Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas sebuah kereta melanggar tembok sebuah rumah di Jalan Rumbia 3, Taman Daya, Johor Bahru, awal pagi ini.

JOHOR BAHRU – Bunyi dentuman kuat mengejutkan beberapa penduduk yang sedang lena apabila sebuah kereta melanggar tembok sebuah rumah di Jalan Rumbia 3, Taman Daya, di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, sebuah kereta Proton Waja dipercayai yang dinaiki lima sahabat terbabas dan hilang kawalan lalu melanggar tembok rumah berkenaan yang berada di tepi jalan tersebut.

Tiga mangsa, R. Vimalan, 21, M. Sharven, 21 dan seorang lagi lelaki berusia dalam lingkungan 20-an yang masih belum dikenali identitinya meninggal dunia di tempat kejadian.

Dua lagi mangsa, S. Meshen Kumar, 21, dan P. Agilan, 22, pula mengalami kecederaan parah.

Sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan daripada orang awam, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

Komander Operasinya, Pegawai Bomba Kanan II Ramli A. Hamid berkata, lima sahabat itu dipercayai dari arah Taman Daya menuju ke Setia Indah.

“Dua mangsa mengalami kecederaan parah, manakala tiga mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang turut berada di lokasi.

“Pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas. Mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru bagi menerima rawatan lanjut, manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas sebuah kereta melanggar tembok sebuah rumah di Jalan Rumbia 3, Taman Daya, Johor Bahru, awal pagi ini.

Operasi tersebut tamat pada jam 3.42 pagi.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here