Oleh Ahmad Abd Hamid

SETELAH hampir dua tahun terperap sejak 2019, dan beberapa kali jadual tayangan ditunda gara-gara pandemik Covid-19, filem terbaharu James Bond No Time To Die, memasuki pasaran global dengan pelancaran tayangan perdana di Royal Albert Hall, London 28 September lalu.

Tetapi peminat di Malaysia terpaksa menunggu lebih lama. Tayangan yang sepatutnya bermula 30 September ditunda sehingga 25 November. Pengedar filem, United Pictures International (UPI) tidak memberi sebab penangguhan. Pihak rangkaian pawagam TVG dan GSC mengesahkan penangguhan ini.

Ternyata penantian begitu lama No Time To Die memasuki pawagam tidak sia-sia. Setelah sekian lama menunggu, penonton nyata begitu teruja ke pawagam menonton filem Bond ke-25 itu.

Buktinya, kutipan tinggi dicatat pada tayangan akhir minggu lalu di United Kingdom. Memetik bbc.com, No Time To Die mengutip 25.9 juta pound sterling (RM147.404 juta). Jumlah ini mengatasi rekod kutipan minggu pertama Skyfall sebanyak 20.2 juta pound (RM115 juta) dan Spectre sebanyak 19.8 juta pound (RM113 juta).

GAMBAR: Wikimedia Commons.

Filem ini ditayangkan di 772 buah pawagam di United Kingdom dan Ireland selepas pelancaran. Kutipan tinggi juga dijangka dicapai apabila filem ini menembusi negara-negara Atlantik mulai 8 Oktober.

Filem ini dalam senarai menunggu tayangan di Perancis, Rusia, China dan Australia. Tayangan dijadualkan pada hujung Oktober atau November. Dengan trend kutipan yang menggalakkan, dijangka kutipan global boleh memecahkan rekod kutipan filem Bond sebelum ini.

No Time To Die mengisahkan Bond yang telah bersara menjalani kehidupan tenang dan damai di Jamaica. Namun dia kembali ke medan apabila sahabat baiknya, Felix Leiter (Jeffrey Wright) daripada Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika meminta bantuannya menjejaki seorang saintis yang diculik.

Ini juga merupakan penutup karier Craig sebagai Bond ‘dilesen untuk membunuh’ setelah 15 tahun berkhidmat sebagai agen British di layar perak, bermula dengan Casino Royale pada 2006. Turut membintangi Rami Malek sebagai penjahat Safin, Lashana Lynch dan Lea Seydoux.

Sebelum ini timbul persoalan mampukah No Time To Die, arahan Cary Joji Fukunaga, meletup di pasaran lantaran telah begitu lama terpendam? Ada yang berpendapat penonton telah melupakan filem ini dan tidak lagi teruja untuk menontonnya.

Namun pandangan kontra percaya, disebabkan terlalu lama menunggu, penonton menjadi lebih ghairah menanti tayangannya. Lantaran itu juga mereka dijangka memberi sambutan lebih hebat kepada No Time To Die berbanding filem Bond lain. Ternyata andaian ini benar.

GAMBAR: Landmark.

Ini pasti menggembirakan penerbit, Barbara Brocoli dan syarikat pengeluar, Universal Pictures dan MGM. Mereka mengharap kejayaan cemerlang filem ini setelah menanggung beban kewangan besar akibat penangguhan tayangan.

Pinjaman kepada bank tetap perlu dibayar sedangkan pulangan tiada. Kos pembikinan filem ini sekitar AS250 juta (RM1.011 bilion). Dilaporkan MGM membayar faedah pinjaman AS1 juta (RM4.046 juta) sebulan kepada bank. Kos promosi yang dibuat sebelum ini pula menelan belanja AS66 juta (RM276 juta).

Malah pemilik pawagam juga mengharapkan keajaiban filem ini sebagai pembuka tirai untuk menarik penonton kembali ke pawagam. Mereka juga rugi besar apabila pawagam ditutup akibat Covid-19.

No Time to Die mulanya dijadual tayangan kepada umum pada 8 November 2019. Namun ia ditunda hingga April 2020 akibat masalah dalaman yang menyaksikan Fukunaga mengambil alih tugas pengarahan daripada Danny Boyle. Ketika itu juga pandemik Covid-19 merebak ke seluruh dunia selepas dikesan di Wuhan, China.

Ekoran itu tayangan ditangguhkan pada November 2020. Ini juga tidak menjadi kenyataan dan ditangguhkan hingga 2 April 2021. Sasaran ini juga gagal dicapai sehinggalah akhirnya badi penangguhan berakhir dengan tayangan perdana di London pada 28 September 2021.

Akibat beberapa kali penangguhan, penerbit menghadapi masalah kewangan serius. Berhadapan masalah pinjaman bank dan kerugian, penerbit pernah bercadang menjual No Time To Die kepada perkhidmatan streaming, seperti Netflix.

Tetapi tidak ada syarikat streaming sanggup membeli filem itu kerana harga yang diletakkan terlalu tinggi, sekitar AS600 juta (RM2.427 bilion). Pada masa sama penerbit juga berubah fikiran dan beranggapan penonton lebih terpesona menonton filem itu di pawagam.

United Pictures dan MGM menyandarkan harapan filem ini meletup di pasaran. Ini mengambil kira dua filem Bond sebelum ini, Skyfall (2012) dan Spectre (2015) masing-masing meraih pendapatan AS1.92 bilion (RM4.99 bilion) dan lebih AS1.355 bilion (RM5.673 bilion) di peringkat global.

Ini juga harapan Daniel Craig. Kejayaan besar adalah ucapan selamat tinggal penuh manis kepada dunia Bond. Dia sangat gembira kerana akhirnya penantian sekian lama berakhir apabila No Time To Die memasuki pawagam.

Gadis Bond, Lea Seydoux optimis filem ini akan mencapai kejayaan besar kerana ia merupakan filem yang dinanti-nanti. Dia yang juga pernah membintangi filem Bond Spectre dan memegang peranan Madeleine Swann berkata: “Kami telah memberikan segala-galanya untuk filem ini. Kami harap penonton akan menyukainya.”

-BebasNews 

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here