Penerima biasiswa Khazanah dan keluarga mereka.

KUALA LUMPUR – Benar seperti dikatakan, kepercayaan yang diberikan mampu mengubah perjalanan hidup kita selamanya. Begitu halnya bagi 104 warga anak muda Malaysia, apabila mereka dianugerahi Biasiswa Khazanah pada tahun ini.

Di samping itu, 54 penerima biasiswa sedia ada juga diiktiraf di majlis anugerah tahun ini setelah mencatatkan prestasi cemerlang.

Bertemakan, ‘Memperkasa modal insan hari ini sebagai pencetus perubahan masa depan’, Hari Anugerah Yayasan Khazanah 2021 meraikan para penerima biasiswa yang layak dan juga ahli keluarga mereka dilakukan secara maya buat pertama kalinya.

Tema tahun ini mencerminkan warisan 15 tahun Yayasan Khazanah mengiktiraf kecemerlangan pendidikan dan memupuk pembangunan pelajar dengan menggalakkan mereka untuk berbakti kepada masyarakat.

Daripada 104 penerima biasiswa baharu, 37 menerima Program Biasiswa Global Khazanah, 62 menerima Program Biasiswa Watan Khazanah, dan lima dipilih menyertai Program Biasiswa Lestari Khazanah yang diadakan buat julung kalinya.

Datuk Shahril Ridza Ridzuan

“Tahniah diucapkan kepada semua penerima Biasiswa Khazanah, kami percaya anda berpotensi membawa impak positif berganda terhadap kehidupan insan lain. Penerima Biasiswa Khazanah sentiasa memberikan yang terbaik dan berusaha membawa manfaat kepada keluarga, masyarakat dan negara,” kata Pengerusi Yayasan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, dalam ucapannya di Hari Anugerah Yayasan Khazanah 2021.

Bagi kebanyakan penerima Biasiswa Khazanah 2021, biasiswa antara jalan keluar dari belenggu kemiskinan, terutamanya dalam kalangan B40.

Menurut penerima Biasiswa Watan Khazanah, Izzati Kausar, berkata, “Saya dibesarkan oleh ibu yang menyara hidup keluarga kami dengan wang pencen semata-mata. Menyedari keadaan hidup kami, saya berusaha meningkatkan status sosioekonomi keluarga.

Izzati Kausar Azman

“Apabila Yayasan Khazanah memberi peluang mengikuti kursus lepasan ijazah, berbekalkan azam dan semangat yang kental, saya mencuba nasib dengan harapan ia akan dapat meringankan beban kewangan yang saya hadapi,” kata Izzati akan mengikuti kursus Sarjana Mikrobiologi Perubatan di Universiti Malaya.

“Saya telah membaca emel tahniah berulang kali, dan saya berasa amat bertuah untuk menerima anugerah berprestij ini. Sememangnya kejutan ini sungguh luar biasa dan sesuatu yang amat membanggakan,” kata seorang lagi penerima Biasiswa Global Khazanah, Shveenita Alyza Kanapathy. Beliau akan mengikuti pengajian Cambridge A-Levels di Kolej Yayasan UEM.

Penerima Biasiswa Watan Khazanah, Siti Raudhah Rafiee, bercita-cita untuk mengikuti program perakaunan di Universiti Teknologi Malaysia selepas mendapat inspirasi daripada tutornya.

Penerima sulung Biasiswa Lestari Khazanah, Dawn Scholastica Adrian, berkata, “Biasiswa ini bukan sahaja membantu dari segi kewangan untuk mengikuti pengajian Sarjana, tetap ia turut bermakna buat saya bahawa ada sekumpulan insan yang yakin terhadap manfaat yang boleh saya berikan kepada Malaysia satu hari nanti.

Pada anugerah tahun ini, Yayasan Khazanah telah mengiktiraf 54 penerima biasiswa sedia ada berikutan mencatatkan keputusan cemerlang dalam ketiga-tiga program biasiswa, dan satu sebutan khas.

Biasiswa Khazanah ditubuhkan untuk membolehkan belia Malaysia melanjutkan pengajian ke menara gading dan memanfaatkan peluang menambah ilmu secara berterusan menerusi tiga program biasiswanya, iaitu Program Biasiswa Watan Khazanah, Program Biasiswa Global Khazanah dan Program Biasiswa Lestari Khazanah.

– BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply