Neelofa masih lagi berteka-teki tentang desas-desus yang dirinya hamil.

Oleh Khadijah Ibrahim

ORANG sekeliling sibuk bercerita perihal pelakon dan pengacara Neelofa Mohd. Noor, 32, yang dikatakan sedang hamil anak sulung. Cerita Neelofa hamil timbul bila netizen mula perasan tentang perubahan dirinya yang tampak sedikit berisi di bahagian perut, seakan baby bump.

Peminat-peminat Neelofa teruja bila mendapat khabar tersebut, malah mereka pula yang tak sabar untuk menunggu kelahiran permata hati Neelofa dan Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz itu.

Bagi mendapatkan kepastian tentang berita tersebut, pihak media mengambil kesempatan bertanya empunya diri sewaktu beliau menghadiri majlis sumbangan Bakul Kasih PRIHATIN-MAIWP di Surau Al- Mustaqim, PPR Pinggiran Bukit Jalil, pada Rabu (6 Oktober).

Neelofa tidak mengelak soalan tentang berita yang beliau dikatakan sedang hamil, tapi seperti diduga, jawapan yang diberi masih lagi meneka dalam kesamaran.Tiada pengakuan jelas yang dirinya sedang hamil, sebaliknya Neelofa lebih senang memberi jawapan selamat.

“Lofa rasa soalan tentang part itu (hamil) is a big sensitive dan ada sesetengah orang, ada alasan tersendiri untuk tidak menjawab atau menjawab. Macam Lofa sendiri, kalau katakan desas-desus itu betul atau tidak, I would wait for the right time untuk berkongsi dengan orang ramai. Because ia satu berita gembira kita nak doa-doa daripada orang ramai.

Neelofa dan PU Riz pada majlis pengagihan Bakul Kasih Prihatin-Maiwp.

“Kalau rakan-rakan artis yang lain turut dapat berita yang sama, mereka pun tunggu pada saat yang betul untuk dikongsikan. Insya-Allah, kalau ada berita gembira itu pada masa yang tepat Lofa akan kongsikan. Lofa faham, ada sesetengah orang teruja untuk kongsi dan ada pula menunggu waktu yang sesuai.

“Memang memberi sedikit tekanan bila asyik ditanya soalan begitu, cuba bayangkan kalau berlaku pada seorang selebriti yang masih lagi mencuba tapi tidak betul apa yang dikeluarkan. Mesti memberi kesan kepada orang itu. Lofa rasa orang ramai perlu lebih memahami,” katanya.

Jelasnya, berita tentang perkahwinan, menimang anak adalah perkara penting dan semua orang mengharapkan doa-doa yang baik saja daripada orang ramai.

“Sebagai public figure, orang yang dikenali ramai, saya rasa ini adalah part yang best sebab kita dapat doa daripada orang yang tak dikenali. Jadi I really hope orang yang dengar, just doakan yang baik-baik sebab I really need that doa sebagai perlindungan untuk Lofa juga.

“Saya faham kedudukan saya, bagaimana orang mengharapkan perkongsian, insya-Allah akan dibuat dengan baik. Betul-betul akan saya kongsikan, bukan something yang bad untuk disorok. Cuma kalau betul, siapa saja not just me, selebriti di luar sana pun pengesahan yang mengandung atau berkahwin, pasti akan umum pada masa betul supaya tidak ada desas-desus yang negatif,” katanya terus terang.

Bagi Neelofa, adalah lebih baik jika beliau menunggu masa yang sesuai untuk mengumumkan berita tentang kehamilan kepada umum. Beliau berjanji jika ada berita gembira akan dikongsi dengan peminat.

“Ada baiknya, kalau kita cari masa yang betul. Kalau nak cakap pasal perkahwinan, biar betul-betul confirm, kalau nak timang anak tu biar kandungan itu betul-betul stabil. To be honest, kami tak pernah berbincang secara serius nak dapat anak cepat atau lambat.

“Kami baru saja kahwin, masih lagi dalam proses getting to know each other dan nak bina mahligai. Mestilah mana-mana suami kat luar sana pun teruja kalau isteri hamil. Keluarga saya doakan yang sama dan menunggu-nunggu juga.

“If you ask me, nak baby girl atau boy? Saya akan cakap tak kisah. Tengok macam mak saya, empat perempuan, seorang lelaki. Tak kisah back to back perempuan atau selang seli, semua itu rezeki dan susunan Allah,” katanya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here