SHAH ALAM – Polis Selangor menafikan laporan sebuah laman web yang mendakwa Bandar Klang sebagai bandar paling tidak selamat di Asia Tenggara.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berita bahawa Klang turut memiliki kadar keselamatan paling rendah itu disifatkan mengelirukan dan tidak benar sama sekali.

“Maklumat artikel yang diterbitkan berkaitan indeks jenayah dan indeks keselamatan itu tidak dapat dipastikan kesahihan serta sumbernya.

“Kaedah kajian secara kualitatif dan kuantitatif serta bilangan responden juga tidak mengambarkan atau mewakili keseluruhan masyarakat Klang,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Arjunaidi berkata, statistik polis menunjukkan jenayah kekerasan di daerah itu melebihi nilai ambang sebanyak 31.76 kes atau enam peratus antara 1 Januari sehingga 30 September lalu.

“Bagi jenayah harta benda, ia berada dibawah nilai ambang iaitu 195.44 kes atau 13 peratus sepanjang tempoh sama.

“Secara keseluruhannya, daerah Klang berada di bawah nilai ambang iaitu sebanyak 163.68 kes atau lapan peratus,” katanya.

Justeru Arjunaidi menasihatkan orang ramai supaya tidak gusar atau bimbang dengan laporan laman sesawang berkenaan.

“Ia tidak menggambarkan statistik dan fakta sebenar kejadian jenayah yang berlaku di Klang,” jelasnya.

Difahamkan, Klang disenaraikan sebagai bandar paling tidak selamat itu diikuti antaranya Kuala Lumpur, Manila dan Quezon City (Filipina), Petaling Jaya serta Johor Bahru.

Bandar yang didakwa rendah statistiknya pula antaranya Chiang Mai (Thailand), Singapura dan Hanoi (Vietnam). – BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply