Ogy Ahmad Daud ada cara hilangkan rasa takut?

Oleh Nafsiah Jani

GARA-GARA pandemik, ramai yang terkesan dengannya. Begitu juga dengan pelakon, penyanyi dan pengacara, Fauziah Dato’ Ahmad Daud yang tidak mempunyai sumber pendapatan berikutan sekatan untuk sebarang penggambaran drama mahupun filem.

Namun halangan ini bukan untuk Fauziah yang lebih mesra dengan panggilan Ogy duduk begitu sahaja. Kesempatan ini digunakannya mencipta modul-modul bagi mengadakan bengkel lakonan untuk menjana pendapatan.

“Satu dunia terkesan gara-gara pandemik Covid-19. Saya tak malu nak cakap yang saya memang pernah menjual sambal. Tapi kini dah berhenti sebab tiada orang membantu. Dalam waktu getir sebegini saya terfikir gunakan skil dan kebolehan yang ada untuk menganjurkan kelas keyakinan diri.

“Saya tengok sekarang ramai anak muda terutamanya anak-anak Melayu yang tiada keyakinan diri. Takut untuk bersuara…semuanya takut. Jadi kelas yang saya anjurkan ini untuk ajar mereka bagaimana nak hilangkan serta buang rasa takut. Ubah ketakutan jadi sesuatu yang menyeronokkan.

“Modul saya ini hanya gunakan lima peratus daripada teknik seni lakon, lagi 95 peratus matlamatnya untuk buang segala ketakutan dan mendidik mereka untuk mengubah mind set daripada minda yang sudah difixkan kepada minda yang sentiasa berkembang. InsyaAllah semuanya dalam perancangan…saya dah buat modul yang diperlukan,” kata Ogy lagi.

Ogy menambah, “Saya pun terharu kerana ada pelakon yang minta berguru secara personal. Untuk kelas sebegini ada 20 modul yang telah saya sediakan. Kelas personal begini akan ambil masa selama dua bulan.”

Kini Ogy dalam proses menyiapkan buku untuk memudahkan pelajar-pelajarnya memahami dengan lebih mendalam tentang teknik penjiwaan watak. Keterujaannya untuk penghasilan buku ini terbit selepas watak lakonannya, sebagai Noriah dalam drama Ayahanda menjadi sebutan ramai.

“Dalam drama ini ramai yang melihat sisi yang amat berbeza Fauziah Ahmad Daud. Mungkin diminda mereka Fauziah Ahmad Daud ini Azura, Asmidar, Ayu dalam Suara Kekasih dan sebagai pengacara. Dalam drama Ayahanda, saya memberi anjakan yang amat berbeza sebagai seorang pelakon. Ialah untuk ‘memanusiakan’ watak Noriah ini bukannya mudah. Buku ini nanti bakal menampilkan proses dan persiapan seseorang aktor atau aktres.

“Bagi saya amat penting saya berkongsi ilmu dengan generasi baru yang amat sukar masuk bengkel-bengkel lakonan. Mungkin dengan buku ini mereka dapat memahami, bukan mudah untuk bergelar aktor atau aktres. Seni lakon ini seni yang mahal sebenarnya. Kalau nak jadi aktor atau aktres… kita kena ada dalam kelas kita tersendiri.

“Sebelum kelokasi seseorang pelakon perlu membuat persiapan…ibarat kita nak pergi berperang. Bukan dah sampai medan perang baru nak mengenali..macam mana nak guna senapang, nak kenali bom dan segala macam alat peperangan…memang tak bolehlah. Macam tu jugak sebagai pelakon, pergi shooting ibarat pergi ‘berperang’…mereka kena bersedia daripada segi mental dan fizikal,” ujar ibu kepada Nur Aminah Aishah ini.

Kata Ogy lagi, Dia tahu dirinya mempunyai kelebihan dan ada sesuatu yang boleh dikongsi bersama masyarakat.

“Dah tiba masanya saya berkongsi ilmu yang ada dengan penggiat seni, mahupun mereka yang akan bergelar penggiat seni. Bulan November ini saya akan terbabit dengan bengkel seni lakon di Finas. Bengkel percuma ini akan diadakan selama tujuh hari. Setiap peserta akan diberikan sijil penyertaan. Mereka yang berminat boleh ikuti Ig (Instagram) saya kerana bengkel ini akan diwar-warkan melalui medsos saya.

OGY sebagai Premier Volunteer Yayasan Ammirul Ummah

“Disebabkan pendemik ini kami tidak boleh menjalani sebarang penggambaran drama mahupun filem. Saya sedar diri saya adalah jenama ..ada selling power. Untuk tidak mematikan bakat dan skil seni lakon anugerah Alllah ini saya gunakan untuk menjana pendapatan. Apa saja kelas bisnes online saya juga sering join sebab nak tambah ilmu dalam dunia online. Itulah kehidupan Fauziah Ahmad Daud ketika pendemik.”

Kini Ogy juga aktif dengan sebuah organisasi NGO, Yayasan Ammirul Ummah sejak Mei lalu. Matlamat yayasan ini untuk mengumpul dana bagi membeli Al Quran untuk diwakafkan ke negara-negara sekitar Asia Tenggara terutamanya Indonesia.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here