran akal-budinya.

Biar pun begitu, mereka juga kelihatan tidak segan dan tidak silu dengan pendekatan politik “lembu punya susu, sapi punya nama”. Walau pun susu tersebut pernah difitnahkan sebagai beracun, tetapi susu yang sama jugalah yang sedang mereka nikmati sekarang.

Gejala ini muncul kerana golongan terbabit sentiasa “mara hinggap, mara terbang”; tetapi, bila ada “ranting yang patah” maka dengan segeralah “enggang yang lalu” yang mereka dipersalahkan. Mereka enggan bermuhasabah diri dalam hal ini.

Lantas, bagaimanakah golongan pembesar politik Peribumi seperti ini hendak kita insafkan supaya bersatu dan sama-sama berjuang dengan keluarga kepimpinan Peribumi yang lebih besar dan lebih ikhlas berasaskan prinsip “serumpun bak serai, sesusun bak sirih” untuk menuju ke arah permuafakatan yang abadi?

Bagaimana hendak kita bisikkan kepada mereka bahawa “Selepas negara kita merdeka, segala-galanya di tangan kita sendiri. Keselamatan kita dalam tangan kita, kehancuran kita juga dalam tangan kita” (Tunku Abdul Rahman, 28 Mac 1957).

Perlukah mereka diingatkan semula bahawa “Jangan sesiapa berfikir kita telah sampai ke penghujung jalan: Kemerdekaan memanglah sesuatu yang penting dalam sejarah kita tetapi ia hanyalah permulaan kepada usaha baru dan berdaulat” (Tunku Abdul Rahman, 31 Ogos 1957).

Bagaimana pula hendak kita pujuk mereka untuk memahami maksud kata-kata Dato’ Onn Jaafar bahawa “Kita hendaklah menggesek biola dengan kuat akan lagu gesekan kita, jangan sampai orang lain menggesek dan kita hanya menari sahaja menurut lagu gesekannya”.

Bagaimana hendak kita terapkan amaran Dato’ Onn kepada mereka bahawa “Melayu hanya boleh selamat apabila kuat dan kuat apabila bersatu padu”.

Sanggupkah mereka memahami maksud kenyataan Dato’ Onn bahawa “Ada orang yang rupa Melayu, berkulit Melayu dan segalanya Melayu, tetapi dukacitanya hatinya bukan hati Melayu”.

Sudikah mereka memahami maksud kenyataan Dato’ Onn bahawa “Masa [depan] orang Melayu akan gelap jika tiada persefahaman dan perpaduan” dan “perpecahan akan melemahkan kedudukan orang Melayu dan dengan lemahnya orang Melayu, kedudukan ekonomi akan lemah, orang Melayu akan mendapati sukar untuk mengekalkan kedudukan sebagai Bumiputera”.

Persoalan dan permasalahan di atas amat penting untuk menjamin kekukuhan dan pengekalan kuasa politik Peribumi di abad ke-21 ini.

Persoalan dan permasalahan ini juga amat penting untuk dilihat dari sudut kekuasaan politik Peribumi.

Jika esok di adakan pilihan raya umum ke-15 (PRU15), bagaimanakah kedudukan undi Peribumi kalau fenomena segolongan pembesar siasah Peribumi di atas tidak diselesaikan?

Pihak pengadu-domba memang gembira jika apa yang sedang berlaku terus berlarutan tanpa kesudahan menjelang PRU15. Mereka mahu kuasa politik Peribumi yang retak terus dipecahbelahkan. Mereka mahu perbalahan sesama Peribumi menjadi punca kepada keranapan kuasa Peribumi dalam PRU15.

Lantas, apa harus kita lakukan atas nama perpaduan politik Peribumi mutakhir ini? Bagaimana pula usaha ke arah perpaduan ini perlu dijadikan kenyataan?

Siapakah yang mesti mendaya usahakan perpaduan ini? Siapakah yang mesti dipertanggungjawabkan dengan tugasan ini? Pendekatan apakah yang mesti mereka digunakan?

Persoalan dan permasalahan di atas juga mesti dihalusi dan dirincikan oleh semua umat Peribumi secara bersama dan secara segera.

Jika tidak, biarkan sahaja kuasa politik Peribumi tenggelam dan timbul bagaikan si Luncai yang terjun dengan labu-labunya, sehingga akhirnya kita semua mati lemas di bumi bertuah ini buat selama-lamanya.

Lepas itu, biarkanlah cucu-cicit kita menjadi generasi Peribumi yang merempat tanpa siapa membela nasibnya, malahan terus diinjak-injak oleh pihak lain buat selama-lamanya!

Hakikatnya mungkin demikian jika inilah yang dicita-citakan oleh segolongan pembesar politik Peribumi yang sikap dan perilakunya “bagaikan angin berputar, ombak bersabung”, seronok dengan pendekatan politik “lembu punya susu, sapi punya nama”, tetapi enggan bermuhasabah diri demi manfaat Peribumi seluruhnya di Malaysia yang majmuk ini.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here