Oleh Ahmad Abd Hamid

TERKEJUT golongan otai apabila secara tiba-tiba, atau orang putih kata ‘out of the blues,’ timbul cadangan agar kerajaan menghadkan pengeluaran lesen memandu kepada warga emas kerana kononnya berlaku peningkatan kemalangan jalan raya membabitkan golongan ini.

Yang memberi cadangan ialah Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias. Beliau menyarankan kerajaan memperkenal sistem penilaian bertujuan menyaring kemampuan warga emas. Jika lulus penilaian baru dibenarkan memperbaharui lesen.

Beliau juga mencadangkan ujian kemampuan atau kognitif (cognitive) untuk pemandu warga emas yang dikendalikan oleh kumpulan perubatan dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (IPKJR). Kognitif bermaksud menentukan kemampuan atau sensitiviti intelektual seperti pemikiran, ingatan dan daya fikir.

Tidak dapat dipastikan atas premis apa Azisman membuat cadangan ini semua. Isunya, benarkah warga emas menjadi punca berlaku peningkatan kemalangan jalan raya? Sudahkah dibuat kajian menyeluruh untuk sampai kepada kesimpulan itu?

Sebenarnya, warga emas sangat berhati-hati ketika memandu. Pada usia mereka, golongan ini sedar   mereka perlu memandu dengan cermat dan taat mematuhi peraturan jalan raya. Jarang sekali kita dengar pemandu warga emas terlibat dengan pemanduan berbahaya atau reckless driving.

Sebaliknya yang selalu kita dengar memandu membabi buta ialah pemandu mabuk. Juga golongan muda dan remaja, termasuk yang ghairah kerana baharu mendapat lesen. Malah ada juga yang memandu tanpa lesen.

Orang muda inilah yang selalu kita dengar memandu laju, memandu melawan arus dan suka memotong serta mencelah-celah di antara kenderaan ketika memandu sehingga membahayakan orang lain.

Mungkin ada satu dua kemalangan melibatkan pemandu warga emas. Tetapi itu tidak harus dijadikan kayu ukur untuk menghalang mereka memperbaharui lesen memandu. Malah mungkin warga emas yang terlibat kemalangan ini pun gara-gara pemandu muda cuai.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, sudah pun menjelaskan apa yang diutarakan oleh Azisman ini adalah pandangan peribadi, ertinya bukan pandangan rasmi Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong pula menyifatkan saranan sedemikian, yang hanya mengambil kira faktor umur, atau merujuk kepada kes terpencil untuk membuat kesimpulan, adalah mendiskriminasikan pemandu warga emas.

Ramai warga emas boleh memandu dengan baik, malah lebih cekap daripada pemandu muda. Lihat sahaja mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang masih berupaya memandu dengan baik walau pun sudah mencecah usia 96 tahun.

Kerana itu Ka Siong betul apabila menyatakan menarik balik atau menghadkan lesen memandu bagi warga emas adalah pilihan terakhir. Ini hanya setelah individu berkenaan didapati benar-benar sudah tidak berupaya memandu atau menunggang motosikal.

Pada tahap ini, dan jika wujud keraguan mengenai kemampuan memandu, bolehlah diterima pakai cadangan dijalankan pemeriksaan perubatan kepada individu berkenaan bagi memastikan tahap keupayaannya di atas jalan raya. Jika gagal ujian barulah tindakan tidak memperbaharui lesen wajar diambil.

Malah Sesen 30 Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah menetapkan pemandu atau pemegang lesen dikehendaki menyerahkan kembali lesen secara sukarela apabila keadaan kesihatan mereka sudah tidak mengizinkan.

Namun sebenarnya pemandu warga emas ini sedar kemampuan diri sendiri. Akan tiba satu ketika di mana mereka merasai sudah tidak mampu memandu. Kehadiran mereka di atas jalan raya boleh membahayakan pemandu dan pengguna jalan raya lain.

Apabila tiba masa ini, mereka sendiri akan berhenti memandu. Tidak perlu disuruh atau dibatalkan lesen atau tidak membenarkan mereka memperbaharui lesen. Anak-anak sendiri akan menasihatkan ibu bapa agar berhenti memandu.

Kerana itu bagi warga emas masih yang masih boleh memandu, dan mereka masih mahu memandu, tidak perlulah halang mereka dengan mengenakan peraturan yang menyusahkan.

Peraturan tidak harus diubah dan dilakukan sesuka hati hanya berteras andaian atau cetusan hati.  Begitu juga dengan polisi lesen memandu. Sebarang perubahan hendak dilakukan mesti disokong oleh bukti kukuh melalui pendekatan sistematik serta kajian terperinci.

Pihak berkuasa tidak perlu terlalu memikirkan isu lesen untuk pemandu warga emas. Banyak lagi isu lebih penting perlu diberi perhatian, seperti masalah pemandu berbahaya atau pemandu mabuk. Mereka jauh lebih berbahaya daripada pemandu warga emas yang didakwa kerap menjadi punca kemalangan.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here