Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan bukan lagi ahli UMNO setelah gugur secara automatik selepas terlibat dalam gerakan menjatuhkan Kerajaan Negeri Melaka sedia ada.

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh, kedua-dua mereka sudah secara terbuka menyatakan tidak lagi bersama kerajaan negeri.

“Apabila dinyatakan dalam sidang media secara terbuka mereka bersama dengan parti tidak membentuk kerajaan dan meruntuhkan kerajaan, maka secara automatik akan tergugur haknya sebagai ahli UMNO,” katanya dalam sidang media di Melaka hari ini.

Media melaporkan, Idris yang juga bekas Ketua Menteri Melaka dan Nor Azman bersama dua lagi ADUN mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkuat kuasa serta-merta.

Dua lagi ADUN ialah Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Semalam, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO akan menggugurkan ADUN daripada parti itu di Melaka yang didapati terbabit dalam gerakan menjatuhkan kerajaan negeri sedia ada.

Beliau berkata, tindakan itu selaras dengan peraturan ditetapkan parti.

– BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply