Datuk Seri Mohd Shukri Abdull

Oleh Syahir Kassim

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta menyemak dan melaksanakan cadangan menambahbaik dan memperkasakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti mana dipersetujui sebelum ini supaya Ketua Pesuruhjayanya boleh menjalankan tugas tanpa rasa takut dan memihak kepada sesiapa.

Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull: “Saya sendiri mencadangkannya dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) yang dipengerusikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, perdana menteri ketika itu.

“Cadangan-cadangan yang melibatkan pindaan perlembagaan, telah pun dipersetujui dalam mesyuarat tersebut,” katanya ketika dihubungi BebasNews hari ini.

“Bagaimanapun saya tidak tahu apa berlaku dengan cadangan ini selepas saya meletak jawatan pada Jun 2019. Tiada susulan dibuat dan tidak tahu yang terjadi,” tambah beliau lagi.

Katanya, di bawah cadangan itu, pelantikan dan pemecatan KP SPRM hendaklah dibuat mengikut perlembagaan seperti mana pelantikan para hakim dan SPRM juga mempunyai suruhanjaya perkhidmatannya sendiri seperti mana Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman, Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran dan Suruhanjaya Perkhidmatan Polis.

Ini membolehkan Ketua Pesuruhjaya SPRM dapat menjalankan tugas tanpa rasa takut dan memihak, tambah Mohd Sukri.

Beliau berkata: “SPRM mempunyai Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) yang mana ahli-ahlinya terdiri daripada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

“JKMR boleh mencadangkan nama-nama Ketua Pesuruhjaya (KP) kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik. Agong yang lantik. Jadi ini dapat elak tohmahan, Perdana Menteri melantik orangnya sebagai KP SPRM.

“Pemecatan KP SPRM pula mestilah dibawa ke tribunal seperti hakim,” katanya.
Mohd Shukri berkata, pada masa ini pelantikan KP SPRM dibuat oleh Perdana Menteri yang memberi nasihat kepada Yang di-Pertua Agong untuk diperkenankan.

“Apabila calon KP dipersetujui oleh wakil rakyat kerajaan dan pembangkang tidak timbul soal perdana menteri yang lantik. Ini orang aku, ini orang engkau.

“Ini kerana kedua-dua pihak sudah setuju dengan seseorang calon itu untuk dipersembahkan kepada Agong dan diperkenankan sebagai KP SPRM,” katanya.

Menurut beliau, pelantikan menerusi kaedah itu membolehkan KP SPRM benar-benar bebas dan tidak gentar untuk menyiasat sesiapa sahaja termasuk Perdana Menteri.

“KP SPRM (perlu) ada kekebalan. Tujuannya supaya pemegang jawatan itu betul-betul bebas, tidak takut untuk jalankan penguatkuasaan,” katanya.

Mohd Shukri berkata, menerusi suruhanjaya perkhidmatan sendiri, SPRM mempunyai kuasa penuh untuk melantik dan memecat pegawai-pegawainya berdasarkan keperluan dan kepentingan bidang kerja SPRM.

“Ia membolehkan SPRM meningkatkan keupayaan dan profesionalisme dalam kalangan kakitangannya dan bertindak mengawal terma dan syarat pekerjaan termasuk soal tindakan tatatertib,” katanya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here