Shahrizuan (terbaring) yang hilang di kawasan ladang ditemukan semula dalam keadaan lemah berdekatan Stesen Keretapi Renggam, Kluang, malam tadi. Foto Ihsan Bomba dan Penyelamat.

KLUANG – Seorang pengawal keselamatan yang dilapor hilang ketika bertugas di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Ulu Remis, Layang Layang, Simpang Renggam di sini malam kelmarin berdepan dengan keadaan misteri apabila ditemukan malam tadi dalam keadaan kebingungan dan lemah.

Pengawal berkenaan Shahrizuan Pairon, 23, mendakwa selepas gagal mengejar sebuah lori yang disyaki dinaiki pencuri, pandangan matanya secara tiba-tiba menjadi gelap dan beliau tidak dapat mencari jalan untuk pulang.

Bapa mangsa Pairon Baharudin, 56, akhirnya telah menjumpai Shahrizuan di tepi jalan berhampiran Stesen Keretapi Renggam, kira-kira 12 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang di kawasan ladang berkenaan.

Adanan Baharudin, 61, berkata: “Adik saya (Pairon) dan keluarga termasuk isteri dan anaknya menaiki kereta dan motosikal menuju ke lokasi anak mereka yang hilang dan setibanya di jalan berkenaan yang bersebelahan rel kereta api, dia seakan-akan terperasan kelibat seseorang di tepi jalan.

“Hatinya terdetik untuk berpatah balik dan memang betul, anaknya sedang terbaring dan apabila ditanya apa yang berlaku, Shahrizuan terpinga-pinga dan mengatakan sepanjang dia hilang, pandangannya gelap seperti waktu malam.

“Dia juga mengingati pada waktu kejadian, ada sebuah lori cuba melarikan diri di pintu pagar dan dia mengejarnya tetapi sampai di satu simpang, lori berkenaan ‘hilang’. Dia cuba berpatah balik ke tempat kerjanya semula, tetapi tidak nampak jalan keluar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian 7 petang kelmarin, mangsa dilaporkan hilang semasa bertugas di ladang tersebut dan kehilangannya disedari rakan setugas sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.

Adanan mendakwa, sebelum hilang, anak saudaranya itu terserempak pencuri kelapa sawit di ladang Ulu Remis Sime Darby, Layang-Layang itu pada petang kelmarin.

Difahamkan sebelum hilang, mangsa sempat melaporkan kes kecurian baki buah tandan segar yang berada dalam tong pada jam 7.22 petang kepada kumpulan kerjanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Dua rakan sekerjanya, Sarjan Fairul Md. Saud dan Lans Koperal Mohd. Khairi Adha Yahya bergegas ke lokasi sebaik sahaja menerima maklumat itu.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Fauzi Mohd. Nor berkata, Shahrizuan dijumpai dalam keadaan lemah di kawasan berdekatan Stesen Keretapi Renggam.

“Mangsa kemudian dihantar menggunakan ambulans Klinik Kesihatan Layang-Layang ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, di sini untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd. Fauzi berkata, operasi SAR itu disertai sembilan anggota BBP Renggam selain dibantu 82 orang daripada pelbagai agensi seperti polis, polis bantuan serta penduduk setempat. – BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply