KUALA LUMPUR – Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia KL) telah menyumbang bantuan berjumlah RM1 juta bagi manfaat kepada 90,000 penerima yang terdiri daripada pekerja barisan hadapan dan komuniti kurang mampu.

“Berbekalkan semangat kekitaan yang sama, Gardenia Bakeries (KL) telah tampil menyokong petugas barisan hadapan dan golongan B40 sejak bulan Mac 2020 menerusi Program Bantuan COVID-19 Gardenia,” kata Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awamnya, Hazlinah Harun.

Program Bantuan COVID-19 Gardenia yang meliputi lapan fasa dilaksanakan dari bulan Mac 2020 hingga Ogos 2021.

Menerusi program ini, Gardenia KL mengagihkan lebih 500,000 produk Gardenia kepada lebih 90,000 penerima yang terdiri daripada petugas barisan hadapan perubatan di 500 pusat pemvaksinan di seluruh Semenanjung Malaysia, petugas barisan hadapan ekonomi seperti penghantar makanan dan barangan serta isi rumah B40. Bantuan juga diberikan kepada pelajar universiti yang bergantung kepada program Program Food Bank Siswa di universiti mereka.

Hazlinah berkata, Gardenia KL juga menyumbangkan bantuan tunai khas berjumlah RM55,000 selama empat bulan pada bulan Mac, Mei 2020 dan Januari, Julai 2021, sebagai sebahagian daripada Program Bantuan COVID-19 Gardenia.

Menurut ketua Kampung Bukit Naga, Abdurrahman Misbah, yang menjadikan rumahnya sebagai pusat pengagihan makanan bagi golongan memerlukan berkata, “Pada hari-hari tertentu, terdapat sehingga 50 ketua keluarga, termasuk warga asing yang datang ke rumah saya untuk mendapatkan bantuan makanan.

“Ada yang tiada lagi wang untuk membeli susu tepung untuk bayi mereka dan tiada makanan untuk mengalas perut anak mereka. Kami bersyukur kerana masyarakat umum dengan murah hati memberikan sumbangan, dan ini telah membolehkan kami terus membekalkan barangan kepada keluarga yang memerlukan.”

Beliau menambah bahawa penduduk di sini terdiri daripada golongan miskin bandar, pekerja sambilan dan ibu tunggal.

Bagi program berkenaan, Gardenia KL telah bekerjasama rapat dengan rakan-rakan komuniti seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Pertubuhan Kebajikan Oasis Harapan, Pertubuhan Sukarelawan Kita Kawan, dan Absolute Malaysia (AMAL).

– BebasNews
Please follow and like us:

Leave a Reply