Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyaksikan kitab al-Quran milik Abu Bakar Ismail.

KUALA LUMPUR – Biarpun sudah dimamah usia dan menghampiri satu abad, seorang warga emas tetap tekun membaca al-Quran, malah berjaya mengkhatamkan al-Quran sebanyak 130 kali.

Malah lebih menginsafkan, Abu Bakar Ismail, 96, membaca kalimah-kalimah suci itu bertemankan al-Quran yang sudah lusuh.

Penemuan yang mengagumkan itu dikongsi bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi coretan di Facebooknya semalam.

Beliau membuat kunjungan bersama-sama Charity Care Malaysia ke rumah anak bongsu warga emas berkenaan di Taman Semarak, Nilai, Negeri Sembilan.

Menurut Zulkifli, kunjungan beliau ke sebuah rumah amat memberi keinsafan dan rasa kagum kepada individu tersebut.

“Di tangan saya adalah al-Quran lusuh yang telah dikhatamkannya sebanyak 130 kali. Beberapa kali anak menantunya mencadangkan untuk al-Quran itu ditukar kepada baharu namun beliau menolak.

“Moga al-Quran ini menjadi saksi akan istiqamah beliau mengkhatamkannya sebanyak 130 kali sepanjang hidup,” ujarnya.

Perkongsian bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu turut menyentuh hati dan menjadi inspirasi kepada warganet.

“Masya Allah. Semoga menjadi pendorong untuk kita semula,” coret seorang pengguna dikenali Iman Fadzil.

Seorang lagi pengguna, Adam Che Epg pula mendoakan kesejahteraan buat semua warganet.

“Ya Allah, semoga kita semua juga diberikan taufik hidayah dari Allah untuk terus istiqamah dengan al-Quran,” ujar beliau.

Dalam pada itu memetik laporan portal edisi9, difahamkan, Abu Bakar yang berasal dari Bakri, Muar, Johor tinggal bersama anak bongsu Roslina, 51, selepas kematian isteri, Hamidah Ali sejak 13 tahun lalu.

Beliau yang mengalami sakit tua dan sukar untuk berjalan termasuk ingatan semakin berkurangan, masih meneruskan aktiviti membaca al-Quran selepas solat fardu.

Berbaki empat tahun lagi untuk mencecah usia 100 tahun, al-Quran yang dimiliki seawal usia perkahwinan warga emas tersebut dijaga dengan baik dan rapi.

Malah sekiranya terdapat bahagian atau helaian naskhah yang tanggal dan tercabut akan digam serta dibaiki semula oleh warga emas berkenaan.

 

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here