Usaha memindahkan Limah dan Liah ke Taman Negara Endau-Rompin kerana haiwan berkenaan sering merosakkan tanaman kelapa sawit peneroka di Felda Tenggaroh, Mersing, Johor.

MERSING – Dua gajah betina, Limah dan Liah yang sering merosakkan tanaman kelapa sawit sehingga menyebabkan peneroka di Felda Tenggaroh menanggung kerugian besar akhirnya berjaya ditangkap dan dipindahkan ke Taman Negara Endau-Rompin.
Operasi pemindahan itu bermula jam 9 pagi hingga 1 tengah hari semalam dilakukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan dibantu dua ekor gajah denak dari Pahang, iaitu Alam dan Kasturi.

Ketua Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Che Ku Mohd. Zamzuri Chik Wan Ab. Rahman berkata, Limah dan Liah ditangkap Selasa lalu susulan aduan penduduk sekitar.

“Dua ekor gajah ini kedua-duanya betina dianggarkan berumur 25 dan 15 tahun. Kita percaya gajah ini daripada populasi kumpulan ID Jemaluang yang dianggarkan ada dalam 40 ekor.

“Dua ekor ini dipercayai telah tersesat ke Felda Tenggaroh dan terpaksa kita pindahkan. Pemindahan gajah adalah langkah terakhir yang diambil kerana biasanya kita akan kawal kerana kumpulan ini kita ada pasang ‘kolar’ apabila mereka dekati kawasan kampung kita akan halau, tetapi dua ekor ini memang terpisah daripada kumpulannya.

“Bagi proses pemindahan mengambil masa meskipun gajah ini telah ditangkap pada Selasa lalu. Ini kerana gajah denak perlu berehat sehari sebelum proses pemindahan dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Wilayah Felda Plantation Management Wilayah Johor Bahru, John Asrol Mohamad berkata, serangan gajah di kebun-kebun kelapa sawit mengakibatkan ramai peneroka kehilangan sumber pendapatan.

“Setakat ini kerugian dialami peneroka agak besar, tambahan pula harga sawit sekarang tinggi, iaitu RM1,000 bagi satu tan. Jadi, peneroka dapat pendapatan tinggi.

“Namun, bagi yang terjejas pokok sawit rosak mereka tidak dapat menikmati pulangan sebegitu. Kita yakin apabila gajah-gajah ini ditangkap akan mengurangkan kerosakan tanaman di kawasan ladang peneroka,”katanya.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here