Oleh Fetty Rara

PERDANA Menteri Haiti, Ariel Henry memberi amaran kepada masyarakat antarabangsa bahawa migrasi global akan berterusan selagi ada jurang kemiskinan di dunia.

Berucap menerusi video kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Henry yang dilantik presiden selepas pembunuhan presiden Jovenel Moise berkata manusia, ayah, ibu dan anak-anak mereka akan terus berhijrah untuk keluar daripada kepompong kemiskinan dan konflik.

Beliau mengaku bahawa sememangnya hak negara berdaulat untuk mengawal pencerobohan sempadan oleh migran dan mengusir pendatang tanpa izin, namun demikian para pemimpin dunia sepatutnya sedar bahawa faktor kemiskinan dan ketidaksamaan global akan terus mendorong penghijrahan golongan miskin ke negara-negara maju.

Pandangan beliau itu menyusul susulan usaha kerajaan Amerika Syarikat mengusir ribuan migran Haiti dari sempadan selatan negara itu.

Tindakan pentadbiran presiden AS Joe Biden itu dikecam oleh masyarakat dunia kerana tidak menghiraukan penderitaan penduduk Haiti yang dilanda pelbagai krisis sejak kebelakangan ini.

Walaupun Henry tidak secara terus menyebut AS, namun imej dan video tentang pengusiran secara ganas oleh penguat kuasa sempadan Amerika telah memeranjatkan dunia.

Setiausaha Keselamatan Negara Amerika Alejandro Mayorkas pada Jumaat lalu memberitahu media bahawa AS telah mengusir lebih 2,000 warga Haiti yang berhimpun di bawah sebuah jambatan di bandar sempadan Del Rio, Texas.

Tindakan yang dianggap tidak berperikemanusiaan itu turut dikecam oleh para penyokong parti Biden sendiri.

Wakil Khas Amerika Syarikat ke Haiti, Daniel Foote yang kesal dengan apa yang berlaku pada minggu telah meletak jawatan kerana, antara lain berasa tidak puas hati berikutan dakwaan bahawa AS menyokong Henry yang dikatakan terbabit dalam kes pembunuhan bekas presiden negara itu.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here