Oleh Datuk Dr Nasaruddin Othman

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau MACC perlu bergerak dalam ruang tersendiri bagi memastikan jenayah rasuah dapat dihapuskan secara total tanpa tindakan memilih bulu dan rasa takut dalam kalangan anggota SPRM.

Kebelakangan ini bermacam isu kontroversi melanda SPRM hingga menyebabkan ia menjadi bahan cacian, tohmahan, celaan dan kritikan.Terbaharu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki menjadi sasaran pihak pembangkang.

Presiden Pakatan Harapan (PH) mencadangkan supaya Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki direhatkan sementara waktu dari tugas-tugasnya supaya siasatan penuh dapat dilakukan. Pelik juga, lain yang bengkak lain pula yang bernanah.

Cadangan ini menimbulkan tanda tanya, yang ditahan reman adalah tiga pegawai kanan SPRM (atas dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan), tetapi yang disasarkan adalah Azam Baki. Yang disuruh bertanggungjawab tiba-tiba Azam Baki. Pemimpin yang menandatangani desakan supaya beliau direhatkan adalah Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, Lim Guan Eng dan Wilfred Madius Tangau.

Tindakan ini berunsur hipokrit, pada masa Mohd. Azhar Che Mat Dali yang juga setiausaha politik presiden Amanah, ditahan disiasat ekoran tuduhan rasuah, kita tidak menemukan seruan agar Mohd. Sabu berehat.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang didakwa atas empat tuduhan rasuah dibicarakan, adakah ada seruan agar beliau direhatkan dari Pakatan Harapan, dan politik? Tatkala ada pemimpin tertentu didakwa rasuah maka dengan lekas dituduh SPRM menjadi alat.

Dakwaan begini hanya menguntungkan puak ini dari segi persepsi iaitu untuk berlepas diri dari kesalahan dan tuduhan, tetapi tidak membetulkan masyarakat ini yang ditimpa bahana korupsi. Semua pemimpin sewajarnya buta warna kulit dalam memerangi amalan rasuah.

Tindakan terhadap sesuatu pihak tidak kira pemimpin atau organisasi apa sekalipun perlu adil dan saksama. Harus diingat Azam dan SPRM sebetulnya bekerja dalam kumpulan yang kecil.

Selain penjawat awam yang melakukan perbuatan khianat, penyelewengan kuasa dan rasuah, SPRM juga menekuni kes demi kes melibatkan ahli politik baik dalam kerajaan mahupun pembangkang. Jangan kita lupakan SPRM bertindak cemerlang dalam kes yang dilabel sebagai kluster mahkamah.

Sesungguhnya kluster tersebut berlaku semasa Azam menjadi Ketua Pesuruhjaya. Justeru musuh-musuh Azam terlalu ramai dari mantan PM, mantan TPM, mantan ketua intel negara, mantan Menteri Kewangan dan mantan Ketua Menteri.

Dalam fikirannya, Azam masih lagi berfikiran bahawa ada lagi kes-kes berprofil tinggi ini akan dibuka. Kes Lim Guan Eng, misalnya juga difahamkan akan dibuka semula. Kes tersebut perlu dilihat sebagai kes melibatkan salah guna kuasa dalam kalangan pemimpin bukannya tuduhan melulu dan bersifat pilih bulu. Biarlah mahkamah menentukan sama ada seseorang pemimpin itu bersalah.

Serangan terhadap integriti Azam di saat orang bawahannya yang terpalit dengan kes rasuah adalah tidak adil dan amat biadap. Kita semua tahu tindakan Azam menyebabkan musuh-musuh beliau juga proaktif mencari kelemahan beliau siang dan malam. Malah mantan-mantan pegawai SPRM yang tidak sebulu dengan Azam juga akan cuba sedaya upaya untuk menjatuhkan beliau.

Semasa Azam menjadi Ketua Pesuruhjaya beliau dilihat berbeza daripada ketua-ketua SPRM yang terdahulu. Azam tidak sama seperti Tan Sri Dzulkifli Ahmad mahupun Latheefa Koya. Kita semua tahu bagaimana kedua-duanya itu berfungsi dan dilantik.

Azam semasa dilantik menjadi Ketua Pesuruhjaya menggantikan Latheefa adalah pegawai paling kanan dalam Suruhanjaya itu. Kita boleh lihat di bawah kepimpinannya, Azam cukup proaktif dalam membanteras rasuah di semua peringkat. Ada yang menang dan ada juga kes yang kalah. Tanggungjawab SPRM ialah membuka kertas siasatan dan membuat siasatan.

Kes itu biasanya diserahkan kepada pihak Peguam Negara untuk pendakwaan. Azam nampaknya tersepit di tengah-tengah dalam kalangan musuhnya yang terlalu banyak itu.Apa yang berlaku dalam kes kehilangan wang dalam institusi itu adalah salah satu kes pecah amanah membabitkan pegawai dalam badan tersebut.

