DUN Melaka. - Foto ihsan Utusan Digital

Ketika membuat sidang akhbar, ‘Geng Empat Sekawan’ mungkin tidak menjangkakan bakal berlakunya Pilihanraya Negeri (PRN) kerana pandemik Covid-19 masih melanda negara dan jika berlaku juga rakyat mungkin marah.

Pada percaturan mereka, kemelut akan menyaksikan perubahan kuasa yang mudah kepada Pakatan Harapan (PH).

Tidaklah menghairankan apabila salah seorang Geng Empat Sekawan, Datuk Seri Idris membuat kenyataan supaya PH diberikan peluang untuk mentadbir Melaka selepas Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali ditumbangkan.

Sebelum ini, Idris yang juga ADUN Sungai Udang bersama-sama ADUN Kundor Datuk Nor Azman Hassan, Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Sulaiman, berkuat kuasa serta-merta.

Idris yang merupakan bekas Ketua Menteri Melaka di bawah panji UMNO dilaporkan menolak cadangan partinya sendiri supaya diadakan PRN dengan alasan pandemik Covid-19 masih berlaku dan juga penganjuran pilihan raya berkenaan juga mengakibatkan tanggungan kos yang besar.

Malangnya, apa yg direncana beliau ibarat “Untung sekarung tapi rugi seguni.” PRN akhirnya diputuskan bakal diadakan sedangkan apa yang berlaku tidak perlu sampai ke tahap ini kerana rakyat yang banyak menanggung rugi.

Kalau benar Geng Empat Sekawan tidak berpuas hati, perlukah sehingga menarik sokongan terhadap Sulaiman. Sekurang-kurangnya tunggulah Melaka dan negara amnya benar-benar bebas daripada ancaman pandemik.

Tambahan, rakyat terutama warga Melaka sendiri baru sahaja bangkit untuk meneruskan semula sisa kehidupan selepas lama terkurung dan pastinya kestabilan politik diharapkan untuk mereka dapat dibantu dengan pelbagai peruntukan dan program yang disediakan kerajaan negeri.

Berat sangatkah kesalahan Sulaiman dari Parti UMNO yang dilihat bertungkus lumus untuk membantu rakyat. Adakah terdapat cerita-cerita lain di sebalik kain yang tidak diketahui dan segala-galanya belum tersingkap kepada umum.

Hakikatnya Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan sendiri mempersoalkan sama ada wujudnya muslihat terhadap apa yang berlaku apabila Geng Empat Sekawan bertindak demikian tanpa mengambil kira prestasi baik kerajaan negeri sebelum ini.

Beliau kecewa dengan tindakan Geng Empat Sekawan terutamanya ketuanya sanggup membelakangi agenda rakyat, negeri dan negara.

Pengerusi Sekretariat Profesional Wanita UMNO Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah juga senada dengan Shahril dan menyifatkan tindakan empat ADUN yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri, sebagai mementingkan diri dan bukan untuk kepentingan rakyat.

Namun begitu ‘terlajak perahu boleh diundur’, PRN setakat ini akan diteruskan juga dan kebimbangan Idris (sama ada ikhlas atau sebaliknya) tentang Melaka bakal mengulangi apa yang berlaku di Sabah yang mengalamj jangkitan Covid-199 yang tinggi selepas PRN merupakan sesuatu yang bakal dilihat.

Seandainya benar-benar terjadi rakyat yang semakin muak dengan telatah semua politikus di peringkat pusat dan negeri yang mementingkan diri, akan juga menuding jarinya kepada Idris dan juga PH yang didakwa sebagai dalang kepada kemelut yang sedang berlaku di Melaka. – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here