Jabatan Agama Islam Selangor

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah membenarkan pelaksanaan upacara akad nikah dengan kehadiran fizikal diadakan di masjid dan surau berkuatkuasa mulai hari ini.

JAIS dalam hantaran Facebooknya berkata, bagaimanapun jumlah kehadiran fizikal pihak-pihak adalah terhad mengikut lokasi dengan upacara akad nikah boleh dijalankan bermula Isnin sehingga Ahad.

Menurutnya, sekiranya diadakan di JAIS ataupun Pejabat Agama Islam Daerah (PAID), bilangan kehadiran adalah seramai tiga orang iaitu pengantin lelaki, pengantin perempuan dan wali sahaja.

“Bagi upacara akad nikah di masjid dan surau yang dibenarkan untuk solat Jumaat pula, pihak-pihak yang dibenarkan ialah pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali dan tiga orang lain yang ditentukan pihak berkenaan.

“Individu lain tidak dibenarkan hadir termasuk jurugambar,” katanya.

JAIS berkata, kebenaran itu juga tertakluk kepada syarat lain iaitu pihak-pihak terbabit telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin dan melepasi hari ke-14 tarikh suntikan dos kedua bagi Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac manakala melepasi hari ke-28 bagi Johnson & Johnson dan CanSino.

“Ujian RT-PCR Covid-19 hanya wajib kepada pengantin lelaki dan pengantin perempuan, wali dan tiga lagi individu yang hadir yang belum melengkapkan vaksinasi mereka.

“Ujian itu perlu dijalani dalam tempoh 72 jam (tiga hari) daripada waktu pelaksanaan majlis dan mengemukakan keputusan ujian kepada Pendaftar sebelum majlis dilaksanakan,”katanya.

Mengulas lanjut, sekiranya terdapat mana-mana pelanggaran kepada ketetapan semasa, Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk atau Pegawai Tadbir Agama boleh menangguhkan atau membatalkan upacara akad nikah.

“Tindakan tegas sewajarnya akan diambil jika terdapat mana-mana individu atau pihak yang didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan semasa yang ditetapkan,” katanya.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here