Ada kakitangan yang baik dan ada kakitangan yang jahat. Adalah tidak adil kita meminta Azam meletakkan jawatan atas alasan tersebut. Siasatan dalaman sedang dijalankan dan pihak polis juga sedang menyiasat dengan teliti.

Azam pada saat ini sewajarnya disokong supaya dapat terus berkhidmat tanpa elemen negatif di dalam organisasi beliau. Jika kita anggap kes itu besar, apa pula alasan kita apabila kad-kad pengenalan dijual oleh pegawai-pegawai Jabatan Pendaftaran Negara kepada warga-warga China. Pegawai Imigresen yang terbabit dalam skandal menjual pasport dan sebagainya.

Kes-kes pasport yang dijual kepada warga China lebih besar sifatnya, mengapa tiada puak-puak pembangkang bersuara lantang seolah-olah menyokongnya. Adakah kes tersebut menguntungkan pihak tertentu untuk jangka panjang sedangkan kes rasuah melibatkan pemimpin mereka dipandang sebelah mata.

Sepatutnya kes melibatkan kedaulatan undang-undang dan negara perlu diambil maklum oleh pemimpin yang sibuk mendesak Azam supaya berehat. Tidakkah kita sedar Azam juga perlu memastikan pegawai-pegawai yang mengkhianati organisasinya dihukum dengan sekeras-kerasnya dan tiada kompromi dan ia sedang beliau usahakan jadi pada saat ini bersabarlah.

Bagaimana pula kes kakitangan sebuah jabatan kerajaan yang bersubahat dengan sindiket membawa masuk daging import haram yang diletak cop halal untuk makanan umat Islam? Untuk ingatan kita semua, kesemua kes-kes itu telah dibongkar oleh SPRM sendiri. Jika diikutkan banyak pihak sebenarnya ingin mempergunakan SPRM untuk kepentingan kerjaya mereka, terutama ahli politik.

Ahli politik yang mempunyai perangai yang jelik sebegini sebelum berkuasa merekalah anti rasuah namun apabila mereka sudah ada kuasa mereka juga adalah pemakan rasuah dan korup, melalui pelbagai cara. Puak sebegini beranggapan Ketua Pesuruhjaya SPRM harus dikuasai.

Masihkah diingat lagi zaman PH memerintah mereka melantik orang politik dalam PKR menjadi Ketua Pesuruhjaya hingga menyebabkan rakyat terpinga-pinga.Peliknya, ia “dihalalkan” oleh parti yang kononnya telus dan berintegriti. Tiba-tiba perkara sebegini boleh jadi halal dan tidak disanggah rakan seperjuangan.

Semasa era Najib, beliau melantik orang yang paling beliau “senangi” menjadi Ketua Pesuruhjaya. Di saat itu pelbagai isu timbul bagi menangkis “konflik kepentingan” yang menyelubungi dalam kerajaan semasa itu.

Apabila PH memerintah, semua musuh politiknya didakwa dalam pelbagai pertuduhan rasuah sehinggakan sekecil-kecil kes. Ketika kerajaan PN diterajui oleh Muhyiddin Yassin individu yang terlibat kes-kes tertentu diberi jolokan “kluster mahkamah” mengambil sempena nama kluster-kluster dalam Covid-19.

Muhyiddin pula mengambil pendekatan tegas, enggan campur tangan walaupun nyawa politiknya di hujung tanduk dengan berpendirian “biar mahkamah yang memutuskannya” Beliau boleh sahaja mengambil keputusan sebagaimana berlaku di zaman PH dengan menggugurkan kes rasuah Lim Guan Eng dan juga beberapa kes lain yang membabitkan sekutu politik mereka.Tetapi Muhyiddin tidak melakukannya.

Ironisnya, Ketua Pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO) ala CIA Malaysia juga ditahan dan dihadapkan ke mahkamah. Sepanjang ingatan kita, inilah pertama kali seorang ketua perisikan negara yang didakwa.

Azam pada saat ini perlu memastikan pegawai-pegawai yang mengkhianati organisasinya dihukum dengan sekeras-kerasnya tanpa kompromi. Kita berharap Azam terus berazam untuk membanteras rasuah ke akar umbi tanpa pilih kasih dan takut.

Jangan patah semangat. Perkukuhkan apa-apa kelemahan dari segi SOP organisasi selepas ini. Yang penting, anda jangan bagi muka kepada pemakan-pemakan rasuah itu.

Sebenarnya Azam sudah berjaya dalam tugasnya. Musuhnya yang tidak senang duduk kerana kes rasuah pemimpin mereka akan tetap diteruskan. Kepada pihak yang menyarankan Azam direhatkan sepatutnya anda bersama-sama mengubati nanah bernama rasuah bukannya mengubat bengkak di tempat yang elok.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here